Khamis, 6 September 2007

Tanpa perpaduan kaum, demokrasi terbantut


KUALA LUMPUR: Demokrasi gagal dimajukan di negara ini akibat masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan tidak bersatu untuk menyuarakan kepentingan bersama.

Sebaliknya isu-isu yang berbangkit dalam sesuatu kaum diperjuangkan oleh kaum itu sendiri tanpa keprihatinan etnik lain, kata seorang penulis terkenal.

"Sebarang tuntutan ke arah demokratisasi di Malaysia selalu disuarakan oleh sesuatu etnik sahaja dalam etnik masing-masing. Etnik-etnik lain tidak prihatin, tidak membincangkannya.

"Isu-isu yang menyentuh kepentingan komuniti Cina dibincangkan dalam akhbar Cina, orang India membangkitkannya dalam akhbar Tamil. Melayu tidak faham, tidak ambil peduli. Begitulah sebaliknya. Kita selalu berada terpisah-pisah," kata Rustam A Sani.

"Kita tidak pernah mencapai proses reformasi kerana jumlah pendukungnya tidak mencukupi, kerana kita sering terpisah-pisah."

Bercakap dalam sesi membincangkan halangan-halangan utama proses pendemokrasian di seminar 'Demokrasi Selepas 50 Tahun Kemerdekaan: Cabaran dan Hala Tuju' di sini hari ini, Rustam berkata dalam keadaan tertentu kepelbagaian sosial boleh pula dijadikan "alasan untuk melemahkan demokrasi itu sendiri."

Katanya, sejak mencapai kemerdekaan, sesuatu etnik itu berada dalam kelompok terasing daripada etnik-etnik lain dan membangkitkan isu-isu kaum mereka sendiri melalui parti, pertubuhan masyarakat dan media masing-masing.

"Kita tidak pernah bertindak sebagai suatu bangsa," katanya, dengan mengambil contoh kegagalan Parti Negara.

Sejak kegagalan parti Datuk Onn Jaafar itu, tambah Rustam, parti-parti politik pelbagai kaum yang pada awalnya berasaskan ideologi tetapi gagal kekal lama, sebaliknya parti itu akhirnya bertukar menjadi organisasi politik berasaskan kepentingan kaum.

"Untuk memperbaiki masyarakat, adalah mustahak mengubah mentaliti ini, cara berfikir yang berasaskan kaum dalam menangani isu-isu demokrasi," katanya.

Seorang lagi ahli panel Hishamuddin Rais berhujah, kesedaran beragama yang meningkat kini dipengaruhi unsur-unsur perkauman menjadi halangan utama proses pendemokrasian di Malaysia.

"Saya nampak banyak masalah dengan usaha-usaha Islamisasi, tetapi bukan Islam di peringkat falsafah atau konsep. Maksud saya, sesetengah amalan Islam yang menimbulkan prasangka dan keretakan antara kaum," katanya, yang juga bekas pemimpin gerakan mahasiswa 1974, dengan mengambil contoh polarisasi kaum di kampus-kampus sekarang.

Aktivis sosial ini turut mendakwa, ramai di kalangan generasi muda sekarang sudah "muak" dengan usaha-usaha keagamaan yang bersifat memaksa dan menekan kebebasan mereka. "Agama yang diamalkan hari ini dirasakan terlalu merimaskan," katanya.

Wakil daripada Majlis Perundingan Penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao pula menceritakan pengalaman dialog antara agama yang lancar dan kurang prasangka sejak awal kemerdekaan tetapi kini semakin sukar.

"Kumpulan agama dominan mudah rasa sensitif dengan sesuatu komen. Dalam masyarakat berbilang-bilang kepercayaan, sepatutnya ada ruang untuk berbahas. Tetapi ruang ini kini tidak ada. Mereka menguasai sepenuhnya proses dialog," kata Dr Hermen Shastri.

"Keadaan ini tidak boleh berterusan, ia akan memburukkan kehidupan harmoni antara penganut-penganut pelbagai agama."

Ahli-ahli panel lain termasuklah presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin, penulis kolum Lee Ban Chen dan aktivis masyarakat K. Arumugam.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ia diadakan sempena sambutan perayaan ke-50 tahun kemerdekaan selama 10 hari hingga 16 Sept bertema 'Mengenang Rakyat yang Membina Negara' anjuran pakatan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali 50:44 Coalition (http://www.50-44.org/) di bangunan tambahan Pasar Seni.

Program yang bermula hari ini dimulakan dengan sidang media tentang "Deklarasi Semangat Pergerakan Merdeka Mengembalikan Demokrasi dan Memajukan Kebebasan di Malaysia".

Perisytiharan itu, antara lain, mengulang desakan sekumpulan 60 NGO untuk mempertahankan dan menuntut hak-hak kebebasan asasi, termasuk melindungi dan meraikan kepelbagaian.

Oleh FATHI ARIS OMAR

mSTAR Online
6 September 2007