
Kita perlu berdialog untuk perjelas semula kesefahaman dipersetujui hasil kontrak sosial.
Meningkatnya perbincangan terbuka mengenai isu agama dan bangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan banyak pihak. Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin terpanggil untuk bangkit mencadangkan proses dialog tertutup, bermula dengan Barisan Nasional (BN). Beliau menzahirkan pandangannya kepada Abdul Razak Ahmad bahawa natijah daripada proses itu ialah nafas baru permuafakatan nasional berpaksi kepada kontrak sosial sedia ada, tetapi ditambah baik bagi memperkukuhkan lagi asas Malaysia pada masa depan.
KENAPA perlu forum tertutup mengenai isu ‘sensitif'.
Saya rasa ia kena pada masanya, selepas 50 tahun kemerdekaan. Banyak perkembangan berlaku sepanjang lima dekad lalu yang berkehendakkan kita melihat semula apa yang sudah dipersetujui pemimpin terdahulu yang mengasaskan Malaysia; bahawa untuk memastikan Malaysia atau dikenali Tanah Melayu pada masa itu, untuk kekal merdeka dan berjaya, mesti ada kesepakatan mengenai apa ertinya negara ini. Ia dicerminkan menerusi prinsip yang mereka pertahankan dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun, sejak 50 tahun lalu, sudah banyak perubahan dalam persekitaran negara kita. Kita juga melihat peralihan daripada generasi sebelum dan selepas merdeka. Kumpulan besar adalah mereka yang lahir selepas merdeka, serta generasi pasca DEB (Dasar Ekonomi Baru), yang menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia sekarang.
Kita sebuah negara yang dinamik, dan perkara berubah dan berevolusi. Sudah ada peralihan besar pemikiran terhadap isu-isu penting: bagaimana pemikiran orang Melayu, pemikiran orang Cina Malaysia, pemikiran orang India dan bagaimana pemikiran seluruh rakyat apabila kita berbicara mengenai masyarakat kita sekarang.
Daripada pemerhatian Tan Sri, apakah antara masalah semasa.
Selepas berfikir panjang, saya mencadangkan bahawa mungkin masa sudah tiba untuk kita sama-sama duduk berbincang. Saya bimbang mengenai arah aliran tertentu, termasuk apabila mana-mana pemimpin sama ada BN atau di luar yang bercakap mengenai sesuatu isu untuk kepentingan kaum mereka. Sentiasa akan ada kenyataan balas segera, seperti ‘kenapa awak bercakap mengenai perkara ini? Ini bukan 50 tahun lalu. Masa sudah berubah.”
Contoh terbaik ialah jika Umno mencadangkan untuk memperkenalkan semula DEB, banyak daripada parti komponen BN yang akan menyatakan “Saya rasa perkara ini tidak perlu dibangkitkan lagi, kerana masanya sudah berlalu dan sekarang kita perlu berpegang kepada prinsip kesaksamaan, hak asasi manusia, dan kita adalah rakyat Malaysia, kenapa perlukan semua ini?”
Contoh lain ialah apabila kita bercakap mengenai agama, yang selalunya menjadi antara isu yang sangat sensitif sekarang. Ada yang akan berkata, “kita sudah bersetuju mengenai perkara ini, kenapa bangkitkan lagi sekarang?”
Contoh paling klasik ialah kes mahkamah yang dilaporkan akhbar mengenai seorang penganut Hindu yang telah memeluk Islam meninggal dunia, dan keluarganya menuntut jenazahnya. Ia menjadi isu besar. Kemudian ada isu yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah.
Ada juga isu yang berkaitan dengan hak asasi dan nilai Barat. Ada yang tidak terlalu berorientasikan Barat tetapi berpendapat mungkin kita patut terima nilai barat berkenaan jika kita mahu jadi progresif.
Ada juga orang yang sangat terkemuka yang bercakap mengenai kesaksamaan dan kebebasan bersuara serta hak asasi, tetapi tidak menerima bagaimana ia patut dilaksanakan dalam konteks masyarakat berbilang budaya dan etnik.
Sejauh mana seriusnya perbezaan pandangan ini.
