KETIKA China sedang sibuk mempromosikan Olimpik 2008, pihak berkuasa tempatan di Beijing kini berusaha keras memastikan segala-galanya elok menjelang temasya berprestij itu tahun depan dengan membuat persiapan rapi.Malah, kebanyakan lebuh raya di Beijing juga sudah diperbesarkan menjadi tiga atau empat lorong. Namun, belum dipastikan sama ada langkah itu serta beberapa kaedah lain berjaya mengurangkan masalah kesesakan atau tidak.
Bagaimanapun, satu aspek yang paling menyerlah ketika berkunjung ke Beijing ialah kebersihan tempat awamnya yang mula ditekankan oleh pihak berkuasa tempatan sejak lebih setahun.
Tidak ada sampah kecil atau puntung rokok di dalam pasu bunga di siar kaki jalan raya Beijing manakala pemungut sampah sentiasa saja meronda dan mengutip daun atau sampah kecil.Beberapa lokasi pelancongan utama di sekitar Beijing seperti Kota Larangan (Forbidden City), Istana Musim Panas (Summer Palace) dan Tembok Besar China giat dibersihkan, diubahsuai atau dicat untuk menyambut tetamu besar pada tahun depan.
Bahang Olimpik 2008 amat terasa apabila berkunjung ke Beijing pada waktu ini sehingga hari pelancarannya yang dijadual pada 8 Ogos tahun depan. Pada musim panas di Beijing tahun depan, ibu kota itu akan menjadi tuan rumah kepada temasya yang akan mengumpulkan lebih 500,000 atlit dan pegawai sukan dari seluruh dunia.
Dalam tempoh kurang 360 hari daripada tarikh pelancaran, Beijing dilihat bersedia sepenuhnya ke arah memastikan ia berlangsung meriah. Kesempatan mengunjungi Beijing baru-baru ini menyaksikan kesediaan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk Beijing untuk menyambut kedatangan Olimpik 2008.Layar gergasi berukuran empat meter lebar dan 10 meter panjang menayangkan secara berselang-seli promosi Olimpik 2008 sebaik melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Stadium Nasional China kelihatan seperti sarang burung yang mengagumkan sedang dalam proses pembinaan dan bakal menjadi mercu tanda utama Olimpik 2008 di Beijing Olympic Park Stadium seluas 258,000 meter persegi itu akan menjadi lokasi utama Olimpik 2008 nanti membabitkan sukan olahraga dan bola sepak selain lokasi upacara perasmian dan penutup. Ia dijangka siap awal tahun depan.

Musim panas di Beijing agak menyesakkan dan berjerebu sehinggakan rangka Stadium Nasional China itu hanya kelihatan samar-samar walaupun daripada jarak kurang satu kilometer. Apa pun, persediaan ke arah temasya bertemakan “Satu Dunia Satu Impian” itu tetap berlangsung dengan giat sehingga kepada hari pelancaran rasmi pada 8 Ogos 2008.
Hampir segenap Beijing ada papan tanda yang memaparkan maskot rasmi Olimpik 2008 - Fuwa, yang melambangkan ucapan selamat sejahtera kepada kanak-kanak di seluruh dunia mengikut tradisi China.
Lima Fuwa itu diwakili Beibei, Jingjing, Huanhuan, Yingying dan Nini yang secara simbolik mewakili beberapa haiwan penting China seperti ikan, panda, rusa Tibet dan burung layang-layang. Huanhuan yang berwarna merah adalah maskot terbesar digambarkan sebagai Semarak Olimpik.
Di Dataran Wang Fuji, di mana tersergam beberapa pusat beli-belah mega di pusat bandar raya Beijing, penganjur mengadakan pelbagai gimik promosi termasuk meletakkan maskot Huanhuan di depan pintu masuk untuk orang ramai bergambar.
Dalam pasar raya pula, selain pameran, disediakan juga permainan bola sepak interaktif untuk kanak-kanak bagi memeriahkan “count down” ke Olimpik 2008.
Pelbagai cenderamata berlogo Olimpik 2008 sudah mula dijual di beberapa pasar raya di Beijing.
Di kebanyakan gedung pula, rata-rata peniaganya melaungkan “mari mari, harga istimewa Olimpik”, sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, membayangkan semangat rakyat negara itu menyambut tetamu pada Olimpik 2008.
Oleh Johari Ibrahim (yang mengunjungi Beijing, China baru-baru ini)
Berita Harian
25 Ogos 2007