Selasa, 28 Ogos 2007

Bekas suami tuduh Britney cuai jaga anak


LOS ANGELES: Selebriti terkenal Amerika Syarikat, Britney Spears terjebak dalam satu lagi kontroversi apabila disiasat atas dakwaan penderaan kanak-kanak selepas bekas suaminya, Kevin Federline mengemukakan aduan menuduh penyanyi itu gagal memikul tanggungjawab sebagai ibu.

Pekerja sosial dikatakan mempersoalkan kemampuan penyanyi berusia 25 tahun itu sebagai ibu berikutan laporan mengenai tindak tanduk luar batasan, lapor akhbar Daily Mail.

Jabatan Perkhidmatan Keluarga dan Kanak-Kanak Los Angeles mensasarkan bintang beranak dua itu, menurut laporan. Dakwaan penderaan kanak-kanak dilaporkan dibangkitkan pada satu sesi keterangan di Mahkamah Agung Los Angeles, kelmarin.
Walaupun Spears tidak hadir, peguamnya, Dennis Wasser, menghadirinya bersama-sama Mark Kaplan, yang mewakili Federline.

Spears dan Federline, 29, sama-sama menuntut hak jagaan anak mereka, Sean Preston, 23 bulan dan Jayden James, 11 bulan.

Federline dikatakan menghantar notis perundangan kepada beberapa saksi yang boleh memberi keterangan mengenai tingkah laku buruk Spears.

Kelakuan melampaui batas termasuk bercumbu dalam kolam mandi dengan lelaki tidak dikenali awal bulan ini menyebabkan Federline bertindak mendapatkan hak penjagaan penuh kedua-dua anak mereka.

April tahun lalu, pegawai kebajikan kanak-kanak mengunjungi kediaman mewah Spears di Malibu selepas dia memandu sambil meletakkan Sean, yang ketika itu berusia empat bulan di atas pahanya.

Dengan perceraiannya, Spears terus hilang kawalan dan terbabit dalam pergaduhan sengit dengan ibunya sendiri, Lynne, selain mengejutkan peminatnya dengan tindakan membotakkan kepala Februari lalu.

Laman web TMZ melaporkan, sesi keterangan kes penjagaan anak, dijadualkan pada 4 September ini. Keterangan kelmarin dikatakan menyentuh penjagaan gigi kedua-dua kanak-kanak itu, selain tabiat makan dan tidur yang buruk. – Agensi