Kita sudah tangani keadaan ini, tetapi ia tidak ditangani sepenuhnya. Kita sudah mengekang keadaan itu, tetapi penyelesaiannya bersifat ‘sekali saja’. Perkara lain boleh tercetus lagi; kita hanya menangani isu ini ketika ia muncul.
Saya menyatakan semua ini bukan untuk menakutkan orang dan menjurus mereka memikirkan bahawa kita telah mencapai satu keadaan yang gawat hingga kini memerlukan penyelesaian menerusi dialog atau forum. Bagaimanapun, sebelum keadaan menjadi serius, mengapa tidak kita berbincang dalam suasana yang selesa dan terkawal,...hanya berbincang.
Pada mulanya di kalangan Umno, kemudian BN. Saya tahu ini mungkin mengambil masa kerana ada pelbagai bidang konflik yang mungkin tercetus tetapi ia tidak mengapa. Kita perlu katakan apa yang kita rasa mahu kita luahkan, asalkan kita selalu ingat kita bukan hanya mewakili pelbagai kaum di Malaysia tetapi akhirnya, sama ada kita suka atau tidak, perlu hidup bersama antara pelbagai kaum dan agama.
Bagaimana perbincangan seumpama ini boleh dilaksanakan.
Saya cuba mencadangkan, yang mana perlu diperhalusi kepemimpinan BN dan saya mengemukakan cadangan ini sebagai seorang daripada pemimpin Umno, kita berbincang tanpa ada sebarang prasangka, terhad untuk melindungi kumpulan tertentu, dan berbincang sebagai rakyat Malaysia.
Saya yakin prinsip-prinsip yang ditanam pemimpin terdahulu masih relevan hingga hari ini, akan tetapi sudah ada perubahan pemikiran rakyat Malaysia. Ada dua cara kita mampu menangani perubahan ini.
Pertama, kita hanya menangani masalah yang kita hadapi. Ia bersifat ad-hoc dan beberapa isu yang sering timbul dari semasa ke semasa adalah perkara yang kita gagal tangani sepenuhnya.
Atau, kita boleh duduk berbincang menetapkan garis panduan perbincangan atas apa-apa perkara seperti hak istimewa orang Melayu, sistem pendidikan, kedudukan ekonomi orang Melayu atau kedudukan Islam dan kita merumus satu pendirian bersama.
Dan hasilnya seperti yang Tan Sri cadangkan ialah memperbaharui `pemuafakatan nasional’.
Ya, saya telah memikirkannya. Apa yang sudah dipersetujui pemimpin terdahulu hendaklah dikekalkan. Ia berdasarkan kesepakatan yang disandarkan kepada semangat tolak ansur, saling menghormati serta mengiktiraf kepentingan sesama sendiri dan ingat apa yang perlu dilakukan bagi memastikan wujudnya perpaduan dalam kepelbagaian kita.
Peranan kepemimpinan kepada saya, sangat penting. Ada kecenderungan kini di kalangan ahli politik gemar menonjolkan diri dan mengambil pendirian popular terhadap isu-isu dengan harapan menjadikan diri mereka hero bangsa mereka. Kita lihat perkara itu dalam Umno, MCA, MIC, malah dalam pembangkang kerana mereka semua mahukan undi.
Akan tetapi isu tunjangnya tidak diselesaikan kerana kita menanganinya secara harian. Kita hanya menangani isu semasa, mungkin masalah itu akan timbul lagi.
Apa yang dimaksudkan ‘pemuafakatan nasional yang diperbaharui’.
Baru bukan bermakna baru sepenuhnya seperti kita bermula daripada kosong. Proses ini bergantung kepada aspek perundangan dan sah di sisi peraturan. Ia mesti rasional kerana ada isu yang sangat kompleks untuk ditangani.
Perkaranya ialah jika kita berfikiran seperti rakyat Malaysia dan pada masa sama kita perlu menjaga kepentingan pengikut kita, bagaimana kita mahu merumus satu permuafakatan? adakah ini bermakna seseorang perlu bertolak ansur untuk kepentingan yang lain?
Kita sudah pun mempunyai persetujuan dalam Perlembagaan yang menjadi sebahagian dalam keseluruhan sistem. Tiada siapa mahu mengubahnya. Sayalah akan menjadi orang terakhir yang akan mengatakan ‘marilah tukar Perlembagaan’.
