Isnin, 27 Ogos 2007

Peminat Dutt digantung kerja

MUMBAI: India menggantung kerja seorang pengawal penjara dan menyiasat lapan yang lain, kerana memeluk dan bersalaman dengan pelakon Bollywood Sanjay Dutt, selepas aktor itu dibebaskan sementara dengan ikat jamin, kata pegawai penjara semalam.

Stesen televisyen menyiarkan gambar pengawal polis yang tersenyum dan bersalaman dengan Dutt ketika beliau meninggalkan penjara, selepas 22 hari menjalani hukuman di penjara Yerwada di Pune, 160 kilometer ke tenggara Mumbai, selepas didapati bersalah memiliki senjata secara haram.

“Perbuatan pengawal penjara itu menyalahi peraturan dan tata cara mengendalikan pesalah. Siasatan peringkat jabatan sudah dijalankan. Pengawal penjara perlu melayan Dutt sama seperti pesalah lain,” kata ketua pengawal penjara R Damne.

Khamis lalu, Dutt mendapat penangguhan sementara hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didapati bersalah memiliki senjata secara haram dibekalkan sekumpulan lelaki yang terbabit dalam pengeboman di Mumbai pada 1993 mengakibatkan 257 orang terbunuh.

Mahkamah Agung membenarkan Dutt dan lima yang dilainkan dibebaskan dengan ikat jamin, apabila mereka didapati tidak diberikan salinan hukuman yang dijatuhkan mahkamah Mumbai.

Mereka, bagaimanapun, akan kembali ke penjara selepas menerima salinan hukuman masing-masing yang dijangka diperoleh dalam beberapa minggu lagi. – AP