NEGARA sedang membangunkan universiti bertaraf dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini. Pada masa ini, ada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 32 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan pelajar berjumlah 654,812 orang. Sementara itu, seramai 50,000 pelajar antarabangsa sedang belajar di IPTA dan IPTS di negara ini. Antara usaha sedang dijalankan ialah meningkatkan mutu pensyarah, menggalakkan penyelidikan dan hasil penyelidikan di kalangan pensyarah serta mengambil pelajar lebih bermutu untuk masuk ke universiti. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus mengawal selia IPTS supaya terjamin mutunya dan pelajar nilai sebenarnya daripada pelaburan mereka. Untuk membicara lanjut isu ini, berikut adalah temu bual dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.
Pengajian tinggi adalah cukup kritikal untuk pembangunan negara ini. Modal insan adalah komponen penting Pelan Pembangunan Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Malangnya, perkembangan dari segi jumlah pelajar menjejaskan kualiti. Cabaran paling besar ialah bagaimana hendak menangani isu kualiti. Secara serentak, kita perlu mengembangkan pendidikan kita secara global dan juga mempunyai penanda aras. Keadaan sekarang bukan lagi seperti 20 tahun lalu. Tekanan semakin bertambah sekarang untuk membaiki kualiti. Universiti di negara ini mesti mampu bersaing dengan universiti di negara luar supaya universiti kita setara dengan universiti dunia. Sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh menanda aras dengan universiti lain di dunia ini. Ada banyak penanda aras boleh digunakan selain Times Higher Education Supplement (THES). Tumpuan akan diberi kepada beberapa IPTA untuk menjadi terkemuka di dunia. Malaysia tidak boleh lari daripada penilaian dan perbandingan dibuat dengan institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dunia seperti juga dalam bidang lain. Sambil itu, kita juga perlu melihat keutamaan negara dan dasar negara yang penduduknya bersifat majmuk. Seperkara lagi, hubungan industri perlu ditingkatkan. Langkah lebih agresif patut dijalankan. Lebih banyak latihan industri untuk pelajar dan pensyarah perlu dijalankan. Kita perlu bergerak dengan pantas. Dunia sedang berubah dengan cepatnya. Jika kita lambat kita akan menjadi tidak relevan lagi atau menjadi dinosaur.
Apakah langkah khusus yang diambil kementerian untuk meningkatkan lagi prestasi dan kualiti IPTA.
Antara langkah diambil ialah memperbaiki infrastruktur dan kemudahan, meningkatkan kualiti pensyarah, menghantar pensyarah membuat ijazah doktor falsafah (PhD), mengambil pelajar yang berkualiti masuk ke universiti dan meningkatkan pelajar yang sedang belajar. Universiti perlu mengambil pensyarah terbaik dan mereka yang mempunyai pengalaman industri. Kita harus menjadikan akademia lebih relevan kepada industri. Bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman industri, mereka akan dikehendaki menjalani pengalaman industri menerusi program latihan industri atau sangkutan. Pensyarah bukan saja mesti baik dalam pengajaran, memahami dan mempunyai pengalaman dalam industri, kerajaan dan sebagainya, malah mereka juga perlu mempunyai jalinan serta hubungan penyelidikan dengan rakan pensyarah di seberang laut dan mereka harus menerbit buku dan artikel jurnal. Langkah seterusnya ialah meningkatkan empat universiti awam kepada universiti penyelidikan. Setiap universiti penyelidikan ini iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia, diberi peruntukan penyelidikan tambahan sebanyak RM50 juta setahun berbanding dengan universiti awam lain. Adalah penting untuk meningkatkan penyelidikan. Pensyarah terbabit dalam penyelidikan, kebanyakannya boleh menjadi pakar. Pelajar akan lebih tertarik untuk belajar dengan universiti yang mempunyai profesor ternama dan hebat. Kualiti pelajar perlu ditingkatkan dari segi kemahiran insan, keusahawanan, bahasa Inggeris dan komunikasi. Kita berharap kualiti graduan akan meningkat menerusi usaha ini supaya mereka lebih mudah mendapat pekerjaan.
Bagaimana dengan latihan pensyarah untuk untuk mendapat PhD.
Ia sedang berjalan. Cuma yang kita sedang usahakan ialah program sangkutan dalam bank, sektor kewangan dan industri lain. Pensyarah memang hebat dari segi teori, tetapi kurang pengalaman. Untuk itu pensyarah perlu mendapat pengalaman di luar supaya mereka tahu apa berlaku di luar untuk menjadikan lebih baik. Begitu juga dengan latihan industri oleh pelajar dalam industri berkaitan.
Apa rancangan dibuat untuk meningkatkan kualiti pelajar.
