Ahad, 26 Ogos 2007

Imej bertudung isteri Gul jadi isu

ANKARA: Kehadiran Hayrunnisa, isteri Menteri Luar Abdullah Gul yang kini semakin hampir menjadi Presiden baru negara itu mencetuskan pertikaian debat hanya kerana wanita itu mengenakan tudung.

Kalangan sekular berang dengan hakikat seorang wanita yang mengenakan imej Muslimah berkemungkinan menetap di Istana Presiden yang sebelum ini pernah didiami Bapa Turki Moden, Mustafa Kemal Ataturk yang turut menjadi lambang sekular.

Gul semakin hampir memenuhi impiannya menjadi presiden apabila Parlimen mengadakan pilihan raya terakhirnya hari ini membabitkan pencalonannya. Beliau yang dipilih Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, hanya memerlukan kelebihan undian kecil bagi mengesahkan kedudukannya itu.

Hayrunnisa yang sememangnya bertudung sejak zaman remaja, adalah pemimpin kempen hak wanita Muslim mengenakan tudung.

Pihak sekular melihat tudung yang diharamkan di pejabat kerajaan dan sekolah, sebagai mencabar dan bertentangan dengan haluan pemodenan yang ditetapkan Ataturk untuk Turki. Mereka bimbang sebarang usaha melonggarkan syarat itu boleh menjejaskan pegangan sekular dan peluang Turki mendapatkan keanggotaan Kesatuan Eropah (EU).

Hayrunnisa juga bukan calang wanita kerana pernah mengemukakan rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia EU untuk kekal bertudung di universiti.

“Sakitnya hati saya memikirkan yang wanita itu akan tinggal di Cankaya (Istana Presiden),” kata Ayse Nur Cubukcu, pekerja di pusat rawatan kecantikan.

Bagi Gul, jawapannya mudah. “Itu adalah penampilan peribadinya. Saya yang akan menjadi Presiden, bukan dia.” – AP