Ahad, 26 Ogos 2007

Menjadi ‘tuan’ melalui keusahawanan

SEJAK 2005 hingga ke hari ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (MECD) sudah berjaya melahirkan berpuluh ribu usahawan baru dalam pelbagai bidang, daripada sektor peruncitan sehinggalah ke sektor automotif.

Bagi golongan usahawan dan bakal usahawan, program ini adalah sesuatu yang sangat dinantikan kerana ia adalah pusat sehenti yang komprehensif – membezakannya dengan penganjuran karnival, expo, pameran berkonsep jualan atau mempromosikan produk.

Ia adalah program keusahawanan khusus yang menggabungkan tiga aspek utama iaitu pembudayaan, penyediaan bantuan dan peluang.

Penganjuran program ini adalah selari dengan visi kerajaan untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya saing dan mampu meneroka kekayaan baru.

Sejak mula dilancarkan pada Mei 2005, MECD membawa Gerak Usahawan ke seluruh negara bermula di Selangor, diikuti Kedah, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Iltizam MECD tidak terbatas setakat di Semenanjung Malaysia, malah turut dinikmati oleh penduduk Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan statistik terkini, melalui Gerak Usahawan berpuluh ribu usahawan baru berjaya dibangunkan dalam pelbagai bidang seperti pemakanan dan minuman, kosmetik, jualan langsung, insurans, perkhidmatan, telekomunikasi, teknologi, pertanian, francais, tekstil sehinggalah kepada sektor automotif.

Formula kejayaan program ini sangat unik. MECD sudah berjaya ‘membudayakan’ terlebih dulu semua agensi di bawahnya dengan semangat keusahawanan.

Hasilnya, Gerak Usahawan mendapat sokongan padu daripada semua agensi MECD terutama Uda Holdings, Bank Rakyat, Mara, Bank SME, Bank Pembangunan, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Yayasan Tekun Nasional.

Ini dapat dilihat melalui komitmen dan kehadiran Ketua Eksekutif setiap agensi di bawah naungan MECD pada setiap program Gerak Usahawan yang diadakan.

Tidak cukup dengan itu, setiap agensi menawarkan perkhidmatan terbaik untuk bakal usahawan dengan menyediakan pusat sehenti yang meliputi khidmat bimbingan, peluang pembiayaan dan pinjaman serta sokongan berterusan dalam pelbagai aspek yang lain.

Selain membudayakan masyarakat mendekati dunia perniagaan, program Gerak Usahawan terus berlangsung dengan lebih kreatif dan kompetitif dengan menawarkan lebih banyak peluang perniagaan.

Kini, bakal usahawan boleh menilai potensi diri masing-masing dan membuat ‘padanan perniagaan’ dengan pelbagai sektor yang ditawarkan iaitu herba, perabot, grafik, gas dan petroleum, kontrak tanaman, kontrak perusahaan, skim pembangunan vendor dan pelbagai lagi.

Kejayaan MECD sebagai kementerian yang bertanggungjawab membudayakan bidang keusahawanan, menyediakan bimbingan dan sokongan berterusan boleh diukur melalui minat rakyat terutama golongan muda dan siswazah yang kini tidak lagi teruja untuk ‘makan gaji’ tetapi sudah bersedia menjadi ‘tuan’ untuk diri sendiri.

Antara sedar atau tidak, dengan bimbingan yang diperoleh daripada MECD dan agensi di bawahnya, ketidakupayaan perniagaan boleh dikurangkan hingga ke paras sifar.

Bagi golongan usahawan, mereka sudah tentulah ‘terhutang budi’ dengan penganjuran program seumpama ini yang terbukti berjaya meningkatkan potensi keusahawanan mereka.

Semoga program Gerak Usahawan hasil cetusan idea Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sejurus selepas dilantik menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2004 akan terus menempa kejayaan buat semua usahawan dan bakal usahawan.

Pada hari ini, peneraju sektor keusahawanan negara dan semua pihak yang terbabit dalam industri perniagaan akan bersama-sama dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mendengar amanat Perdana Menteri untuk terus membudayakan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan.

Oleh Amirul Aiman

Berita Harian
25 Ogos 2007