
LIMA tahun? Pasti ramai terkejut apabila kerajaan membenarkan cuti bersalin tanpa gaji dilanjutkan sehingga ke tempoh begitu lama.
Bagaimanapun mudah difahami bahawa tujuan kerajaan adalah bagi merealisasikan aspirasi negara untuk melihat pembangunan modal insan secara lebih berkesan, iaitu bukan sahaja melibatkan pendidikan secara formal semata-mata, tetapi juga asuhan di peringkat bayi lagi.
Jika dahulu kerajaan hanya menekankan kepada kemantapan kurikulum sekolah rendah dan menengah, selepas itu pendidikan prasekolah dan kini telah sampai masa tumpuan itu menjurus ke arah yang lebih halus, iaitu asuhan semasa bayi lagi.
Sebenarnya inilah tonggak kepada pembangunan modal insan.
Kesibukan kerja seharian sering dijadikan alasan oleh ibu bapa untuk memberi kurang tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan sahsiah anak- anak di peringkat awal. Tanggungjawab itu dilepaskan kepada pusat-pusat jagaan harian atau pembantu rumah.
Malah lebih menyedihkan ada yang memilih untuk menjadi ibu bapa pada hujung minggu sahaja dan pada hari-hari bekerja anak ditinggalkan terus di rumah penjaganya.
Keadaan itu dilihat semakin hari bukan sahaja menimbulkan banyak masalah sosial, tetapi lebih serius turut melibatkan kes jenayah apabila terdapat bayi serta kanak-kanak yang baru mengenal dunia dilayan dengan kejam oleh pengasuh atau pembantu rumah.
Itu pun yang dapat dikesan hanyalah penderaan fizikal. Sedangkan yang lebih serius adalah penderaan mental yang menjejaskan emosi serta tahap intelek kanak-kanak. Tentulah kita tidak mahu melihat anak-anak yang terencat emosi dan tahap intelek ini meneruskan legasi kita.
Pendekatan terbaru ini juga membuka jalan keluar kepada golongan ibu yang terlalu prihatin terhadap perkembangan anak mereka.
Tumpuan
Tumpuan mereka boleh diberi sepenuhnya kepada keluarga dan tidak lagi berbelah bagi di antara tugas di tempat kerja dengan tanggungjawab sebagai ibu serta isteri.
Ini adalah kerana terdapat golongan ibu yang terlalu ekstrem tentang penjagaan anak-anak, sehinggakan jika anak mereka dijangkiti selesema biasa sahaja pun boleh menyebabkan golongan tersebut mengambil cuti sakit atau terus hilang tumpuan kepada kerja.
Situasi itu bukan sahaja menyebabkan kualiti hidup keluarga berkenaan merosot, tetapi lebih buruk tanggungjawab yang dipikul sebagai penjawat awam juga terabai.
Bayangkanlah jika seorang guru yang sering mengambil cuti sakit, tentulah ia menjejaskan pengajaran dan pembelajaran murid atau pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Bagaimanapun kerajaan pasti sedar golongan sedemikian tidak ramai dan kes-kes sedemikian adalah terpencil, tetapi memerlukan jalan penyelesaian supaya tidak menjadi hama yang merosakkan kewibawaan perkhidmatan awam.
Bukan mudah untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan soal kemampuan kewangan keluarga untuk menghadapi penyusutan pendapatan mendadak dalam tempoh yang begitu panjang.
Bagi wanita mempunyai suami berpendapatan tinggi atau tinggal di kawasan luar bandar yang tidak menuntut kos sara hidup yang tinggi, keputusan sedemikian mungkin lebih mudah dibuat.
Dalam erti kata lain kaedah tersebut tidak akan menjejaskan kecekapan sektor perkhidmatan awam kerana ia tidak melibatkan perubahan atau kehilangan jumlah kakitangan yang besar.
Mungkin juga ini merupakan salah satu cara kerajaan menunjuk jalan keluar kepada mereka yang tidak dapat memberikan sepenuhnya jiwa dan raga mereka kepada kerjaya.
Setelah lima tahun tidak bekerja tentulah sukar untuk menyesuaikan diri semula dalam pekerjaan. Bayangkan jika selepas bercuti lima hari menyebabkan kebanyakan orang berasa malas hendak pergi bekerja, apatah lagi selepas lima tahun, kemungkinan besar golongan berkenaan akan berhenti kerja.
Bagaimanapun langkah yang diambil kerajaan itu, pastinya mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak, lantaran wanita yang bercuti tanpa gaji lima tahun tetap berhak menerima tiga kali kenaikan gaji. Tentulah kakitangan lain yang bertungkus-lumus selama tempoh itu mempertikaikan kewajaran kenaikan tahunan yang diterima oleh rakan sekerja yang telah bercuti begitu lama.
Namun jika mereka menyedari tanggungjawab sebagai suri rumah bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia lebih berat berbanding bekerja di pejabat, tentulah perkara tersebut bukanlah satu isu yang terlalu besar.
Tentu terdapat juga pihak yang menganggap dasar itu akan merugikan negara kerana apabila golongan wanita profesional berhenti kerja seolah-olah terhenti sumbangannya kepada pembangunan negara.
Walaupun sebenarnya golongan ibu ini berkorban hasrat dan cita-cita peribadi demi melihat anak-anak dibesarkan dengan cara terbaik serta memastikan institusi keluarga terus terpelihara yang sekali gus dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang membelenggu kehidupan ketika ini.
Pepatah ada mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia’. Ternyata pepatah tersebut tepat sekali, terpulanglah kepada kita untuk menentukan peranan tangan itu sewajarnya.
Oleh BORHAN ABU SAMAH
Utusan Malaysia 6 September 2007