KATA orang apa yang kita makan memancarkan peribadi kita yang sebenar. Apa yang terkandung di dalam tong sampah di rumah kita mencerminkan sikap dan nilai kita terhadap kehidupan. Sesebuah negara juga tidak banyak bezanya dengan keadaan isi rumah. Psyche, nilai, peribadi dan jati diri rakyat sesebuah negara tidak ditentukan semata-mata oleh kehebatan ketenteraan atau kekayaan rakyatnya. Apa yang lebih menonjolkan keadaan sebenar ialah apa yang mereka makan, cara berinteraksi, berhibur, bersukan malah haiwan peliharaan mereka. Kita selalunya mengenal Amerika Syarikat (AS) kerana dasar luarnya, penaklukan Afghanistan dan Iraq, hiburan popular di TV dan makanan segera dari McDonald's, KFC hingga Starbucks. Sudah tentulah banyak lagi misteri negara hebat dan perkasa ini. Kita lupakan aspek kekuasaan atau dominannya. Elok juga kita melihat AS dari perspektif yang lain – angka. Angka, tidak seperti pimpinan politik, media atau pelobi yang berpengaruh di negara itu tidak mungkin berbohong.
Tidak lama dulu majalah Time mengeluarkan suplemen khas ‘America By The Numbers.’ Paul Grobman pula menghasilkan sebuah buku Vital Statistics yang sebahagian besarnya memuatkan pelbagai data mengenai AS. Mungkin semua ini akan memberikan kita pemahaman yang lain mengenai AS, di luar dari kerangka isu ketenteraan, dasar pro-Israel dan kehangatan kempen memilih Presiden pada masa ini.
Kita tahu keluasan tanah AS ialah 9,809,155 kilometer persegi yang menampung 300 juta penduduk. Siapakah rakyat AS? Dari segi komposisi, terdapat 239 juta orang berkulit putih atau mewakili 80.1 peratus penduduk, 38.3 juta berkulit hitam atau 12.8 peratus dan 13.1 juta dilabelkan ‘orang Asia’ yang mewakili 4.4 peratus. Orang asal AS atau ‘American Indian’ hanya mewakili 1.0 peratus rakyat negara itu atau hanya 2.9 juta. Hari ini terdapat lebih 51 peratus wanita berbanding 49 peratus lelaki di AS.
Secara kasar bagi setiap 1,000 penduduk AS, 545 orang tidak mempunyai pekerjaan, 420 orang mengundi dalam pilihan raya Presiden yang lalu, 405 orang berkahwin, 341 orang memandu kereta sendiri ke tempat kerja, 173 bercakap dalam bahasa lain selain Inggeris, 159 tidak ada perlindungan insurans kesihatan, 126 hidup dalam kemiskinan, 122 orang berusia melebihi 65 tahun, 23 orang berada di penjara atau dalam pengawasan polis, lima orang menjadi anggota tentera sepenuh masa dan seorang berada di tadika.
Anda mahu tahu apakah pekerjaan paling popular bagi rakyat AS? Bagi setiap 1,000 penduduk terdapat 27 juruwang, 18 jururawat berdaftar, 17 pelayan restoran, 16 pencuci tandas, 12 pemandu lori, 11 guru sekolah rendah, empat peguam dan tiga programmer komputer dan seorang atendan tempat letak kereta.
Berdasarkan borang pendapatan yang dikembalikan oleh rakyat AS pada 2004 (sebanyak 132 juta), hanya 0.5 peratus rakyat negara itu yang memperoleh pendapatan melebihi RM1.75 juta. Seramai 9,677 orang memiliki pendapatan RM30.5 juta ke atas. Berdasarkan definisi jutawan (menggunakan dolar AS) terdapat 2.27 juta rakyat AS yang bergelar demikian. Kita tahu orang terkaya di dunia ialah rakyat AS. AS merupakan negara yang mempunyai perkapita jutawan paling ramai? Tidak. England, China, Russia, India, Israel dan Bulgaria lebih baik dari AS.
Untuk melihat disparity pendapatan rakyat AS, majalah Time menggunakan angka AS$1,000 (kira-kira RM3,500) sebagai penanda. Berapa lamakah masa yang diambil oleh seseorang untuk memperoleh jumlah sebanyak itu? Bagi hos radio terkenal Howard Stern hanya dalam masa 24 saat. Hos TV terkemuka Dr Phil McGraw memerlukan 2 minit 42 saat, pelakon Brad Pitt 4 minit 48 saat, sementara pemain bola keranjang Kobe Bryant 30 saat dan pemain tenis Maria Sharapova dalam masa 6 minit. Pembersih tandas mengambil masa 103 jam, petani 57 jam, guru sekolah tinggi 43 jam, pegawai polis 43 jam dan doktor 13 jam 5 minit. Pendapatan pemain golf Tiger Woods setiap saat? RM518.
Bill Gates pengasas Microsoft? Setiap jam beliau menambah kekayaan sebanyak RM17 juta. Jumlah negara di dunia yang Keluaran Negara Kasar (GDP) lebih rendah dari nilai kekayaan Bill Gates? 132 buah.
