KUALA LUMPUR: Tabiat merokok di kalangan remaja di negara ini semakin membimbangkan dengan sesetengah kanak-kanak dikatakan sudah mula ketagih rokok seawal usia lapan tahun.
Kajian yang dijalankan tahun lalu dan membabitkan lebih 1,000 remaja itu juga mendapati 90.6 peratus remaja akan merokok jika diberi rokok atau diajak rakan mereka.
“Ini menunjukkan remaja begitu mudah terpengaruh untuk memulakan tabiat merokok.
“Kira-kira 66.7 peratus remaja yang merokok pula mengakui sangat mudah mendapat rokok walaupun peraturan melarang golongan berusia bawah 18 tahun membeli rokok,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, kajian ITC juga menunjukkan remaja merokok mempunyai lebih empat rakan dan ahli keluarga yang mempunyai tabiat serupa.
Lebih membimbangkan, wujud anggapan di kalangan remaja bahawa merokok adalah sebahagian daripada cara hidup lebih moden.
“Remaja percaya rakan mereka yang merokok lebih popular dan tabiat itu membolehkan mereka kelihatan lebih matang daripada usia sebenar,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Dr Maizurah berkata, lebih 30 peratus remaja turut mengakui syarikat tembakau cuba mempengaruhi mereka untuk merokok.
Iklan adalah antara faktor menyebabkan remaja mula berjinak untuk merokok.
Sehubungan itu, katanya, label amaran bergrafik pada kotak rokok seharusnya memberi maklumat sebenar berhubung bahaya dan kesan serius pada kesihatan mereka.
“Kami berharap kerajaan akan segera menggubal undang-undang supaya kotak rokok di negara ini mempunyai amaran bergrafik kerana kita agak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan amaran bergrafik dapat memberi lebih kesedaran kepada perokok mengenai bahaya merokok dan kesannya terhadap kesihatan mereka serta orang di sekeliling mereka.
Dr Maizurah berkata, tabiat merokok juga perlu ditangani secara agresif kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan sebanyak 10 juta kematian setiap tahun menjelang 2020.
INFO: Rokok
> Terdapat kira-kira 3.1 juta perokok di Malaysia.
> 25 peratus golongan muda di Malaysia merokok dan 1/3 daripada perokok wanita muda.
> Asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis bahan kimia dengan sekurang-kurangnya 50 bahan penyebab kanser.
> Tabiat merokok menyebabkan 90 peratus daripada kes kanser paru-paru, 75 peratus kes kerosakan paru-paru dan 25 peratus kes sakit jantung di kalangan lelaki berumur di bawah 65 tahun.
> Kajian WHO mendapati penduduk Malaysia membelanjakan 30 peratus pendapatan membeli dua kotak rokok sehari.
Oleh Sazarina Shahrim
Berita Harian
27 Ogos 2007