Khamis, 17 Januari 2008

Murphy kahwin cuma dua minggu


LOS ANGELES – Tidak sampai sebulan selepas berkahwin dengan seorang produser filem, Tracey Edmonds, pelakon komedi terkenal, Eddie Murphy kini sudah bercerai, lapor sebuah akhbar semalam.

Murphy yang berumur 46 tahun dan Edmonds melangsungkan perkahwinan di Pulau Bora-Bora di French Polynesia dua minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukan satu majlis yang sah menurut undang-undang perkahwinan di Amerika Syarikat (AS).

“Selepas berbincang dan menimbangkan banyak perkara, kami mengambil keputusan untuk tidak mengadakan majlis rasmi yang sah kerana ia sudah tidak penting lagi untuk menjelaskan bentuk hubungan kami,” menurut satu kenyataan bagi pihak Murphy dan Edmonds.

“Bagaimanapun, acara penyatuan kami di Bora Bora yang `simbolik’ itu adalah lambang kasih sayang kami yang mendalam, persahabatan serta tanda hormat antara satu sama lain dan kami sepakat untuk kekal sebagai sahabat,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, seorang jurucakap Murphy berkata, dia tidak dapat memberi sebarang komen berhubung kenyataan itu.

Murphy yang pernah berlakon dalam filem Dreamgirls dan Beverly Hills Cop, mula menjalinkan hubungan dengan Edmonds pada tahun lalu sebelum bertunang pada Julai lepas.

– Agensi