Khamis, 6 September 2007

Pesawat tersilap bawa enam bom nuklear


WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat melancarkan siasatan berhubung kesilapan mengaibkan apabila sebuah pesawat pengebomnya jenis B-52 membawa enam peluru berpandu nuklear melakukan penerbangan jauh di negara itu, minggu lalu.

Kesilapan itu dilaporkan kepada Presiden George W Bush selepas kepala peledak nuklear ditemui apabila pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Barksdale di Louisiana.

Seorang pegawai tentera yang enggan dikenali berkata pesawat B-52 itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Minot, North Dakota, membawa enam peluru berpandu dilengkapi kepala peledak nuklear.

Setiausaha Pertahanan Robert Gates sudah dimaklumkan kejadian itu oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Michael ‘Buzz’ Moseley, kata Setiausaha Media Pentagon, Geoff Morrell.

“Tentera udara sudah menggantung tugas Komander Skuadron di Pangkalan Udara Minot dan siasatan turut dilancarkan berhubung kejadian 30 Ogos lalu.”

Jurucakap tentera, Lt-Kol Ed Thomas menyifatkan kesilapan itu sebagai terkawal kerana tidak mengancam nyawa penduduk.

“Bahan letupan itu selamat dan dalam kawalan tentera.”

Pentagon enggan memberi butiran lanjut atas alasan ia membabitkan rahsia kerajaan.

Namun, seorang pakar menyifatkan kejadian itu sebagai tidak disangka dan mendakwa ia berpunca daripada masalah pada pusat pemerintahan tentera udara dan sistem kawalan. – AFP