KEMERDEKAAN negara sejak 50 tahun lalu turut memberi peluang sama rata kepada wanita di negara ini setaraf dengan lelaki. Hakikat wanita banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan berkebolehan dalam pelbagai bidang adalah sesuatu yang semua pihak akui. Namun, kejayaan mereka memegang beberapa jawatan penting adalah atas kebolehan masing-masing. Justeru, kita tidak setuju apabila ada pihak menyarankan supaya wanita diberi pelbagai keistimewaan lagi sedangkan dasar kerajaan tidak pernah mendiskriminasi golongan terbabit apatah lagi untuk mengabaikan kepentingan mereka. Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin yang memberi jaminan bahawa wanita berkemampuan dan berkebolehan akan diberikan tempat lebih tinggi sejajar dasar kerajaan untuk meletakkan yang terbaik di tempat sesuai tanpa mengira gender, mengetepikan segala andaian bahawa wanita tidak diletakkan di tempat seharusnya. Dasar negara ini tidak pernah mendiskriminasikan wanita, sebaliknya amat menghargai sumbangan mereka dan kita percaya ia akan berterusan sepanjang masa. Dalam konteks pembangunan wanita, perubahan mentaliti masyarakat terhadap peranan dan sumbangan wanita adalah satu syarat menjadi masyarakat maju. Kita semua, terutama wanita sendiri, harus menyedari bahawa mereka bukan hanya berperanan sebagai ibu, isteri dan pengurus tugas rumah tangga, tetapi juga berperanan sebagai pekerja, usahawan dan penyumbang ekonomi seiring golongan lelaki.
Untuk lebih meyakinkan lagi, tahun lalu Kabinet sudah menubuhkan tiga jawatankuasa bagi mengkaji semua dasar, undang-undang serta peraturan yang mempunyai unsur ketidaksamaan gender, termasuk perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita berharap kajian itu berjalan lancar dan memberi impak positif. Apa yang perlu diperjuangkan oleh golongan wanita sekarang ialah meneroka dan menjadi perintis bidang baru bagi memastikan golongan wanita terus mencapai kecemerlangan pada masa depan. Segala peluang yang ada perlu digunakan sepenuhnya oleh wanita di negara ini kerana tidak semua wanita di seluruh dunia mampu menikmati apa yang dikecapi wanita di Malaysia. Sesetengah negara menindas wanitanya, tetapi negara kita membuka peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat. Banyak lagi bidang baru boleh dipelopori wanita seperti teknologi maklumat, angkasawan dan sebagainya, di samping memperkuatkan pelbagai bidang tradisional lain.
Berita Harian
27 Ogos 2007