
LOS ANGELES – Pelakon filem Mission Impossible, Tom Cruise mendapati dirinya kini menjadi bahan cemuhan di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Keadaan itu berlaku selepas satu rakaman video mengenai fahaman Scientology yang dianutinya tersebar luas di internet.
Rakaman itu disiarkan selama sembilan minit di mana bintang Hollywood yang juga merupakan suami kepada aktres Katie Holmes itu membuat beberapa pengumuman yang ganjil.
Cruise mengucapkan kata-kata berbaur pelik itu selepas menerima pingat kebebasan daripada pemimpin kepercayaan Scientology, David Miscavige.
Dengan bertemakan lagu Mission Impossible sebagai latar belakang rakaman itu, Cruise, 45, menegaskan bahawa kepercayaan Scientology boleh menyelamatkan penagih dadah, memulihkan penjenayah dan membawa keamanan kepada dunia.
Dalam satu lagi ucapan lain, Cruise yang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan bernama Suri, turut mendakwa kepercayaannya itu boleh membantu mengelak kemalangan jalan raya.
– Agensi