Ahad, 26 Ogos 2007

Tukar ketetapan paparan jika sukar baca teks

KESUKARAN membaca teks yang dipaparkan pada skrin komputer ada kemungkinan dipengaruhi saiz teksnya yang kecil sehingga menyukarkan proses pelaksanaan tugasan penggunanya dan boleh menyebabkan sakit kepala.

Kepada pengguna yang baru berjinak-jinak menggunakan komputer, masalah ini boleh ditangani dengan melaksanakan sedikit perubahan pada ketetapan (settings) paparannya.

Sebarang perubahan yang dilakukan terhadap ketetapan paparan komputer, turut memainkan peranan dalam menukar paparan imej latar yang lebih menarik, ‘screen saver’, prestasi penyampaian video dan permainan elektronik.

Menerusi tip IT minggu ini, pengguna baru komputer akan didedahkan dengan kaedah melakukan pertukaran ketetapan komputer mengikut kehendak pemilik komputer peribadi (pc) masing-masing.

Pada ketetapan paparan, pengguna akan menemui lima seksyen khusus yang boleh digunakan ketika melaksanakan sebarang perubahan tertentu yang terdiri daripada butang tema, desktop, screen saver, penampilan dan ketetapan.

Untuk seksyen tema, ia membolehkan penggunanya untuk memilih tema yang boleh digunakan dalam menentukan penggunaan warna Windows, ikon dan sistem penyampaian bunyi.

Desktop pula adalah ketetapan paparan yang membolehkan anda untuk memilih pelbagai imej latar sama ada daripada sampel yang disediakan atau imej lain yang disimpan di dalam komputer pemilik.

Dalam segmen screen saver, ia adalah antara ciri yang diketengahkan bagi memudahkan pengguna untuk membuat pilihan imej latar sementara yang seharusnya muncul bagi tempoh masa tertentu.

Perubahan terhadap gaya penampilan dan warna boleh dilaksanakan pada Windows, saiz teks atau butang menerusi seksyen penampilan pada komputer.

Di bawah segmen tugasan ketetapan, pengguna berpeluang untuk menentukan resolusi skrin yang seharusnya muncul disamping kualiti warnanya.

Selain lima seksyen utama, pengguna turut dilengkapi pelbagai ciri lain seperti untuk tujuan am, perubahan ketetapan monitor, maklumat perkakasan yang digunakan, pengurusan warna dan penyelesaian masalah terhadap terhadap prestasi kad grafik.

Oleh Zef Othman

Berita Harian
27 Ogos 2007