Khamis, 6 September 2007

Helah kahwin wanita kaya langsai hutang along


KUALA LUMPUR: Ada lelaki memperdaya dan mengahwini perempuan yang berkemampuan dengan tujuan untuk membebaskan diri daripada diancam along selepas membuat pinjaman besar dengan ceti haram berkenaan.

Trend perkahwinan ‘palsu’ itu menyebabkan isteri peminjam berdepan along yang bertindak mengancam mangsa semata-mata mahu mendapatkan semula wang dipinjam suami wanita terbabit.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata dalam kes terbaru, seorang wanita berusia 29 tahun menderita apabila suami menghilangkan diri selepas gagal membayar hutang yang diambil daripada along.

Katanya, wanita yang menetap di Cheras itu diancam kira-kira 40 along selepas suaminya berhutang kira-kira setengah juta ringgit.

“Pada 27 Ogos lalu, suami mangsa meninggalkan rumah sekitar jam 2 petang dengan alasan melaporkan kes itu kepada polis, tetapi selepas itu lelaki berkenaan menghilangkan diri tanpa dapat dikesan,” katanya di sini, semalam.

Chong berkata, suami mangsa gagal melunaskan hutang itu hingga ceti haram menyimbah cat, pagar dikunci dan cermin tingkap dipecahkan.

“Selain itu, mangsa mendapati cek milik syarikatnya hilang dipercayai diambil suami yang pernah bekerja di kedai cermin mata untuk melunaskan hutang pinjaman itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berkahwin dengan suaminya sejak setahun lalu dan dalam tempoh itu, lelaki terbabit tidak menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan hingga mangsa tidak mengesyaki suaminya berhutang dengan kumpulan penjenayah itu.

“Bagaimanapun, disebabkan kesilapan tidak memeriksa latar belakang lelaki itu, mangsa kini terpaksa berdepan ancaman along berikutan suaminya masih menghilangkan diri,” katanya.

Bermula Januari hingga kini, Biro Pengaduan Awam MCA menerima 358 kes aduan pinjaman along yang membabitkan pinjaman hampir RM30 juta.

Chong berkata, jumlah itu besar walaupun hanya membabitkan sebahagian mangsa berikutan banyak kes lain belum didedahkan.

“Kelicikan ceti haram memperdayakan mangsa dan kelemahan masyarakat yang sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri serta keluarga menyebabkan bilangan mereka yang melarikan diri atau berdepan risiko semakin membimbangkan,” katanya.

Oleh Nurhayati Abllah

Berita Harian
7 September 2007