
KUALA LUMPUR: Amalan menyebat atau memukul dengan rotan tidak pernah wujud dalam kaedah membuang saka mengikut Islam, sebaliknya penggunaan ayat suci Al-Quran dan azan adalah cara terbaik untuk ‘menyeksa’ jin peliharaan sekali gus menghindarinya.
Pengamal Perubatan Islam Darussyifa’, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata mana-mana pengamal perubatan tradisional menggunakan pendekatan rotan itu hanya menyeksa dan menyakitkan badan pesakit saja manakala jin peliharaan yang sepatutnya dibuang itu akan tetap ada.
Untuk itu, katanya orang ramai tidak harus cepat mempercayai mahupun terpengaruh dengan kaedah sedemikian kerana ia jelas mengarut dan boleh menjurus kepada perkara kurafat serta syirik yang sememangnya dilarang keras Islam, malah berdosa besar.
“Saya tidak tahu bagaimana dia (bomoh terbabit) dapat idea rotan mampu membuang saka tetapi apa yang pasti hingga kini belum ada lagi ilmu dalam Islam menyatakan kaedah rotan berupaya menyelamatkan mangsa daripada mewarisi hantu secara saka.
“Ini semua mengarut saja. Kita tidak seharusnya cepat percaya dengan perkara sebegini sebaliknya berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menuntut setiap umatnya mengamal surah tertentu dan berzikir bagi menghindari pengaruh saka,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib seorang wanita yang terpaksa menanggung sengsara apabila dipukul dan disebat lebih 200 kali dengan rotan oleh seorang bomoh yang menuduh mangsa mewarisi hantu secara saka.
Harian Metro semalam melaporkan wanita terbabit disebat hampir seluruh badan dalam satu upacara membuang saka dan semakin derita apabila kesan pukulan itu menyebabkan barah tulang dihadapinya sejak 11 tahun lalu bertambah kritikal.
Wanita berkenaan mendakwa termakan kata-kata pembantu rumah bahawa anaknya berusia lima tahun yang kerap mengigau ketika tidur mungkin diganggu hantu, justeru segera menemui bomoh itu di Sungai Buloh untuk memulihkannya.
Mohd Fauzi berkata antara surah yang mampu ‘menyakitkan’ jin peliharaan dan mendera mereka adalah al-Fatihah, surah al-Baqarah iaitu ayat satu hingga lima serta tiga ayat terakhirnya, ayat Kursi dan tiga Qul selain azan.
Begitupun, katanya mereka yang mewarisi saka hanya benar-benar terlepas daripada cengkaman jin peliharaan berkenaan jika tekun beribadat kepada Allah, sering melakukan qiamulail atau sembahyang lewat malam dan banyak membaca al-Quran.
“Memang kaedah perubatan Islam tidak menampakkan hasil secara terus tetapi kita perlu yakin pada kekuasaan Yang Maha Esa termasuk beribadat kepada-Nya kerana syaitan sememangnya takut dan benci pada umat yang beramal kepada Allah,” katanya.
Selain itu Mohd Fauzi turut menasihatkan orang ramai supaya menghindari amalan saka kerana walaupun ia memberi kelebihan kepada tuannya tetapi itu semua hanyalah tipu helah makhluk ghaib berkenaan yang mahu menyesatkan manusia.
Katanya, pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah swt.
Harian Metro