Ini bukanlah mengenai merundingkan semula perkara yang sudah dipersetujui. Ini untuk memberi penekanan semula apa yang sudah dipersetujui dan pada masa sama memperjelaskan kepada generasi muda mengapa keadaan seperti itu, mengapa perkara-perkara tertentu dimasukkan dalam Perlembagaan.
Saya juga tidak mencadangkan kita menyemak semula kontrak sosial, adalah penting kita terus berpegang kepada kontrak sosial. Apa yang saya cadangkan memperbaharui pemuafakatan nasional supaya kita boleh memperkukuhkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan, jadi apa yang sudah dipersetujui ketika itu masih terus boleh dipegang generasi sekarang untuk keamanan dan kemajuan berkekalan serta menjaga keselamatan negara.
Beberapa percanggahan mungkin perlukan perubahan undang-undang, pelarasan dasar dan kempen kesedaran jangka panjang untuk penyelesaian berkekalan. Adakah rumusan daripada dialog ini akan cukup meluas untuk merintis jalan ke arah ini.
Saya tidak mahu membincangkan aspek mikro - sehingga memperhalusi perundangan dan peraturan. Saya mahu menekankan prinsip-prinsip asas negara kita. Kemudian, jika perlu, disebabkan persefahaman yang mampu kita capai atau apa-apa perkara yang perlu diperkemas dan diperhalusi, ia boleh dibuat kemudian. Akan tetapi, mula sekali kita perlu pergi kepada bidang yang kita boleh persetujui bersama.
Mengapa proses ini perlu bermula dalam BN.
Ia kerana kita adalah pemimpin bagi semua kaum. Kita mahu menjadi tempat yang baik untuk memulakan perkara ini. Namun, tiada sebab mengapa ia perlu dihadkan kepada BN saja. Kita tidak bercakap mengenai formula BN tetapi satu formula nasional. Jadi ia perlu melangkaui BN untuk turut membabitkan NGO, masyarakat awam dan kumpulan-kumpulan di Sabah dan Sarawak, malah kepada pembangkang sekali pun. Isu di hadapan kita melangkaui kepentingan parti. Ia jauh lebih besar, sebenarnya kepentingan Malaysia!
Satu aspek lain ialah keperluan untuk turut membabitkan golongan muda. Apa-apa pemuafakatan yang kita capai, tidak akan mewakili semua, jika kita tidak membabitkan golongan pemimpin muda. Mereka tidak mempunyai kenangan silam tetapi mereka akan menjadi pemimpin negara pada masa depan, sama ada dalam BN atau tidak.
Mereka perlu dibabitkan supaya dapat menghargai kerumitan isu-isu, apa-apa yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu, tonggak negara ini dan pada masa sama belajar bagaimana menangani isu pada masa depan. Mereka adalah kumpulan besar rakyat Malaysia. Jika isu kritikal ini tidak ditanam dalam minda pemimpin muda, akan ada masalah pada masa depan.
Tan Sri mencadangkan proses dialog ini dalam mesyuarat Umno bahagian baru-baru ini. Umno sebagai tonggak BN, bolehkan perkara ini dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno tahun ini.
Sebagai seorang pemimpin Umno, saya ingin menekankan ada kemungkinan proses ini dapat dimulakan. Saya tahu ada yang hairan kenapa kita bercakap mengenai isu ini, tetapi jika Majlis Tertinggi Umno berasakan ia suatu yang penting dan kritikal, maka sudah tentu kita akan teruskan. Parti komponen juga boleh membincangkan isu ini pada peringkat kepimpinan mereka.
Saya tidak mahu orang ramai salah anggap mengenai cadangan ini kerana ada yang akan berpendapat cadangan forum dan dialog ini hanya akan memanfaatkan golongan tertentu atau kerana ada pemilihan parti (tahun depan), atau ini hanya untuk Umno atau MCA saja.
Ramai yang curiga mengenai idea ini. Jadi pada satu peringkat adalah baik untuk mengenal pasti beberapa individu yang berketrampilan dan boleh bercakap sebagai rakyat Malaysia dan saya fikir ada beberapa orang yang boleh melakukannya.
