JAMINAN kerajaan bahawa harga rumah kos rendah kekal pada RM42,000 dan tidak dinaikkan kepada RM60,000 seperti yang dituntut baru-baru ini sudah tentu melegakan rakyat di negara ini terutama mereka berpendapatan rendah dan yang masih belum memiliki rumah sendiri. Tuntutan yang dibuat oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) itu adalah tidak munasabah dan tidak boleh disamakan dengan barangan lain. Alasan kononnya pemaju tidak mampu menyerap kenaikan kos membina rumah kos rendah berikutan peningkatan harga bahan binaan tidak dapat diterima kerana pemaju terbabit bukannya membina rumah kos rendah semata-mata tetapi juga membina rumah lain yang lebih mahal. Malah keuntungan yang diperoleh bagi rumah jenis lain adalah berlipat ganda dan membebankan pembeli berpendapatan sederhana. Sebagai contoh, harga rumah teres dua tingkat di kawasan bandar kini sudah mencecah lebih RM300,000 dan rumah berkembar pula melebihi RM600,000, malah harga apartmen pun kini sudah melambung begitu tinggi. Pemaju selalunya akan membina rumah jenis lain yang berharga lebih mahal terlebih dulu sebelum memenuhi syarat membina rumah kos rendah.
Apapun, kita berharap langkah penjimatan yang mungkin diambil oleh pemaju tidak akan menyebabkan kualiti rumah yang dibina juga merosot sama ada dari segi kegunaan bahan binaan seperti simen mahupun dari segi mutu pembinaannya. Adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi di bawahnya untuk memastikan bahawa harga siling rumah kos rendah itu yang dikekalkan pada tahap RM42,000 tidak menyebabkan pemaju berkompromi dengan kualiti binaannya. Adalah wajar satu unit pengawal seliaan ditubuhkan bagi memantau semua projek perumahan terutama rumah kos rendah dan memastikan pemaju mematuhi peraturan yang ditetapkan. Unit itu juga akan melaporkan terus kepada kementerian setiap masalah yang dihadapi pemaju supaya ia dapat dibincang secara terperinci bagi mencari penyelesaian dan mengutamakan kebajikan rakyat kurang mampu yang menjadi pembeli rumah kos rendah di seluruh negara.
Berita Harian
25 Ogos 2007