Memiliki ciri-ciri seorang sahabat sejati perlu diterapkan dalam setiap perjalanan kehidupan kita. Tanpa mereka di sisi, bagaikan diri kehilangan sebuah lagi tempat untuk mengadu.'Berkasih biar seribu, berkawan biar satu'. Itulah ungkapan paling sesuai buat kita dalam menjalinkan hubungan mesra dengan insan bergelar sahabat. Tujuan mencari kawan bukan sekadar untuk menambah kenalan, tetapi perlu menjalinkan hubungan yang baik, selain berupaya menanamkan sikap profesional.
Justeru, bagaimana pula jika anda bersikap di luar kawalan sehingga boleh menimbulkan kebencian masyarakat di sekeliling? Ketika itu, tiada faedah lagi memiliki ramai kawan jika tiada seorang pun yang benar-benar serasi dengan anda.
Pernahkah anda terfikir, kenapa ini yang terjadi? Mungkin ia berlaku disebabkan sikap dan tingkah laku anda sendiri. Jika benar, sudah tiba masanya untuk anda berubah sikap sekali gus buangkan karakter negatif anda. Pastikan anda menjadi seorang teman pilihan di kalangan sahabat lain. Tip berikut semestinya dapat membantu diri anda berubah ke arah sikap paling positif dan disenangi ramai sahabat handai di pejabat.
1. Baik hati
Jadilah seorang sahabat yang berhati mulia. Dengan memiliki sikap sebegini, anda sentiasa didekati ramai sahabat. Contohnya, jika pergi melawat ke sesuatu destinasi tidak kira di dalam mahupun di luar negara, belilah barangan berupa cenderahati sebagai hadiah kenangan buat rakan anda. Beli sekadar yang termampu. Biarpun kecil nilainya, ia sudah cukup untuk dihargai.
2. Peramah
Dalam menempuh kehidupan harian, kita seharusnya perlu menanamkan sikap peramah dalam apa juga keadaan. Hanya dengan sapaan 'Apa khabar', 'Hai' dan 'Maaf' sudah cukup menunjukkan anda seorang yang begitu peramah akan memberi kesan positif terhadap perhubungan yang dijalinkan anda selama ini.
3. Buangkan sikap ego
Tidak salah rasanya jika anda mengaku kesalahan daripada hanya mendiamkan diri sehingga menjejaskan perhubungan. Cuba tanya pada diri sendiri, dapatkah anda menahan sikap ego itu disebabkan perkara kecil? Perlu diingat, jika perangai tersebut masih berterusan, pasti anda akan disisihkan rakan-rakan lain. Buangkan rasa ego yang tertanam dalam diri selama ini. Contohnya, sekiranya rakan-rakan meminta bantuan daripada segi kewangan, cuba bantunya sekadar yang termampu.
4. Mencipta kemesraan
Biarpun anda tidak mengetahui tempoh sesuatu jalinan persahabatan bersama rakan, pastikan anda sentiasa mewujudkan kemesraan antara satu sama lain. Kemesraan boleh dicapai apabila anda mengingati tarikh lahir atau sambutan ulang tahun bersama kekasihnya.
5. Menghargai hak peribadi rakan
Berkawan biarlah ada batasannya. Mungkin anda sudah lama menjalinkan persahabatan dengannya. Perlu tahu, keakraban tidak semestinya kamu mempergunakan kelebihan atau tidak menghargai hak peribadi seorang sahabat. Dalam menghuraikan maksud persahabatan, seseorang sahabat akan menjadikan anda sebagai tempat untuk mengadu nasib atau masalah yang dihadapinya. Jangan pula anda mengambil kesempatan membongkar rahsianya.
Begitu juga apabila anda meminjamkan barangan miliknya, minta kebenaran dan pulangkan dalam kadar yang segera. Tanamkan rasa malu, jangan jadikan barangan tersebut harta persendirian atau hak milik anda.
6. Saling mempercayai
Tiada siapa yang mahu dirinya digelar manusia yang tidak boleh dipercayai. Ketika berkawan, kepercayaan merupakan teras kekuatan dalam sesuatu hubungan persahabatan. Jadi, anda perlu memberi kepercayaan sepenuhnya dan menghargai kepercayaan kawan-kawan atau orang lain. Jangan sesekali menghilangkan rasa percaya orang lain hanya dengan sesuatu perkara yang sepatutnya tidak harus terjadi.
Kosmo! 24 Ogos 2007