Rabu, 23 Januari 2008

Semua pihak mesti bantu kerajaan atasi kemiskinan tegar

LANGKAH kerajaan menubuhkan jawatankuasa tertinggi pada peringkat Kabinet untuk menangani kemiskinan tegar di kalangan semua kaum seperti diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin amat dialu-alukan. Walaupun kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap masalah kemiskinan, penubuhan jawatankuasa Kabinet itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menangani kemiskinan tegar dengan lebih berkesan. Malah, matlamat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) secara jelas menggariskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan semua kaum pada 2010. Kita berharap jawatankuasa peringkat Kabinet itu nanti membuat kajian lanjut bukan saja berkisar kepada kemiskinan tegar di kalangan kaum, malah meliputi semua aspek, termasuk permasalahan kemiskinan di bandar selain pedalaman. Kemiskinan tegar berbeza mengikut lokasi dan definisi juga berlainan. Misalnya, kemiskinan tegar di bandar mungkin lebih teruk daripada kategori sama di luar bandar, walaupun keadaannya jauh berbeza kerana di bandar segala kemudahan awam disediakan. Soal kemiskinan tegar ini tidak mengira kaum dan ia bukan saja terbatas kepada kaum India.

Pada awal kemerdekaan, kadar kemiskinan di negara kita adalah 60 peratus, tetapi usaha berterusan kerajaan dengan pelaksanaan pelbagai projek serta program sosioekonomi, berjaya mengurangkannya kepada 5.7 peratus sekarang, tetapi kemiskinan tegar tetap wujud. Mungkin jawatankuasa tertinggi peringkat Kabinet dapat mengarahkan satu soal selidik secara mendalam dilakukan mengapa masih wujud kemiskinan tegar. Adakah program sosioekonomi kerajaan selama ini kurang berkesan, mereka gagal memanfaatkan program itu, kegagalan wakil rakyat di kawasan terbabit atau memang malas untuk bekerja di sebalik disediakan segala kemudahan kerajaan. Misalnya, mungkin orang yang dianggap miskin tegar di luar bandar atau pedalaman mempunyai tanah, tetapi tidak mengusahakannya. Jika mereka tidak tahu mengusahakannya, jawatankuasa Kabinet boleh arahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian menemui orang ini dan mencari jalan membantu. Kita juga berharap kerajaan mengurangkan pemberian subsidi kerana untuk membantu rakyat yang sudah lebih setengah abad merdeka, ia memerlukan anjakan paradigma dengan turut memastikan tidak mengharapkan bantuan semata-mata, tetapi berusaha sendiri. Walaupun kerajaan memang berhasrat mengurangkan subsidi supaya rakyat boleh berusaha sendiri, ia belum lagi mahu melakukannya secara drastik. Bagi subsidi minyak, misalnya kerajaan memang ada rancangan mengurangkan subsidi serta mahu bantuan disasarkan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukannya seperti nelayan.

Bagi jangka panjang, antara pendekatan dilaksanakan kerajaan dalam membasmi kemiskinan seperti dinyatakan Abdullah kelmarin ialah menerusi pelajaran dengan menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk mengecualikan yuran peperiksaan sejak 2006 serta menghapuskan yuran persekolahan dan memberi buku teks percuma mulai tahun ini. Kita tidak mahu kerana dibelenggu kemiskinan seperti keadaan sebelum merdeka, anak tidak dihantar ke sekolah atau tidak dapat menduduki peperiksaan. Sepatutnya, dalam usaha membasmi kemiskinan tegar ini, semua pihak termasuk parti pembangkang perlu bekerjasama. Kerjasama itu termasuk tidak menghasut penduduk supaya jangan menerima program pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita berharap semua projek dirancang menerusi koridor ekonomi wilayah di seluruh negara nanti dapat mengurangkan kadar kemiskinan secara drastik.

Berita Harian