Khamis, 6 September 2007

PM: Pupuk integriti dalam diri sendiri


PUTRAJAYA: Integriti bukan hanya satu nilai atau amalan yang perlu diamalkan setiap masa bahkan nilai murni itu mesti lahir dari sanubari setiap insan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata integriti perlu dipupuk dalam diri seseorang insan sejak dari kecil lagi supaya negara dapat melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai nilai integriti yang tinggi dan ini akan membantu Malaysia berjaya dalam semua bidang.

"Yang pentingnya nilai integriti perlu bermula dari kecil lagi dengan didikan yang baik, dengan amalan yang sempurna. Bila anak-anak dididik dengan nilai ini, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak mereka...ini akan menjayakan agenda kita untuk melahirkan satu generasi yang mempunyai nilai integriti yang tinggi," katanya dalam ucapan utamanya pada Konvensyen Integriti Nasional 2007 di sini hari ini.

Konvensyen sehari anjuran Institut Integriti Malaysia itu dihadiri lebih 1,200 peserta yang mewakili setiap sektor masyarakat dari seluruh negara.

Abdullah berkata di negara Jepun contohnya, orang sangat takut dimalukan dan dengan itu mereka akan mengambil segala langkah agar tidak dimalukan oleh sesiapa.

"Malah di Jepun mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya tidak malu atau gagal melakukan sesuatu tugas dengan betul. Jika malu, mereka tidak berfikir dua kali untuk melakukan 'harakiri' (bunuh diri).

"Tapi kita... untuk kita membunuh diri itu salah di sisi agama. Dan mengikut Islam, kita perlu bertaubat... bertaubat itu bukan di mulut tetapi di hati. Kita selalu kena tanya diri kita, betul ke apa yang kita lakukan dan jangan sekali-kali berbohong untuk menutup kesilapan kita," katanya.

Abdullah berkata pembangunan modal insan bukan hanya bererti melahirkan satu masyarakat yang berpendidikan tinggi yang mampu menjalankan tugas dengan baik tetapi juga yang mempunyai nilai-nilai atau norma-norma yang baik termasuk integriti.

Katanya sahsiah yang mulia di kalangan rakyat Malaysia akan dapat menjamin pembangunan modal insan yang baik untuk negara.

"Tetapi saya ingin tekankan di sini bahawa integriti ini perlu lahir dari jiwa setiap insan... jika kita semua dapat melakukan ini, maka kita dapat merubah masa depan. Marilah menjadi insan yang lebih mulia.

"Jika kita semua mempunyai nilai integriti yang tinggi, maka orang lain tidak akan berani membuat benda-benda yang tidak baik. Kita akan dicontohi dan diteladani," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata beliau tidak ingin melihat nama baik negara tercemar akibat perbuatan "seorang dua" yang tidak mempunyai nilai integriti yang baik.

"Pastikan setiap dari kita membetulkan integriti diri kita kerana dengan ini kita akan dapat mengubah keadaan dan memperbaiki lagi keadaan dalam negara," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata kerajaan akan menghalusi segala cadangan daripada 21 resolusi yang telah diluluskan pada konvensyen itu.

BERNAMA