Citizen Dog, ataupun dalam bahasa Thai, Mah Nakorn merupakan sebuah filem komedi romantik yang diselitkan unsur fantasi dan abstrak. Filem surealis begini mungkin sukar untuk menarik minat penonton untuk memenuhi pawagam namun cara penceritaan dan penggunaan efek serta CGI yang canggih dalam filem ini mengkagumkan saya.Jalan ceritanya senang, ia mengisahkan tentang Pod, seorang budak kampung yang tidak tahu matlamat hidupnya telah merantau ke bandaraya Bangkok walaupun telah ditegah oleh neneknya kononnya dia akan ditumbuhi ekor bila sampai ke bandaraya itu.
Di Bangkok, Pod menyaksikan dan mengalami beberapa peristiwa aneh antaranya zombi yang menunggang motosikal, hujan topi keledar, budak perempuan yang menghisap rokok dan bermain video games, teddy bear yang boleh bercakap, merokok dan minum arak.
Pod jatuh cinta pada Jin, seorang gadis yang sentiasa memakai baju biru dan obses pada sebuah buku berwarna putih yang ditulis dalam bahasa asing. Pod cuba untuk merapati Jin dan meluahkan perasaannya terhadap Jin namun Jin pula mabuk asmara dengan Peter, watak yang terdapat dalam buku berwarna putih yang sering dibacanya. Dia sering membayangkan Peter wujud dan menjadi seorang aktivis alam sekitar seperti Peter yang digambarkan dalam buku tersebut. Jin mula mengumpul botol plastik sehingga botol plastik yang dikumpulnya menjadi banyak hingga membentuk sebuah gunung. Jin kemudiannya menyertai demonstrasi membantah penggunaan botol plastik.
Akhirnya Jin sedar bahawa Peter hanyalah watak yang ditulis dalam buku tersebut dan buku itu adalah sebuah novel lucah yang ditulis dalam bahasa Itali. Jin menghilangkan diri. Sementara itu Pod pula menjadi satu-satunya manusia di bandaraya Bangkok yang tidak mempunyai ekor, membuatkan dia menjadi terkenal dan buruan pihak media. Pod melarikan diri dari khalayak ramai dan mendaki gunung botol plastik sehingga sampai ke puncak. Di puncak gunung tersebut Pod bertemu semula dengan Jin dan berjaya meluahkan isi hatinya. Mereka akhirnya berkahwin dan setelah berkahwin seperti yang telah diberitahu oleh neneknya, Pod kini mempunyai ekor. Maka tiada lagi manusia di bandaraya Bangkok yang tidak mempunyai ekor.
Filem ini telah diarahkan oleh Wisit Sasanatieng dan berdasarkan pada idea isterinya Siriphan Techajindawong. Filem ini juga dikatakan mempunyai persamaan dengan sebuah filem Perancis berjudul Amélie. Filem ini telah meraih beberapa anugerah antaranya :
> Kesan Visual Terbaik dalam Thailand National Film Association Awards 2004.
> Pingat Perak untuk Most Groundbreaking Film dan pingat Gangsa untuk filem terbaik Asia di Fantasia Festival 2006.
> Anugerah Kritik di Deauville Asian Film Festival 2005.
Pelakon yang melakonkan watak Pod ialah Mahasamut Boonyaruk, seorang penyanyi underground dan vokalis untuk kumpulan Saliva Bastards. Dia turut menyumbangkan lagu untuk runut bunyi filem ini.
- NOKEMIKAL