Ahad, 26 Ogos 2007

Kedegilan pemandu bas tiada noktah - Penguatkuasaan undang-undang harus berterusan, semua pihak perlu elak nahas

KEMALANGAN demi kemalangan membabitkan bas ekspres terus menjadi satu isu besar yang hangat diperkatakan setiap lapisan masyarakat akhir-akhir ini. Malah pelbagai andaian dan kesimpulan ditimbulkan bagi mengaitkan setiap kejadian itu.

Justeru, mulalah sana-sini memukul gendang membela diri dan mulalah pula episod tuding menuding, salah menyalah antara satu sama lain dengan tujuan menegakkan benang basah dan berteriak mendakwa pihaknya tidak bersalah.

Namun, apa pun pertikaiannya, hakikat yang perlu diterima semua ialah apa yang berlaku kini tidak boleh hanya diletakkan beban kesalahannya di bahu sesetengah pihak, kerana jika diteliti dan diperhalusi secara mendalam, pastinya pekung pelbagai pihak akan terserlah juga.

Hasil penelitian wartawan Berita Harian dengan berada sendiri dalam bas bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kulim, mendedahkan pelbagai kepincangan yang sewajarnya dijadikan panduan untuk memperbaiki apa yang silap dan membetulkan apa tidak kena.

Tidak dinafikan, segelintir pemandu bas memang ada kalanya lupa diri dan memandu dengan laju serta berbahaya, malah ada antara mereka yang seakan tidak sedar bahawa dalam kenderaan yang dipandu itu, terdapat begitu ramai nyawa diamanahkan kepadanya.

Mereka ini berlagak seperti ‘raja jalan raya’, memonopoli sepanjang perjalanan sehinggakan pemandu kenderaan lain takut apabila dihampiri malah ada yang terpaksa menukar lorong jika menyedari diekori sebuah bas.

Pastinya, sikap sebegini boleh dijadikan punca utama berlaku kemalangan tetapi adakah wajar hanya mereka yang dipersalahkan kerana pasti ada sebab mengapa pemandu memandu laju. Mungkin kerana terpaksa atau dipaksa.

Hakikat bahawa pengusaha bas mementingkan keuntungan tidak dapat dielakkan sehinggakan ada di kalangan mereka yang sanggup menipu dan mengambil kesempatan ke atas penumpang. Justeru, logik juga jika pemandu diminta segera sampai ke destinasi bagi memastikan kumpulan penumpang seterusnya boleh diambil tepat pada masanya.

Justeru, suka atau tidak, pemandu terpaksa mengetepikan soal keselamatan dan memecut laju demi memastikan mereka sampai pada masa ditetapkan, tambahan pula ada dakwaan menyatakan pemandu akan menerima bayaran bagi setiap perjalanannya. Lebih banyak pemanduan sehari, lebih banyak bayarannya.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan keadaan jalan raya negara ini yang bagai baju buruk ditampal di sana sini. Sudahnya, kadangkala pasti ada kulit yang terserlah juga. Manakan tidak, lebuh raya pada ketika ini boleh dilabelkan sebagai teruk dan berisiko kepada setiap pengguna, tambahan kepada ‘kaki pecut!’

Salahnya juga perlu diletakkan di bahu pihak berkuasa kerana apa yang sering dilihat kini, penguatkuasaan begitu longgar dan banyak pelaksanaan yang seakan ‘hangat-hangat tahi ayam’. Contohnya, apa sudah jadi dengan kotak hitam dan kaedah meletakkan anggota polis dalam bas?

Pemerhatian wartawan ketika JPJ memeriksa bas dalam ‘Ops Bersih’ mendapati pemeriksaan yang begitu minimum dan ringkas dijalankan tanpa ada pemeriksaan teliti terhadap keselamatan bas terbabit. Soalnya, adakah lesen dan permit itu yang menjanjikan keselamatan sesebuah bas. Pastinya ramai penumpang yang berdepan dengan pemeriksaan itu akan tertanya-tanya, apakah tujuan pemeriksaan itu jika hanya dokumen yang disemak.

Bukankah sepatutnya pada ketika itu pemeriksaan turut tertumpu kepada keselamatan bas seperti keadaan tayar dan enjin serta memastikan rekod saman pemandu dan bas supaya perjalanan itu lebih selamat dan terjamin.

Apapun persoalannya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk terus menuding jari kerana kes kemalangan sebegini semakin menjadi-jadi dan apa saja langkah yang serius dan komited perlu dilakukan segera, bukan sekadar tindakan bermusim.

Oleh Azrul Affandi Sobry

Berita Harian
27 Ogos 2007