Khamis, 17 Januari 2008

T1030 bantu tugas penguat kuasa


Putrajaya - Tugas penguatkuasaan kini semakin mudah dengan penggunaan alat pembaca kad pintar mudah alih keluaran terbaru Tricubes Berhad (Tricubes) yang dikenali sebagai T1030.

T1030 direka bagi memudahkan tugas penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, bank, polis dan pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Tricubes, Mohd. Daruis Zainuddin berkata, perkakasan itu boleh memuatkan data, imej dan dihubungkan secara dalam talian sekali gus memudahkan urusan pengenalan biometrik dan menerusi MyKad dan lesen.

Menurutnya, melalui T1030 juga, sebarang tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan secara automatik selain digunakan bagi tujuan urusan transaksi.

"Kami menyasarkan antara 1,000 dan 2,000 unit penjualan gajet itu akan berjaya dipasarkan sepanjang tahun ini.

"Setakat ini, kami telah berjaya pasarkan sebanyak 11 jenis produk Tricubes dan sambutan yang kami terima amat menggalakkan," ujarnya ketika ditemui selepas melancarkan produk itu di Kelab Tasik Putrajaya.

Mohd. Daruis, Tricubes sebelum ini hanya dikenali sebagai syarikat pengeluar perkakasan dan sekarang menumpukan kepada perisian dalaman.

Menurutnya, beberapa negara luar turut mendapatkan khidmat syarikatnya untuk membekalkan gajet itu seperti Maghribi, Mesir dan Perancis.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif syarikat itu, Syed Najib Albar dalam ucapannya memberitahu, dengan pengeluaran produk berkenaan, pihaknya berharap dapat membantu agensi kerajaan menjalankan penguatkuasaan secara lebih komprehensif.

Oleh Sahlizah Mohamed
Kosmo!