SEMALAM wanita Malaysia menyambut Hari Wanita Kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kejayaan wanita negara ini memang sangat dibanggakan walaupun masih banyak ruang boleh diperbaiki. Misalnya, dalam mengisi 30 peratus pembuat dasar di kalangan wanita mungkin masih belum berjaya, namun usaha ke arah itu mesti diteruskan.
Wanita memang pintar, jika tidak takkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed semakin bimbang dengan jumlah wanita di pusat pengajian tinggi (IPT) yang di sesetengah IPT mencapai angka 80 peratus berbanding lelaki. Sewajarnya masyarakat juga bimbangkan perkara ini kerana sesetengah masalah sosial yang melanda ketika ini berpunca daripada ketikdakseimbangan ini.
Umpamanya masyarakat mulai bimbang semakin ramai wanita akan menjadi andartu kerana enggan mengahwini lelaki yang rendah kelulusan daripada mereka atau lelaki yang kurang ‘kualiti’. Mana perginya lelaki bijak, sehingga kuota untuk mereka ke IPT terpaksa dibesarkan. Walaupun menteri berkenaan masih belum menjelaskan kaedah yang akan digunakan, timbul juga sedikit kecewa bila membacanya kerana wanita terpaksa beralah untuk membenarkan lelaki ke IPT.
Memang sejak kecil wanita sudah dilatih berkerja lebih kuat. Anak perempuan bukan saja ke sekolah, mereka juga terpaksa membantu ibu menjaga adik atau membuat kerja rumah sedangkan lelaki dibiarkan bermain atau lepak. Walaupun ada ibu bapa zaman ini sudah mengubah senario ini, masih ramai mengikut rentak lama.
Selepas belajar dan kemudian bekerjaya serta berumah tangga, isteri terpaksa membuat dua kerja, di pejabat dan di rumah. Beban wanita selalunya dua kali ganda daripada lelaki dan kerana itu mereka lebih tahan lasak dan lebih berdaya saing dan tidak mudah menyerah kalah.
Di pejabat wanita juga terpaksa bekerja keras malah berkali ganda untuk membuktikan mereka boleh melakukan tugas yang diberikan dan untuk membuat orang sekeliling terutama ketua mereka ‘perasan’ dengan kehadiran mereka. Itu juga tidak pernah dianggap penghalang malah membuatkan mereka bekerja lebih keras untuk berjaya.
Mungkin ini yang pernah dikatakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz, ketika ditemubual Berita Minggu tahun lalu, wanita semakin ramai menjadi pemimpin dan mereka akan mengejutkan lelaki untuk sama-sama bangkit mencapai kejayaan.
Kita berharap apa yang dikatakan itu menjadi kenyataan kerana setakat ini kesedaran itu belum ada di kalangan pelajar lelaki yang jumlahnya semakin mengecil di IPT. Jika tidak ada usaha dilakukan kementerian berkenaan, ada kemungkinan jumlah itu bertambah kecil.
Bagaimanapun janganlah kerana terpaksa menambah jumlah pelajar lelaki di IPT, pelajar wanita yang memang pintar diketepikan hak mereka. Kita berharap selepas merdeka 50 tahun, tidak ada lagi tindakan atau langkah kebelakang seperti ini diambil. Mungkin ada cara lain untuk menyedarkan pelajar lelaki ini bahawa mereka juga terpaksa bekerja dua kali ganda seperti wanita untuk berjaya bukannya hanya menunggu disudukan atau terlalu diberi muka sehingga lupa tanggungjawab sebenar mereka. Kita bimbang kemasukan tanpa kelulusan yang sepatutnya akan menghasilkan graduan lelaki yang tidak berkualiti akhirnya.
Sebenarnya, tidak perlu iri hati dengan kejayaan wanita memenuhi IPT. Cuma perlulah lebih memahami dan teliti apa sikap pelajar wanita yang perlu ditiru pelajar lelaki terutama kesungguhan dan keazaman mereka.
Oleh Norhayati Md Said
Berita Minggu
26 Ogos 2007