Saya tidak mahu sebut nama tetapi mereka ini seperti bekas ahli politik, tokoh tersohor, pemimpin masyarakat boleh dibawa bersama supaya kita dapat membaca pemikiran mereka kerana ia adalah pemikiran keseluruhan rakyat.
Saya percaya meskipun dalam Umno orang akan bertanya ‘kenapa Muhyiddin bercakap mengenainya sekarang. Adakah dia hendak berkempen’?
Saya hanya mengambil kesempatan daripada kedudukan kita sekarang. Perdana Menteri sudah menyatakan sebaik saja kita meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan, kita perlu melihat ke hadapan bagaimanapun keadaan negara dalam tempoh 50 tahun lagi. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, beliau yang mewakili kepentingan semua kaum, beliau dapat melihat keperluan untuk menangani isu ini di peringkat atasan.
Apakah pandangan Tan Sri mengenai beberapa insiden beberapa tahun lalu apabila beberapa ahli politik membuat kenyataan yang mengguris hati masyarakat lain atau bercanggah pendapat sesama sendiri meskipun berada di kem yang sama.
Ramai yang sedar perkara ini sejak beberapa tahun lalu. Ini mungkin kerana lebih banyak tekanan diberikan kepada pemimpin parti untuk menerima pandangan kumpulan tertentu, dan ada kecenderungan di kalangan beberapa ahli politik untuk bersependapat dengan pandangan kumpulan tertentu supaya mereka tidak kehilangan undi.
Golongan ‘populist’ akan mengikut kehendak ramai. bukannya memperjuangkan apa yang mereka percaya baik untuk semua rakyat Malaysia yang mungkin menyebabkan mereka tidak popular, tetapi yang penting ketegasan pandangan mereka akan terpahat pada minda rakyat bahawa ‘orang ini bijak kerana dapat melihat jauh ke hadapan’.
Inilah sebabnya saya rasa ia patut bermula sebagai inisiatif BN, kemudian ia akan diserap pada minda rakyat dan mereka dapat memahaminya. “Wah! kepemimpinan BN mengakui perlu untuk melihat perkara ini, bukannya menolak ke bawah tikar.”
Saya tahu perkara ini bukan mudah, tetapi yang penting apa yang kita nak lihat? Kita nak lihat Malaysia yang bersatu, aman dan progresif. Semuanya tidak akan dicapai jika sistem nilai kita runtuh kerana salah faham atau gagal untuk bertolak ansur.
Inilah yang kita bimbangkan setelah kita membina Malaysia mencapai tahap seperti hari ini tetapi selepas 50 tahun, orang ramai melupakan perjuangan itu. Justeru, jika asas ini tidak dikukuhkan, ia akan terus lemah.
Apakah maklum balas terhadap cadangan Tan Sri.
Ada maklum balas positif daripada beberapa pemimpin BN. Ini tidak dapat diteruskan jika tidak mendapat restu (pucuk pimpinan BN) untuk berbincang. Saya perlu mencari ketika untuk bercakap dengan Perdana Menteri bagi mendapat restu beliau agar dialog ini dapat diteruskan dan berbincang mengenai format atau siapa yang patut terbabit dan siapa perantaranya. Ini adalah isu yang kompleks, jadi kita perlu berfikiran terbuka, kerana apa yang hendak kita bincangkan ialah mewujudkan asas bagi Malaysia pada masa depan.
INFO Cadangan Muhyiddin
> Dialog tertutup membincangkan isu sensitif perlu bermula dengan Barisan Nasional, kemudian dikembangkan kepada kumpulan awam.
> Perbincangan akan dibuat berasaskan topik yang sudah dikenal pasti; seperti hak istimewa orang Melayu, sistem pendidikan negara, kedudukan ekonomi orang Melayu dan kedudukan Islam.
> Dialog bukan bertujuan merunding semula apa yang dipersetujui tetapi menjelaskan kepada generasi muda mengapa perkara tertentu dimasukkan dalam Perlembagaan.
> Matlamatnya ialah mewujudkan pendirian bersama - “permuafakatan nasional yang diperbaharui”, dengan disandarkan kepada kontrak sosial nasional dan Perlembagaan.
Berita Minggu
26 Ogos 2007