Isnin, 27 Ogos 2007

Anak Malaysia di Indonesia terkenang kemerdekaan

AWAK tulislah doa saya ini untuk kesejahteraan Malaysia selamanya abadi”. Begitu permintaan Wan Abdullah Wan Abdul Rahman, 82.

Walaupun sudah berkeluarga di Indonesia, malah menjadi warganegara Indonesia, setiap kali bercakap mengenai Malaysia, apatah lagi menyentuh ulang tahun kemerdekaan ke-50 ini, pasti beliau akan mengesat air mata.

“Sudah tua begini mata cepat berair lagipun baru lepas pembedahan selaput mata,” katanya untuk cuba menyembunyikan perasaannya terhadap negara kelahirannya.

Mengimbas kembali perisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957, Wan Abdullah yang mesra dengan panggilan Pakwan berkata, ketika itu kira-kira 100 orang anak Malaysia yang berada di Jakarta berkumpul di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Budi Kemuliaan di Jakarta.

“Perisytiharan itu disiarkan Radio Republik Indonesia dan kami anak Melayu di Jakarta, sama ada yang bekerja sebagai polis atau askar sejak penjajahan Jepun dan sudah berkeluarga di Indonesia atau pelajar di Pesantren (pondok pengajian agama) melonjak kegembiraan.

“Kami melompat, bertepuk tangan, kami saling mengucapkan selamat (tahniah), malah sama-sama menangis terharu dalam kegembiraan,” katanya.

Namun, katanya, dalam detik yang sama mereka merenung nasib dan masa depan diri masing-masing, sama ada mahu terus berada di Indonesia atau pulang ke Malaysia yang sudah merdeka dan mencurahkan khidmat bakti di tanah tumpah darah.

“Bagaimanapun, ramai daripada kami terus menetap di sini, bukan kerana perjalanan pulang dengan kapal memakan masa, pelayarannya terhad, tambangnya mahal dan kami tiada wang, tetapi juga banyak daripada kami sudah berkeluarga,” katanya.

Pakwan yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, mengakui keputusan itu sangat sukar, tetapi demi keluarga mereka memilih untuk tinggal di perantauan.

Malah, sebahagian besar warganegara Malaysia, termasuk Pakwan sendiri dianugerahi sijil pengiktirafan Veteran Pejuang Kemerdekaan Republik Indonesia kerana turut berjuang menentang penjajahan Jepun dan Belanda sehingga Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, yang pada hari ini sudah merdeka selama 62 tahun.

Pakwan berkata, kira-kira sebulan sebelum 31 Ogos 1957, Datuk Senu Abdul Rahman datang ke Indonesia bertemu dengan pemimpin negara itu untuk memaklumkan bahawa Malaysia akan mengisytiharkan kemerdekaannya pada tarikh keramat itu.

“Datuk Senu kemudian terus berada di Jakarta sebagai Duta Besar Malaysia pertama, sekali gus menjadikan Indonesia negara pertama menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Malaysia yang merdeka,” katanya yang kemudian menjadi wartawan di agensi berita nasional Indonesia, Antara, sehingga bersara.

Beliau dan isteri, Siti Akmal, bekas guru besar sekolah, berbangga dengan kejayaan dan kemajuan pesat dicapai Malaysia dan mendoakan Malaysia terus maju dan makmur. – Bernama

Berita Harian
28 Ogos 2007