Rabu, 5 September 2007

Bendung ancaman samseng dengan hukuman berat


LAPORAN mengenai pihak penguat kuasa diancam oleh kumpulan samseng patut mendapat perhatian kerajaan dan polis.

Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada pihak penguat kuasa untuk menangani kegiatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara. Tetapi harapan itu mungkin terhalang jika penguat kuasa diancam fizikal dan psikologi daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

Aktiviti samseng semakin hari bertambah berani. Jika tidak dibendung, ia boleh melemahkan semangat bekerja dan dedikasi penguat kuasa untuk membanteras penyelewengan.

Kerajaan dan polis mungkin sedia maklum isu kumpulan samseng yang mengancam keselamatan pihak berkuasa. Samseng dan dalang yang mengupahnya perlu ditangani segera.

Kerajaan tidak boleh lagi bertoleransi dengan aktiviti yang telah lama berakar umbi dan boleh mensabotaj ekonomi negara.

Pihak polis tidak patut berlembut dengan peniaga dan kumpulan samseng ini. Jika makin dibiarkan, kita bimbang kumpulan itu pula dilihat lebih berkuasa daripada pegawai penguat kuasa kerajaan.

Lebih menakutkan jika timbul tanggapan masyarakat, misalnya keengganan pihak berkuasa menjalankan operasi dikatakan kerana rasuah dan takut ancaman kumpulan samseng.

Masyarakat tentu tidak ingin perjalanan undang- undang negara dilihat ‘cacat’ gara-gara kuasa kumpulan samseng.

Ada kewajaran permintaan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman supaya kerajaan dan polis melakukan sesuatu untuk melindungi pasukan penguat kuasa.

Dewasa ini kumpulan samseng seolah-olah tidak gentar pada penguat kuasa. Oleh itu, lebih baik setiap operasi penguat kuasa turut disertai oleh polis.

Sejak dahulu kumpulan samseng dan tonto hanya takut pada polis kerana pasukan ini mempunyai segala kuasa bertindak.

Oleh itu kerajaan perlu meneliti semula cadangan untuk membekalkan senjata api kepada penguat kuasa jabatan tertentu misalnya Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Di samping itu kita mencadangkan pihak Jabatan Peguam Negara melihat peruntukan hukuman ke atas anggota kumpulan samseng atau tonto yang mengugut atau mengancam nyawa dan harta benda penguat kuasa.

Jika peruntukan yang ada sekadar denda didapati kurang berkesan membendung kegiatan jenayah itu, adalah wajib Peguam Negara meminda hukuman tersebut agar tiada siapa berani mengancam penguat kuasa untuk menjalankan amanah dan tanggungjawabnya.

Jika kerajaan yakin pada langkah hukuman berat diikuti jaminan perlindungan kepada penguat kuasa dapat mengajar kumpulan samseng menghormati undang-undang negara ini, maka lakukan.

Tetapi jangan hanya ‘anak-anak’ samseng ditahan sementara induknya terus bebas.

Utusan Malaysia 6 September 2007