
PADA petang esok, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual membentangkan Bajet 2008. Bajet kali ini, bakal mencipta sejarahnya tersendiri sebagai bajet pertama dibentangkan pada separuh kedua abad selepas kemerdekaan negara.
Banyak yang telah diperkatakan tentang Bajet 2008. Ada yang menyifatkannya sebagai Bajet Pilihan Raya dan ada juga yang mengatakan ia bakal menjadi Bajet Rakyat. Apa sekalipun, yang pastinya ia bakal menjadi bajet yang dinanti-nantikan oleh semua.
Banyak pihak melihat bajet kali ini merupakan hadiah kerajaan kepada seluruh rakyat sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, baru-baru ini.
Sesungguhnya, keamanan dan pembangunan yang dikecapi selama ini adalah hasil semangat perpaduan, keharmonian, persefahaman, pengorbanan dan toleransi yang dikongsi bersama di kalangan rakyat semua kaum.
Maka sudah pasti kerajaan mahu menjadikan bajet kali ini sebagai yang terbaik bagi menghargai jasa dan pengorbanan rakyat, yang telah berkongsi pelbagai pengalaman pahit dan manis hidup bersama selama 50 tahun dalam sebuah negara yang merdeka.
Selama separuh abad merdeka, kerajaan telah berjaya melaksanakan lapan rancangan pembangunan lima tahun dan kini negara memasuki rancangan pembangunan lima tahun yang kesembilan (Rancangan Malaysia Kesembilan) (2006-2010).
Dalam tempoh itu juga negara telah melaksanakan empat dasar pembangunan iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (DWN) (2001-2010) dan kini melangkah secara serius melaksanakan Misi Nasional (2006-2020).
Dalam tempoh separuh abad itu, negara telah mencapai kejayaan besar dalam usaha membasmi kemiskinan yang menjadi salah satu daripada misi penting negara, selain kejayaan dalam usaha menyusun semula masyarakat, di samping tidak melupakan misi utama iaitu memupuk perpaduan yang menjadi matlamat sepanjang masa bagi negara.
Hasilnya, dalam tempoh 50 tahun itu, Malaysia telah mengecapi kadar pertumbuhan purata sebanyak 6.5 peratus setahun yang merupakan antara kadar pertumbuhan yang tertinggi di kalangan negara membangun.
Kerajaan juga telah berjaya melahirkan generasi berpendidikan yang terbaik, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49 peratus pada 1957 kepada kadar kurang daripada lima peratus pada tahun lalu. Pendapatan per kapita rakyat juga telah meningkat iaitu daripada AS$350 pada 1957 kepada AS$12,900 pada 2006.
Pada masa yang sama kadar pertumbuhan Malaysia semakin berkembang pada status yang memberangsangkan iaitu pada lingkungan enam peratus setahun sejak merdeka.
Semua kejayaan ini, bukannya dicapai dengan senang, tetapi hasil kerja keras dan berterusan serta melalui proses yang tersusun dan dirancang dengan penuh cermat bagi memenuhi keperluan negara dan rakyat pada satu-satu masa.
Jika dilihat daripada semua rekod kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika kerajaan kali ini akan menghargai jasa dan pengorbanan rakyat melalui Bajet 2008.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut berharap melalui Bajet 2008, kerajaan akan terus membela nasib orang Melayu yang masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Meningkatkan
Presidennya, Datuk Syed Ali Mohamed Alatas berharap agenda membasmi kemiskinan dan bantuan perniagaan kepada orang Melayu dimasukkan sebagai input penting dalam Bajet 2008.
“Kerajaan perlu meneruskan program tersebut bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama golongan bumiputera.
“Ini termasuk menyediakan program rumah kos rendah yang berkualiti untuk golongan berpendapatan rendah,’’ katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu menyediakan dana khas bagi menggalakkan masyarakat luar bandar berniaga secara kecil-kecilan dan menambah dana pinjaman untuk program Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper) bagi menggalakkan bumiputera menceburi bidang peruncitan.
Syed Ali berkata, kerajaan juga perlu menambah dana untuk memperbaiki kemudahan asas di tapak-tapak pasar tani di seluruh negara kerana kebanyakan tapak pasar tani ini berada dalam keadaan uzur dan tidak selesa.
Pada masa yang sama, orang Melayu perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi era globalisasi supaya mereka mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. Walaupun umumnya, taraf hidup orang Melayu pada masa ini semakin baik, tetapi jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, majoriti orang Melayu masih lagi hidup dalam kemiskinan.
Kita tidak mahu suatu hari nanti bangsa Melayu dikenali dengan masyarakat 3M, yang hanya pandai merempit, menagih dadah dan merasuah.
Dari segi pencapaian kaum pula, orang Melayu masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan kaum-kaum lain, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga pemilikan harta dan ekuiti.
Setakat ini, orang Melayu dan bumiputera hanya mampu menguasai 18.9 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat.
Perdana Menteri ketika menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, kerajaan menetapkan tahun 2010 untuk mencapai matlamat dasar pemilikan 30 peratus ekuiti korporat di kalangan bumiputera.
Beliau berkata, langkah itu perlu kerana masih terdapat masalah ketidakseimbangan pendapatan serta pemilikan kekayaan antara etnik.
“Dasar sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti di kalangan bumiputera menjelang tahun 2010 merupakan salah satu sasaran agenda bagi memastikan pembangunan dan pengagihan seimbang antara etnik dan wilayah.
“Justeru, dasar sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat di kalangan bumiputera akan terus dikekalkan, begitu juga dengan strategi serta program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat bagi mencapai pembangunan seimbang,” katanya.
Orang Melayu dan kaum bumiputera di negara ini pula perlu berusaha meningkatkan penguasaan mereka bukan sahaja dalam ekonomi tetapi juga dalam semua bidang untuk menjadi bangsa yang bertaraf kelas dunia.
Hanya dengan cara itu sahaja, bangsa Melayu dapat bersaing dan berdiri sama tinggi untuk bersama-sama dengan kaum Cina, India dan kaum-kaum lain membantu negara membangunkan negara dan menjayakan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
Bagi tujuan itu, agensi-agensi yang ditubuhkan khusus untuk membantu orang Melayu perlu bersungguh-sungguh dan jujur melaksanakan tanggungjawab mereka itu.
Syed Ali berkata, DPMM berharap semua harapan itu akan dapat diterjemahkan dalam bajet kali ini.
Oleh Mustafa Kamal Basri
Utusan Malaysia 6 September 2007