Apakah yang dibeli oleh rakyat AS dalam sehari? Setiap hari 34 kereta Porsche terjual di AS, 628 Toyota Camry 4-silinder, 50 juta tin Pepsi Cola 355-ml, 123,287 kondom jenis Trojan, 4,760 maskara jenama Cover Girl, 300,000 pak jenama Pampers, 125,000 patung Barbie Doll dan 69,592 kilogram kopi Starbuck. Jumlah yang dibelanjakan oleh rakyat AS untuk pornografi setiap tahun? RM35 bilion, lebih banyak dari jumlah bantuan luar kerajaan AS setahun. Jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan AS untuk ketenteraan dalam setahun? RM1.3 trilion, atau 33 kali lebih banyak dari yang dibelanjakan oleh tujuh negara yang dilabelkannya “negara jahat” (rogue states) oleh AS. Berapa banyakkah tiket yang dibeli oleh penduduk dunia untuk menonton filem keluaran AS? 2.6 bilion. Bollywood? 3.6 bilion.
Anda mahu tahu berapakah jumlah pendapatan iklan di AS? RM495 bilion setahun. Berapa banyakkah iklan TV yang ditonton oleh kanak-kanak AS? 20,000 setahun. Syarikat AS yang paling banyak mengiklan? Proctor and Gamble yang membelanjakan RM9.6 bilion pada tahun 2003 sahaja.
Kita tahu AS banyak menggunakan kenderaan khususnya kereta persendirian. Jumlah kilometer (km) yang dipandu secara purata setahun oleh seorang rakyat AS? 25,000 km. Jumlah purata minyak yang dibelanjakan oleh sebuah keluarga AS dalam setahun? RM9,450. Purata masa yang dihabiskan oleh rakyat AS di dalam kenderaan setahun? 46 jam. Berapa banyak kucing di AS? 77.7 juta. Anjing? 65 juta ekor. Kuda? 6.9 juta ekor. Rakyat AS juga pemurah dari segi kedermawanan (charity)? Dalam tahun 2005 saja AS membelanjakan RM840 bilion untuk tujuan kedermawanan. Yayasan Bill bermula dengan dana melebihi RM88.8 bilion menjadikannya yayasan dermawan yang terbesar di dunia.
Anda mahu tahu berapa ramaikah orang yang menjalani pembedahan plastik setiap tahun di AS? 1.8 juta. Berapakah bilangan banduan dunia pada satu-satu masa? 9 juta orang. Berapa peratus rakyat AS dari jumlah itu? 25 peratus. Purata jangka hayat penghuni dunia hari ini? 66.7 tahun. Purata jangka hayat rakyat AS? 77.6 tahun. Berapa banyak ladang di AS hari ini? 2.1 juta. Jangkaan pada 2014 mengenai pengurangan bilangan petani negara itu? 155,000 orang. Pada tahun 1801, 95 peratus rakyat AS adalah petani. Hari ini, hanya tinggal 2 peratus saja. Berapa banyak pula purata seluar jean yang di miliki oleh seorang rakyat AS sepanjang hayatnya? 9. Jumlah wang yang dibelanjakan oleh rakyat AS di restoran makanan segera? RM416 bilion setahun. Jumlah rakyat AS yang mendakwa mereka gay atau lesbian? 7 peratus. Berapa kali seorang rakyat biasa AS berpindah sepanjang hayatnya? 12 kali.
AS banyak dikaitkan dengan orang Yahudi. Malah dasar AS banyak ditentukan oleh pelobi Yahudi sama ada dalam kabinet, di Kongres atau dalam media. Berapa peratus rakyat AS dari kaum Yahudi? 2 peratus. Bilangan rakyat AS yang beragama Islam? 2.35 juta orang.
AS dikatakan negara ‘litigious’ maksudnya negara yang banyak berlaku saman menyaman. Jumlah peguam di AS? Sejuta orang atau seorang peguam bagi setiap 300 rakyat negara itu. Bagaimana soal perkahwinan dan berkeluarga? Pada hari ini juga lebih separuh daripada mereka yang berusia 25 hingga 29 tahun belum berkahwin. Secara purata rakyat AS berkahwin pada usia 26.5 tahun. Perkahwinan rakyat AS bertahan secara purata selama 7.2 tahun. Tahun perkahwinan di mana penceraian paling banyak berlaku di AS? Tahun keempat.
Apa lagi yang boleh memberikan gambaran sebenar minda rakyat AS?
INFO: Masa diambil untuk memperoleh AS$1,000 (RM3,500)
> Pemain bola keranjang, Kobe Bryant: 30 saat.
> Hos TV terkemuka, Dr Phil McGraw: 2 minit 42 saat.
> Pelakon, Brad Pitt: 4 minit 48 saat.
> Pemain tenis, Maria Sharapova: 6 minit.
> Doktor: 13 jam 15 minit.
> Pegawai polis: 43 jam.
> Guru sekolah tinggi: 43 jam.
> Petani: 57 jam.
> Pembersih tandas: 103 jam.
> Pendapatan pemain golf, Tiger Woods; setiap saat RM518.
> Pengasas Microsoft, Bill Gates; setiap jam RM17 juta.
INFO: Bagi setiap 1,000 penduduk AS
> 545 - Tidak mempunyai pekerjaan
> 420 - Mengundi dalam pilihan raya Presiden yang lalu
> 405 - Berkahwin
> 341 - Memandu ke tempat kerja
> 173 - Bercakap dalam bahasa lain selain Inggeris
> 159 - Tiada insurans perlindungan kesihatan
> 126 - Hidup miskin
> 122 - Berusia lebih 65 tahun
> 23 - Berada di penjara/pengawasan polis
> 5 - Tentera sepenuh masa
> 1 - Berada di tadika
Oleh Johan Jaaffar
Berita Minggu
26 Ogos 2007
