
Los Angeles - Pelakon Hollywood, Sylvester Stallone percaya dia dan rakan seangkatannya pada tahun 80-an seperti Arnold Schwarzenegger serta Bruce Willis mempunyai bentuk fizikal yang jauh lebih hebat berbanding hero Hollywood masa kini.
Stallone yang terkenal dengan watak Rambo dan kini berusia 61 tahun berkata : "Saya berpendapat bahawa beberapa aktor muda akan melihat saya sebagai pelakon lama prasejarah kerana sekarang kita sudah menjadi lebih saintifik.
"Kebanyakan 'rakan seangkatan' saya mempunyai susuk tubuh yang sasa.
"Contohnya, Schwarzenegger dan Willis amat mengagumkan.
"Saya berpendapat ramai pelakon muda kini lebih bersikap intelektual," tambah Stallone lagi.
Aktor itu juga percaya bahawa Rambo mampu membunuh Jason Bourne yang dilakonkan Matt Damon dalam filem Bourne Ultimatum dalam satu pertarungan.
Sambil berseloroh Stallone berkata : "Rambo akan membunuh Jason Bourne. Saya hanya bergurau."
Stallone turut mengakui bahawa dia kini berkawan baik dengan bekas musuh ketatnya di layar perak, Schwarzenegger.
-Agensi