Isnin, 27 Ogos 2007

Virus selesema kuda merebak di Australia - Arahan haram pindah haiwan jejas industri ternakan


SYDNEY: Australia menimbang mengharamkan sebarang pemindahan kuda, selepas negara itu mengesan penyebaran wabak selesema pertama membabitkan haiwan itu yang diakui makin sukar dikawal.

Menteri Pertanian Australia Peter McGauran berkata, kerajaan negara itu sebelum ini mengarahkan pengharaman pemindahan haiwan terbabit selama tiga hari untuk menyekat wabak itu tetapi terpaksa memanjangkan tempoh berkenaan selepas beratus-ratus ekor kuda mula menunjukkan tanda sakit.

“Virus selesema kuda itu sudah merebak dari Sydney ke lima lokasi luar bandar di New South Wales dan di sepanjang sempadan Queensland,” katanya.

Beliau berkata, pengharaman itu sekali gus menjejaskan industri ternakan dan lumba kuda bernilai berbilion dolar di negara itu.

Beliau mendedahkan, penyebaran wabak selesema kuda berlaku ketika musim pembiakan dijangka bermula hujung minggu depan, ketika kuda lumba sedang dilatih untuk menyertai karnival musim panas.

Pemilik dan peminat lumba kuda bimbang jika perlumbaan kuda tempatan dihentikan untuk tempoh tertentu, perlumbaan merebut kejuaraan paling berprestij Australia, Piala Melbourne yang dijangka diadakan pada November, mungkin ditunda.

Perlumbaan itu menarik perhatian ramai penunggang kuda handalan dari Eropah, Britain dan Asia. Bagaimanapun, spekulasi penyebaran wabak itu menakutkan kebanyakan peserta antarabangsa.

Penyakit yang muda tersebar itu, bagaimanapun, terhad kepada haiwan itu. Sama seperti selesema manusia, selesema kuda menyebabkan suhu badan haiwan itu meningkat, ia batuk, bersin dan hilang selera makan.

Pegawai Australia mengesyaki jangkitan virus itu mungkin berpunca dari Jepun yang pernah dilanda jangkitan lebih besar.

Lumba kuda dibatalkan di Jepun minggu lalu, kali pertama dalam tempoh 35 tahun selepas lebih 100 kuda didapati positif penyakit itu. – Agensi.