“SAYA hadiahkan satu sajak kepada generasi muda sempena kemerdekaan negara ke-50. Sajak ini saya tulis tahun lalu tetapi belum pernah disiarkan.”
Itu kata dan harapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas terhadap sajaknya berjudul Pohon yang bertarikh 18 Ogos 2006, dengan menggunakan nama pena, Haji Anas Abdul Rahman.
Sebagai pemimpin berpengalaman kerana melihat dan merasai pahit getir pemimpin terdahulu berjuang menentang penubuhan Malayan Union sehingga membawa kemerdekaan negara, beliau mahu generasi muda menghayati dan menjadikan sajak itu sebagai pedoman bagi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
“Inilah nasihat dan hadiah saya kepada rakyat terutama generasi baru,” katanya yang turut membenarkan karyanya dikeluarkan untuk tatapan umum selepas setahun dihasilkan.
Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, Abdul Rahman, 69, sudah didedahkan dengan perjuangan menentang penjajahan Inggeris apabila menyaksikan sendiri betapa hebat pejuang yang bersusah payah dan berkorban demi tanah air tercinta.
Ketika penentangan terhadap Malayan Union yang membangkitkan rasa marah terhadap penjajahan Inggeris, Abdul Rahman masih di sekolah rendah. Semangat orang Melayu ketika itu cukup hebat dan menentang Malayan Union habis-habisan.
“Saya masih ingat guru dan orang Melayu cukup marah dengan taktik penjajah Inggeris yang cuba menghapuskan kedudukan Raja Melayu dan hak orang Melayu. Guru meminta kami semua melilit kain putih pada songkok sebagai tanda berkabung... bersedih kerana hak Melayu hendak dirampas,” katanya.
Pada peringkat daerah iaitu di Kepala Batas, beberapa pemimpin turut berjuang termasuk Datuk Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Allahyarham Datuk Mat Said dan Allahyarham Datuk Ibrahim Razak.
Malah, Datuk Onn Jaafar pernah datang ke Kepala Batas ketika berkempen mengajak orang Melayu bersatu berjuang menentang Malayan Union.
Selepas itu, kepemimpinan Umno diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pada peringkat awal memimpin Umno, Tunku Abdul Rahman yang tinggal di Teluk Air, Seberang Prai, sering mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno di Kepala Batas termasuk Tun Sardon Jubir (Ketua Pemuda Umno Malaya ketika itu) dan Ahmad Badawi (Naib Ketua Pemuda Umno Malaya).
“Tunku Abdul Rahman cukup berpengaruh dan ramai pemimpin Umno sering mengadakan pertemuan di Kepala Batas. Itulah antara ingatan awal saya mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan,” katanya.
Ketika zaman kanak-kanak, Abdul Rahman tidak ketinggalan menyaksikan perarakan Pemuda Umno yang diketuai Sardon di Butterworth. Pemimpin Umno bersama rakyat jelata sanggup berjalan kaki, berbasikal untuk menghadiri perhimpunan yang diadakan di Butterworth.
Penduduk dari Kepala Batas termasuk Abdul Rahman dan Abdullah (Perdana Menteri) turut sama dalam rombongan itu yang membawa dua tempayan air sirap di atas kereta lembu untuk diminum.
“Perbarisan diadakan cukup hebat yang dapat membangkitkan semangat orang Melayu,” katanya sambil menambah pejuang kemerdekaan berjuang dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran.
Selepas mendapat pendedahan awal mengenai perjuangan kemerdekaan oleh pejuang termasuk Tunku Abdul Rahman dan menganggap Ahmad Badawi sebagai mentornya, Abdul Rahman terus dicurahkan dengan semangat kemerdekaan apabila melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI, sekarang dikenali Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim.
Beliau yang memulakan pengajian pada 1955, mendapat pendedahan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan bukan saja daripada pejuang tanah air, malah dari Indonesia, sama ada melalui ceramah atau novel karya pemimpin itu.
Nama besar pejuang tempatan seperti Ibrahim Yaakob, Tun Ghafar Baba, Harun Mohd Amin (Harun Aminurashid), Za'aba (Zainal Abidin Ahmad), sentiasa meniti di bibir mulut penuntut MPSI termasuk Abdul Rahman.
Pejuang dari Indonesia pula termasuk Sukarno, Dr H Mohamad Hatta dan Amir Syarifudin banyak mempengaruhi perjuangan anak muda di MPSI yang ternyata melahirkan ramai pejuang kemerdekaan.
“Za'aba cukup bersemangat menggalakkan anak Melayu belajar dan menuntut kemerdekaan. Tokoh itu menjadi idola kepada kami di MPSI untuk sama-sama menuntut kemerdekaan,” katanya.
Abdul Rahman menjelaskan meskipun penuntut MPSI tidak berpeluang berjumpa dengan semua pemimpin berkenaan, tetapi kata-kata perangsang mereka yang dipaparkan dalam buku cukup membangkitkan semangat.
Pengaruh Indonesia dan India yang baru mencapai kemerdekaan daripada penjajah Belanda dan Inggeris turut membantu meningkatkan lagi semangat anak muda.
“Anak muda pada masa itu memang bersemangat sebab Indonesia dan India baru mencapai kemerdekaan. Jadi, pejuang Indonesia seperti Sukarno dan Mohamad Hatta menjadi sebutan dan banyak mempengaruhi semangat anak muda,” katanya.
Meskipun tidak menyertai Tunku Abdul Rahman dan ribuan menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Abdul Rahman bersama penuntut MPSI tetap mengadakan sambutan pada peringkat maktab yang tidak kurang hebatnya.
“Perayaan di maktab cukup hebat dengan pelbagai program diadakan termasuk persembahan sandiwara, ceramah serta deklamasi sajak. Sambutan cukup hebat,” katanya.
Berita Harian
27 Ogos 2007