Ahad, 26 Ogos 2007

Transformasi sektor pengajian tinggi - Empat faktor kritikal perlu diperbaiki untuk jadikan negara hab pendidikan

SEJAK November 2006, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sudah membiaya iklan khas dalam media China untuk menarik lebih ramai pelajar negara komunis itu belajar di universiti AS. Kempen itu diketuai sendiri Setiausaha Negara bagi Perdagangan Antarabangsa, Frank Lavin.

Secara keseluruhan dalam tempoh 2000 hingga 2005, bilangan pelajar asing ke AS meningkat 17 peratus, berbanding 81 peratus di Perancis dan 108 peratus di Jepun.

Banyak negara maju mula menyedari bahawa sektor pengajian tinggi tidak terbatas kepada penjanaan modal insan tempatan, bahkan boleh mendatangkan pulangan ekonomi berganda. Jumlah pelajar asing di serata dunia dianggarkan 2.5 juta.

Pada tahun lalu saja, menurut laporan majalah Newsweek edisi terkini, pelajar asing menyumbang sejumlah AS$14 bilion (RM49 bilion) kepada ekonomi AS dalam bentuk bayaran tuisyen dan sara hidup.

Pulangan lain juga dapat dirasakan dengan ketara dari segi penjanaan kualiti serta kuantiti produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bentuk harta intelek dan pemantapan budaya ilmu martabat tinggi. Saingan utama AS ketika ini ialah Britain, Australia, Perancis, Jepun dan Kanada.

Menyedari potensi sektor itu, maka Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka pelan strategik pengajian tinggi negara (PSPTN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata PSPTN dirangka selari dengan inisiatif mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara maju dan hab pengajian tinggi di rantau ini.

“Kita perlu memastikan pengajian tinggi berada pada landasan kukuh, mantap dan berkesan. Hal ini selaras dengan perancangan meningkatkan tenaga pekerja berpendidikan tertiari kepada 33 peratus, seperti unjuran Unit Perancang Ekonomi (2007) menjelang 2020,” katanya.

PSPTN dirangka untuk menterjemahkan teras kedua Misi Nasional iaitu melahirkan modal insan minda kelas pertama bagi menghadapi cabaran pembangunan ekonomi berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi.

Modal insan dalam konteks PSPTN juga dirangka selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terangkum dalam Akta Pendidikan 1996 bagi mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Pengembangan potensi insaniah ini bertujuan melahirkan warganegara berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Dari satu segi, PSPTN mempunyai keunikan tersendiri dengan mengadunkan pemikiran pendidikan aliran utilitarian dengan aliran keinsanan. Ia selari dengan perakuan Laporan Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia (2005) bahawa ‘kedua-kedua aliran pemikiran adalah relevan dan penting dan dengan itu perlu disepadukan dalam gerakan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara’.

Mustapa dan warga KPT wajar diberi tahniah kerana PSPTN adalah dokumen terawal menggariskan matlamat pengajian tinggi secara jelas dan tuntas, iaitu untuk menghasilkan graduan berpengetahuan dan cekap dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menggunakan pengetahuan kepada amalan.

Selain itu, PSPTN juga dirangka untuk melahirkan graduan inovatif, berkebolehan kognitif (berfikiran analitikal dan kritikal, berupaya menyelesaikan masalah), menguasai pelbagai bahasa dan mahir berkomunikasi. Graduan juga diharap akan celik teknologi serta menghayati nilai murni dan mampu menyumbang bakti kepada masyarakat, negara dan dunia.

Kejayaan PSPTN banyak bergantung kepada pelaksanaan pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang merangkumi universiti awam (20), politeknik awam (21), kolej komuniti (37), universiti dan kolej universiti swasta (36) serta kolej swasta (485) yang keseluruhan berjumlah 599 (sehingga Jun 2007). Kecemerlangan IPT banyak bergantung kepada kepemimpinan berkesan, budaya kerja dan hala tuju organisasi terbabit.

