
DUNIA perfileman sejak 50 tahun lalu di negara kita berkembang dengan pesat sekali. Ia antara bidang yang lahir dengan sifatnya amat hampir dengan kehidupan seharian. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa perkembangan bidang perfileman berlegar-legar dalam ruang yang selari dengan perkembangan minda khalayaknya.
Perkembangan industri filem di negara ini sudah bermula sejak 1930-an lagi. Sehingga kini, purata penerbitan filem di Malaysia adalah 15 filem setahun serta antara 300 hingga 400 drama dan drama bersiri pelbagai genre turut diterbitkan syarikat penerbitan tempatan.
Filem pertama diterbitkan ialah Laila Majnun pada 1933 yang membawa tema percintaan klasik Parsi yang akhirnya menampilkan kematian kedua-dua watak utamanya. Kejayaan filem Melayu pertama arahan B S Rajhans yang diterbitkan di Singapura ini adalah pencetus idea kepada dua beradik iaitu Run Run dan Run Me Shaw untuk menubuhkan studio filem kecil sebagai permulaan di Jalan Ampas, Singapura.
Selepas terpaksa memberhentikan operasi pada 1941 kerana penjajahan Jepun di Tanah Melayu, Syarikat Shaw Brothers meneruskan operasi pembikinan filemnya sehingga 1947. Sehinggalah 1948, P Ramlee muncul dalam industri filem Melayu yang akhirnya menjadi lagenda di Malaysia dan Singapura. P Ramlee atau nama asalnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh terbabit dalam 65 filem, sama ada sebagai pelakon, pengarah, penulisan skrip atau penggubah lagu.
Filem pertama menampilkan Allahyarham adalah filem Cinta. Dalam filem pertama ini, beliau diberi peluang melakonkan watak utama. Pada 1961, Ramlee berkahwin dengan biduanita Saloma selepas dua perkahwinan awalnya menemui kegagalan. Bergandingan dengan isteri tercinta, beliau sempat menghasilkan 359 lagu yang dinyanyikan biduanita tersohor itu. Beliau pergi ke rahmatullah pada usia muda iaitu 43 tahun pada 1973 selepas lebih 25 tahun bergelumang dengan dunia seni.
Bermula pada 1930-an dan berkembang hinggalah ke era 1960-an, penghasilan filem Melayu banyak menampilkan pengarah diimport dari India. Faktor ini menyebabkan filem Melayu pada awal penerbitannya banyak mengambil rangka filem Hindustan yang mempunyai elemen nyanyian dan tarian. Hanya selepas era 1960-an, pengarah tempatan mula mengambil tempat dalam dunia pengarahan filem Melayu.
Sejak 1960 hingga 1970-an, perkembangan industri filem Melayu menunjukkan penerimaan yang baik di kalangan masyarakat. Penerimaan memberangsangkan terhadap filem diterbitkan studio filem Shaw Brother's (yang dikenali Malay Film Productions (MPP) melahirkan beberapa penggiat seni lain seperti Nusantara dan Rimau Film Productions yang kemudian menukar namanya kepada Keris Film Productions.
Dalam kerancakan pertumbuhan industri filem yang mula disiarkan dengan warna pada 1960-an, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sendiri berkesempatan menyumbang penulisannya dalam melahirkan filem Raja Bersiong.


Hakikat ini membuktikan filem mempunyai signifikan besar bukan hanya kepada penggemar dan penggiat seni, malah juga tokoh politik penting.
Jika dilihat daripada statistik Sinema Malaysia, portal perfileman Malaysia, filem diterbitkan di negara ini meningkat dari hari ke hari. Bermula dengan empat filem pada 1940-an, berlaku peningkatan sebanyak 55 filem yang menjadikan jumlah filem mencapai 59 buah pada 1950-an.
Pada 1980-an, bermulalah revolusi penerbitan filem Melayu yang mencapai sehingga 101 filem setahun, diikuti 103 filem pada 1990-an dan dari 2000 hingga 2007, ada 145 filem diterbitkan.
Peningkatan penerbitan filem tahun demi tahun menunjukkan filem mula memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Jika tidak, masakan jumlahnya meningkat dari tahun ke tahun? Pada masa sama, mengapa perlu sesetengah filem itu diharamkan?
Selain itu, perkembangan filem Melayu turut boleh dilihat menerusi variasi genre pelbagai. Daripada data diperoleh, kebanyakan filem Melayu diterbitkan di negara ini adalah dalam kategori komedi.
Sebanyak 188 filem komedi mendahului catatan rekod genre lain seperti cinta (151 filem) dan aksi (93 filem). Dalam masa sama, drama turut mendapat tempat di hati peminat seni tanah air dengan terbitan sebanyak 301 drama sehingga 2007.
Tidak keterlaluan jika dikatakan filem berkembang dalam bentuk yang cukup signifikan dalam ruang lingkup masyarakat Malaysia. Hari ini, filem tidak lagi dijadikan alat untuk berhibur semata-mata, malah mula digunakan sebagai alat pengajaran secara formal dan tidak formal.
Pembicaraan membudayakan filem sebagai alat pengajaran pernah dibincangkan secara akademik pada 2006 oleh Prof Dr Naim Ahmad dalam buku terbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjudul Bicara Media 1.
Menurut Naim, filem yang digunakan sebagai alat pendidikan boleh dilihat melalui dua perspektif iaitu pertama, apa saja filem yang boleh diguna dan dieksploit secara sistematik oleh seseorang untuk mencapai objektif pendidikannya.
Dalam hal ini, boleh dikatakan semua filem boleh digunakan untuk pendidikan bergantung kepada kebolehan pengajarnya. Perspektif kedua, khusus kepada filem direkabentuk dan dihasilkan secara khusus menggunakan pendekatan tertentu dan kemudian digunakan dalam pengajaran serta pembelajaran dengan kaedah tertentu dan diintegrasikan ke dalam kurikulum untuk mencapai objektif ditentukan.

Penilaian daripada kedua-dua perspektif diberikan ini memberi isyarat semua filem adalah filem yang boleh digunakan untuk tujuan pendidikan jika digunakan dengan betul oleh tenaga pengajarnya.
Apa boleh disimpulkan daripada pengertian ini adalah filem sentiasa bergerak bersama-sama kehidupan masyarakat, malah menjengah kehidupan manusia dengan lebih rapat impak peranan yang boleh dimainkannya daripada aspek pendidikan.
Perkembangan filem secara tidak langsung menampilkan banyak signifikannya kepada perkembangan sesuatu masyarakat. Nyata filem bukan hanya berevolusi seiring dengan mentaliti masyarakatnya, filem membuktikan bahawa ia juga mampu membentuk minda masyarakat.
Oleh Siti Suriani Othman
Penulis adalah pensyarah Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM
Berita Harian
27 Ogos 2007