
AKTOR Brad Renfro ditemui meninggal dunia di sebuah apartment di Los Angeles pada pagi Selasa lepas (waktu Amerika Syarikat).
Renfro, 25, yang mula mencipta nama di persada Hollywood pada usia 12 tahun menerusi filem The Client itu sebelum ini terbabit dengan penggunaan dadah.
Ketua penyiasat kematian bagi kes-kes yang menimbulkan keraguan di Los Angeles, Craig Harvey berkata: “Merujuk kepada sejarah pengunaan dadah Brad (Renfro), dia berkemungkinan meninggal dunia akibat pengambilan dadah dalam jumlah yang berlebihan.”
“Kali terakhir dia diketahui hidup ialah pada awal pagi Selasa dan tidur sambil berdengkur. Pada malam sebelum itu, Brad dan beberapa rakannya disyakki mengambil dadah. Paramedik yang dipanggil ke kediaman Brad kemudian mengesahkan Brad meninggal dunia pada pukul 9 pagi. Bedah siasat terhadap mayat Brad dijalankan pada hari Rabu.”
Renfro sebenarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Sleepers bersama Winona Ryder and Billy Bob Thornton.
Menerusi filem The Client yang ditayangkan pada 1994, Renfro berlakon di samping aktres berkaliber, Susan Sarandon dan Tommy Lee Jones.
Hasil lakonan cemerlangnya dalam filem tersebut, majalah People telah melabelkan Renfro sebagai bintang harapan.
Selepas itu, dia kemudiannya terbabit dalam filem Deuces Wild, Apt Pupil, Ghost World, Bully dan The Jacket.
Renfro dikatakan mengalami pergolakan jiwa selepas berpindah dari negeri kelahirannya, Tennessee ke Hollywood, Los Angeles dan terpaksa berdepan dengan masalah perceraian ibu dan bapanya.
Masalah Renfro yang terjebak dengan dadah diketahui umum menjelang 1998 apabila dia ditahan polis atas kesalahan menggunakan kokain dan marujuana.
Pada 2001, ketika berusia 19 tahun, dia dikenakan denda sebanyak AS$4,000 selepas didapati bersalah membuat percubaan mencuri sebuah kapal layar di Florida. Empat bulan kemudian, dia ditahan atas kesalahan minum arak di bawah umur yang dibenarkan dan diarahkan memasuki pusat pemulihan ketagihan alkohol.
Pada 2005 pula dia didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan tanpa memiliki lesen memandu. Pada 2006, Renfro didapati bersalah atas kesalahan menggunakan heroin. Dia kemudian dihukum penjara selama 10 hari.
Pada Jun tahun lepas, Renfro dilaporkan telah melanggar perintah mahkamah dengan gagal menghadirkan diri ke pusat pemulihan ketagihan dadah dalam tempoh yang ditetapkan.
Kosmo!