Menerusi PSPTN, IPT akan dipacu mengguna dua pendekatan. Pertama, memperkukuh pembelajaran berteraskan pengetahuan, penyelidikan impak tinggi menerusi hubungan akrab akademia-industri, elitis dari segi pencapaian dan khidmat masyarakat.

Kedua, pengajian tinggi akan lebih bersifat terbuka dengan penekanan kepada pendidikan sepanjang hayat menerusi peranan universiti terbuka, politeknik dan kolej komuniti. Menerusi sistem pengajian tinggi bersepadu ini, IPT menyediakan peluang dan ruang lebih luas bagi mobiliti pelajar mendapat pendidikan dan latihan.

Secara ringkas, strategi yang terangkum dalam PSPTN mengandungi tujuh teras, iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguhkan penyelidikan dan inovasi; memperkasakan IPT; mempergiatkan pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian KPT.

PSPTN secara jelas menegaskan bahawa perluasan akses dan ekuiti pengajian tinggi selari meritokrasi. Selain itu, penyertaan dalam pengajian tinggi perlu ditingkatkan menerusi kepelbagaian bakat dan keupayaan akademik, menjaring akses menerusi program sedia ada dan baru. Teras ini mengurang jurang kelas sosial, gender, usia, etnik, wilayah dan keupayaan fizikal.

PSPTN juga memberi tumpuan kepada pengupayaan aktiviti penyelidikan di IPT selari dengan Sistem Inovasi Kebangsaan (SIK). Sehubungan itu, jalinan kerjasama antara pelbagai komponen dalam SIK akan dimantapkan menerusi sumber kewangan mencukupi dan mekanisme pengurusan R&D lebih efektif dan efisien.

Untuk setanding universiti terbaik dunia, PSPTN menggariskan langkah untuk memperkasakan kepemimpinan IPT, peningkatan tahap profesionalisme fakulti, peningkatan kualiti tenaga pengajar menerusi latihan pasca ijazah dan pasca doktoral secara berterusan dan penambahan tenaga penyelidik. Selain itu, IPTA secara amnya disarankan menambah pendapatan ke arah mencapai autonomi.

Selari dengan hasrat menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi, PSPTN dijangka akan menjadi pemangkin pengantarabangsaan IPT menerusi pertukaran akademik dan pelajar, kerjasama R&D dan akademik dengan universiti terkemuka.

Diharapkan PSPTN berupaya mentransformasi sektor pengajian tinggi negara secara keseluruhannya. Sehubungan itu, empat faktor kritikal dikenal pasti iaitu tadbir urus, budaya, infrastruktur dan sumber.

Dalam konteks PSPTN, tadbir urus merangkumi isu ketelusan, tanggungjawab, integriti dan sistem penyampaian konsisten. Antara aspek tadbir urus yang sering kali menjadi perhatian umum ialah proses pelantikan pengurusan tertinggi IPT yang dijangka akan lebih telus berdasarkan merit, pengukuran prestasi mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI), penurunan kuasa tertentu, autonomi secara berperingkat dan pemantapan sistem penyampaian.

Budaya ilmu adalah teras kepada kemajuan sesebuah IPT. Budaya berkait rapat dengan sistem nilai supaya tidak terlalu berorientasikan kerjaya, sebaliknya lebih menjurus kepada pembangunan insaniah secara menyeluruh.

Selain itu, iltizam mendalami kemahiran khusus, semangat keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat juga menyuburkan budaya ilmu murni, sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi. Aspek sumber, termasuk mekanisme dan kerangka pembiayaan pengajian tinggi lestari. Selain itu, sumber manusia berkualiti dan berkemahiran tinggi juga perlu dipertingkatkan serta pembabitan industri untuk bersama menjayakan transformasi pengajian tinggi.

Perdana Menteri pernah menyatakan kejayaan agenda pembangunan modal insan minda kelas pertama amat bergantung kepada mutu pendidikan negara. Dalam konteks ini, PSPTN adalah wasilah merealisasikan transformasi sistem pengajian tinggi negara. PSPTN juga dijangka meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pengajian tinggi utama dalam peta minda cendikiawan dan pelajar dari seluruh dunia.

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang

Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian
27 Ogos 2007