Ahad, 26 Ogos 2007

Agensi tidak kemas kini SMS

HAMPIR semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini mempunyai saman atas pelbagai kesalahan trafik. Malah ada antaranya mempunyai lebih 50 saman serta disenarai hitam.

Rekod yang diterima Berita Harian adalah berdasarkan semakan yang dikeluarkan Bahagian Semakan Saman Polis di Bukit Aman, kerana jelas menunjukkan jumlah saman dan jumlah bayaran tertunggak setiap bas berkenaan.

Pemeriksaan itu juga mendapati saman yang diterima syarikat Konsortium Sdn Bhd adalah yang tertinggi dan hampir semua bas di bawah kendaliannya mempunyai lebih 20 saman.

Malah kenderaannya bernombor pendaftaran PFR8862 mempunyai 61 saman, empat senarai hitam dan lima waran tangkap untuk pemandunya sudah dikeluarkan.

Semakan saman terbabit turut menunjukkan ada sebahagian bas yang disaman sehingga tiga kali pada hari sama atas kesalahan memandu laju selain ada saman yang belum dijelaskan sejak 1998.

Menurut sumber Bukit Aman, kebanyakan saman yang dikeluarkan kepada pemandu bas adalah saman yang dihantar menerusi pos kerana pelbagai kesalahan tetapi kebanyakannya adalah kerana memandu melebihi had laju yang dibenarkan selain memandu dengan berbahaya.

Namun, agak mengecewakan apabila pemeriksaan menerusi SMS mendapati jumlah saman yang tertera melalui perkhidmatan SMS (polis saman dan hantar ke DAPAT) tidak dikemas kini serta tidak selaras dengan jumlah sebenar yang dikeluarkan oleh Bahagian Semakan Saman.

Berita Harian
27 Ogos 2007