Ahad, 26 Ogos 2007

Tak undur peluru kena muka - Sarjah Mejar Bosetamam melawan walaupun parah, lebih rela mati sebagai pejuang


SARJAN Mejar Bosetamam Ali pernah bertugas dalam unit elit komando Pasukan Polis Hutan (PPH) 69 atau kini dikenali Batalion 69 dan pengalaman paling tidak dapat dilupai ialah tragedi 15 September 1984, apabila dua butir peluru yang ditembak komunis, mengenai muka dan kepalanya.

Peluru pertama menembusi tapak tangannya dan terus menuju ke arah muka berhampiran hidung dan mulut dan sekali lagi menembusi lehernya manakala peluru kedua bergesel dengan sisi kepala kanannya.

Bosetaman, 47, yang tidak mungkin dapat melupakan peristiwa itu seperti kekalnya parut di muka dan lehernya itu, mahu masyarakat mengingati pengorbanan pasukan keselamatan berjuang bagi mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara.

“Kami menyerahkan nyawa untuk negara bagi memastikan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang terus kekal selama-lamanya,” katanya yang kini bertugas di unit Pengajian Pengurusan, Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu.

Mengimbas kejadian itu, Bosetaman ketika itu berpangkat konstabel berkata, beliau bersama Koperal Mansor, yang bertugas sebagai anggota peninjau di kawasan hutan Serendah diarah menaiki kawasan tinggi atau permatang oleh ketuanya bagi menentukan kedudukan kawasan operasi.

Ketika itu, beliau bersama Mansor diserang hendap komunis yang jarak antara mereka dengan pihak musuh hanya kira-kira 30 meter saja.

“Apabila tembakan pertama dilepaskan komunis, saya dan Mansor terus meniarap. Rupa-rupanya di hadapan kami adalah kem musuh dan anggota mereka kira-kira 15 orang,’ katanya.

“Dalam keadaan meniarap sambil melepaskan tembakan dengan menggunakan M16, sebutir peluru menembusi tangan kanan lalu peluru yang sama sekali lagi menembusi antara mulut dan hidung dan keluar di bahagian leher kanan.

“Semua gigi geraham saya hancur. Peluru kedua yang dilepaskan komunis pula, bergesel dengan bahagian kepala kanan,” katanya.

Ketika itu, katanya, empat lagi rakannya datang membantu dengan membalas tembakan terhadap komunis dan kerana itu pihak musuh membuat keputusan untuk berundur.

Boestamam berkata, beliau tetap melepaskan tembakan dan melemparkan dua butir bom tangan ke arah komunis walaupun cedera parah kerana mahu ‘mati’ sebagai pejuang.

“Sebaik selesai pertempuran itu, barulah saya sedar, Mansor meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Boestaman yang sebak apabila menceritakan peristiwa itu, berkata beliau dirawat selama sebulan di Hospital Ipoh.

Boestaman dikurniakan Darjah Kepahlawanan iaitu Bentara Pasukan Polis pada 16 Julai lalu, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Berita Minggu
26 Ogos 2007