Ahad, 26 Ogos 2007

Amaran LPKP tarik permit

KENDERAAN perdagangan terutama bas ekspres akan digantung permit oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) jika didapati mempunyai terlalu banyak saman di samping menjalankan siasatan ke atas syarikat terbabit.

Pengerusinya, Datuk Markiman Kobiran, berkata setakat ini sistem sedia ada masih menyukarkan pihak LPKP memeriksa rekod saman pemandu atau kenderaan setiap kali pengusaha mahu memperbaharui permit.

Bagaimanapun, beliau yakin dalam masa terdekat sistem itu akan dipertingkatkan supaya semua pihak berkepentingan dapat berkongsi maklumat penting yang diperlukan dengan segera.

“Sistem sedia ada tidak berkomunikasi antara satu sama lain menyebabkan sukar bagi LPKP mengetahui jumlah saman dan kesalahan dilakukan, tambahan pula permit hanya akan diperbaharui pada setiap lima tahun.

“Justeru, kami yakin sekiranya sistem itu dipertingkatkan dan membolehkan lebih ramai pihak mendapatkan maklumat saman dan kesalahan jalan raya dengan segera, penguatkuasaan terutama oleh LPKP akan lebih tegas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, LPKP bertegas tidak teragak-agak menarik balik permit mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan termasuk ketika di jalan raya serta ketika proses berurusan dengan pelanggan.

Katanya, jika pelanggan mendapati ada elemen penipuan dalam sebarang urusan syarikat bas ekspres, aduan perlu dilakukan segera bagi membolehkan sebarang tindakan dijalankan.

“Semua orang sudah sedia maklum ketegasan LPKP dalam bertindak dan saya berjanji sekiranya ada penipuan yang sampai ke pengetahuan kami (LPKP), permit syarikat itu akan ditarik balik selain pelbagai tindakan lain boleh dikenakan,” katanya.

Mengulas mengenai sikap pemandu yang hanya berhemah ketika berdepan dengan sekatan jalan raya, beliau berkata, sudah menjadi tabiat pemandu negara ini yang hanya akan beringat apabila berdepan situasi seperti pemeriksaan polis, kemalangan dan sebagainya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada pengusaha bas ekspres supaya memastikan pemandunya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang degil dan kerap melanggar peraturan.

Selain itu, beliau berpendapat setiap sekatan jalan raya dalam ‘Ops Bersih’ perlu menjalankan pemeriksaan lebih teliti termasuk menyemak rekod saman pemandu dan bas terbabit bagi memastikan langkah penguatkuasaan lebih berkesan.

Bagaimanapun, beliau percaya pihak berkuasa yang terbabit mempunyai strategi dan kaedah yang difikirkan sesuai bagi memastikan keberkesanan dalam setiap operasi dijalankan.

Beliau juga tidak menafikan wujud banyak kes penipuan di kalangan pengusaha bas ekspres ketika berurusan dengan pelanggan seperti menjual tiket dengan harga lebih mahal dan meminta pelanggan melaporkan kepada LPKP bagi tindakan segera.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan, berkata satu sistem dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan bagi memudahkan proses penguatkuasaan dijalankan terutama di lebuh raya.

Beliau berkata, sistem itu yang sedang dalam penilaian akhir dijangka akan mula dipasang di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan selewat-lewatnya hujung tahun ini dan dijangka akan turut dipasang di seluruh negara.

Sistem itu yang menggunakan kamera pengawasan kelajuan automatik akan beroperasi 24 jam dan berfungsi menghantar laporan pada setiap masa ke pusat kawalan sebelum diterima JPJ bagi memudahkan JPJ mengenal pasti kenderaan yang dipandu laju.

“Dengan ada sistem itu, penguatkuasaan akan menjadi lebih mudah dan berkesan kerana jalan raya di negara ini akan dipantau 24 jam, sekali gus menyebabkan pemandu takut melakukan kesalahan,” katanya.

Mengulas mengenai ‘Ops Bersih’, beliau berkata, operasi itu yang asalnya hanya sehingga 30 Ogos ini akan diteruskan sehingga seminggu selepas hari raya.

Berita Harian
27 Ogos 2007