
YANGON: Beratus-ratus sami Buddha Myanmar menjadikan kira-kira 20 anggota keselamatan sebagai tebusan di dalam kuil, sehari selepas bantahan antijunta bertukar ganas.
Dalam kejadian kelmarin, anggota tentera yang berpakaian biasa melepaskan tembakan amaran serta membelasah beratus-ratus sami Buddha dengan batang buluh bagi meleraikan demonstrasi membantah kenaikan mendadak harga minyak di tengah negara itu kelmarin, kata media dan saksi.
Bantahan tiga jam kelmarin di bandar Pakokku, kira-kira 500 kilometer ke utara Yangon, diketuai sekurang-kurangnya 300 sami Buddha yang bersembahyang dekat sebuah pasar bandar itu.
Sekurang-kurangnya tiga cedera dan 10 sami Buddha turut ditahan dalam kejadian yang pertama menyaksikan anggota tentera berpakaian biasa dikerah bagi meleraikan bantahan antikerajaan sejak 19 Ogos lalu di negara tadbiran kerajaan junta berkenaan.
Berikutan kejadian itu, anggota keselamatan itu semalam ke wat sami berkenaan bagi memohon maaf di atas insiden itu.
Kumpulan sami itu bertindak mengunci anggota keselamatan itu di dalam wat berkenaan selain membakar empat daripada lima kenderaan mereka, kata penduduk.
“Kumpulan sami itu juga menggesa orang ramai tidak campur tangan dalam perkara itu. Mereka mahu menyelesaikan masalah itu sendiri,” kata seorang penduduk yang dipetik agensi berita Agence France-Presse (AFP).
Sementara itu, media yang diuruskan kumpulan rakyat Myanmar yang hidup dalam buangan, menyatakan sami itu membantah kenaikan harga minyak.
“Apa yang kami tahu, sami itu bersembahyang demi kesejahteraan penduduk,” kata seorang penduduk yang mengakui terlalu takut untuk menghadiri bantahan itu.
Jirannya mendakwa anggota tentera itu melepaskan tembakan ke udara dan turut membelasah orang ramai.
Askar yang bersenjatakan batang buluh dan memukul sami dan beberapa orang daripada beribu-ribu penduduk yang hadir menyaksikan bantahan itu.
“Seramai 10 sami turut ditahan. Mereka menyertai empat atau lima sami lain yang berjalan sebaris untuk mengutip derma ketika kejadian, sambil berdoa supaya tidak wujud sebarang penindasan,” kata saksi dipetik agensi berita Democratic Voice of Burma (DVB) yang diuruskan kalangan penduduk dalam buangan.
Pertubuhan hak asasi dunia antarabangsa, Amnesty International pula mendakwa lebih 150 orang ditahan di Myanmar sejak 19 Ogos lalu apabila aktivis memulakan bantahan menentang kenaikan harga minyak yang mendadak sehinggakan ada yang tidak mampu membayar tambang bas.
Cara junta itu menangani bantahan berkenaan turut mencetuskan kemarahan dunia.
Ibrahim Gambari, wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi usaha pemulihan di Myanmar, memberi amaran yang tindakan itu hanya menyukarkan Myanmar mendapat sokongan dunia. – AFP