
Penduduk alami luka berdarah, bengkak
TOKYO: Penduduk Jepun kini gempar diancam pacat - haiwan penghisap darah yang diketahui bertumpu di kawasan pergunungan tetapi kini dilaporkan menawan beberapa kawasan penempatan dan menimbulkan masalah kepada penduduk yang mengalami bengkak, gatal serta ketidakselesaan lain.
Pacat darat atau Yamabiru terbukti menjadi masalah di lebih separuh daripada 47 wilayah Jepun, kata pusat penyelidikan swasta, Institut Alam Sekitar yang terletak di timur Tokyo.
Haiwan penghisap darah itu ‘tiba’ di bandar dan perkampungan wilayah terbabit menerusi cara unik - menumpang rusa liar dan babi hutan yang jumlahnya turut meningkatkan disebabkan usaha penerokaan dan pembersihan hutan.
“Yamabiru lazimnya akan memanjat ke dalam stokin dan kekal di situ selama sejam sehingga saiz badannya meningkat 10 kali ganda.
“Tidak seperti pacat air lainnya, orang ramai tidak dapat merasai kehadirannya secara serta merta, Hanya selepas melihat kaki mereka berlumuran darah, barulah mereka sedar menjadi mangsa pacat berkenaan,” kata Shigekazu Tani, Pengarah institut berkenaan.
“Masalahnya, pendarahan itu tidak terhenti dan kawasan yang digigitnya itu bengkak serta menyebabkan mangsa mengalami kegatalan yang serius,” katanya.
Mengenai cara mengatasi haiwan penghisap darah kecil itu, Tani berkata:
“Kita boleh menebang pokok dan menebas lalang bagi mengelak haiwan liar menghampiri kawasan penempatan atau mewujudkan persekitaran yang lebih panas serta sukar didiami pacat. Kita juga boleh menggunakan racun serangga khusus bagi membunuhnya.”
Akhbar Asahi melaporkan, penggunaan racun serangga boleh menurunkan bilangan pacat itu hingga 90 peratus.
Tetapi, ada juga kerajaan tempatan tidak boleh menggunakannya kerana pacat itu tinggal dekat sumber air.
Di Hadano, bandar wilayah Kanagawa, misalnya, langkah itu sukar dilakukan kerana 70 peratus penduduknya bergantung kepada air paip.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Vietnam, doktor mengeluarkan seekor pacat dari pundi kencing seorang lelaki berusia 79 tahun di wilayah Bac Giang, utara negara itu, lapor akhbar Pioneer.
Pacat itu sepanjang 20 sentimeter selepas menghisap darah Nguyen Van May, kata akhbar.
Haiwan itu memasuki pundi kencingnya ketika dia sedang mengutip siput di sawah padi yang digenangi air.
Doktor juga menemui 500 gram darah beku di bahagian tubuh mangsa. Pacat biasa ditemui di tasik air tawar, kolam atau sungai. – Reuters