Pelajar yang diambil untuk memasuki pengajian tinggi harus berkualiti. Pelajar tidak mempunyai kemahiran asas untuk memasuki universiti hendaklah menyertai politeknik atau kolej komuniti untuk mendapat kemahiran lain. Kualiti bukan saja dari segi akademik, malah kemahiran lain seperti kemahiran insan dan pembangunan personaliti. Universiti juga akan memperkenalkan program keusahawanan untuk meningkatkan prospek kerjaya pelajar. Langkah seterusnya ialah mengkaji semula kurikulum. Perubahan kurikulum adalah penting untuk mencapai objektifnya. Pelajar boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu cemerlang, baik, sederhana dan lemah. Perhatian lebih akan diberikan kepada mereka yang lemah iaitu sekitar 10 peratus supaya kualiti mereka boleh ditingkatkan untuk mengurangkan jumlah dalam kategori ini. Selain itu, usaha juga akan dibuat supaya jumlah mereka dalam kategori cemerlang dapat dibesarkan. Sekarang ini asasnya sedang dibina. Kita berharap melihat hasilnya tidak lama lagi. Kerajaan sedang melihat semua ini secara holistik. Satu lagi masalah ialah bahasa Inggeris, ramai pelajar yang tidak bernasib baik tergolong dalam kumpulan ini. Ini perlu diberi perhatian.
Pada masa ini, kita mempunyai 20 universiti awam dan 32 universiti swasta. Dalam masa terdekat ini, adakah universiti baru akan diwujudkan
Universiti diwujudkan oleh permintaan pasaran. Pada masa ini jumlah universiti sudah mencukupi. Apa yang perlu ialah menambah jumlah pelajar bukan jumlah universiti. Dijangkakan jumlah pelajar akan meningkat 10 peratus setiap tahun.
Apakah cabaran untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau?
Cabaran pertamanya ialah untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini. Cabaran kedua ialah menarik lebih ramai pelajar asing ke negara ini. Kini ada banyak universiti berjaya di Malaysia.
Malaysia kini sudah pun menjadi hab pendidikan. Bagaimanapun, Singapura mempunyai lebih ramai pelajar asing berbanding Malaysia. Kita akan berusaha supaya lebih ramai pelajar datang belajar di negara ini. Pada masa ini, kita sudah mempunyai 50,000 orang pelajar. Matlamat kita ialah untuk membawa masuk seramai 100,000 pelajar asing belajar di negara ini menjelang 2010. Kualiti adalah penting jika hendak menjadikan Malaysia hab pengajian tinggi. Jika rendah bagaimana hendak menarik pelajar luar. Pelajar akan datang jika pendidikan di Malaysia lebih baik dari negara mereka. Di beberapa negara luar, Malaysia memang terkenal. Malaysia terkenal di Arab Saudi, Nigeria, Kenya dan Botswana, sebagai mempunyai universiti yang baik. Bagaimanapun, kita hendak juga pelajar dari negara maju seperti Eropah.
Selepas Dialog Antarabangsa Langkawi, apakah perancangan kementerian untuk meningkatkan pelajar Afrika untuk belajar di sini
Langkah pertama ialah untuk meningkatkan promosi. Pada masa ini promosi sudah dijalankan. Bagaimanapun, kita akan memperkemaskan lagi kerana berdasarkan maklumat disampaikan dalam dialog itu, perancangan perlu dibuat dengan pengetahuan pihak di negara Afrika yang terbabit. Di sana ada acara yang sedang berjalan dan kedatangan pada masa yang tidak sesuai tentulah mengurangkan kesannya. Beberapa negara luar seperti Kenya, Nigeria dan Botswana, memandang tinggi pendidikan tinggi di negara ini. Kita mempunyai ramai pelajar dari Afrika yang berjumlah 6,500 orang. Di Botswana, sebuah universiti Malaysia iaitu Limkokwing University of Creative Technology sudah ditubuhkan dan seramai 1,000 pelajar sedang belajar di sana. Selain itu, kita juga baru menerima 10 pelawat dari Arab Saudi yang diketuai Timbalan Menteri Pendidikannya serta rektor beberapa universiti. Malah, tahun ini Arab Saudi menghantar seramai 500 pelajar secara serentak dan dibiayai Kerajaan Saudi. Ini menunjukkan kepercayaan terhadap pendidikan tinggi negara ini.
Apakah rancangan kementerian terhadap IPTS.
Isu utama IPTS ialah bilangan yang banyak. Kita sedang menggalakkan supaya mereka bergabung, tetapi nampaknya mereka tidak berapa minat. Ada IPTS yang kecil, masalahnya IPTS begini tidak mempunyai ramai pensyarah dan tidak ramai pelajar. IPTS begini sukar menarik pelajar. Pensyarah terpaksa bekerja kuat untuk menarik pelajar. Bagi kes sebegini, IPTS berkenaan patut kaji semula kedudukan mereka. Diharapkan mereka mengambil langkah bergabung.
Kita juga sedang menjalankan proses audit universiti swasta untuk memastikan mereka menurut aturan. Proses audit ini kini dijalankan pada peringkat perintis. Kita harap pihak universiti swasta sedar berapa pentingnya kualiti. IPTS mengenakan yuran tinggi dan ibu bapa mengharapkan kualiti yang baik. Universiti swasta perlu mengikut syarat ditetapkan. Kita ada unit penguat kuasa yang sudah diperkukuhkan. Adalah penting penguatkuasaan dijalankan supaya tidak berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Unit ini sudah diberi tugas untuk meninjau universiti swasta dari semasa ke semasa sebagai satu proses biasa pemeriksaan.
Apakah nasihat Datuk kepada pensyarah dan pelajar.
IPT kini terbuka untuk semua dengan ada kemudahan pinjaman. Dulu kemasukan ke IPT adalah untuk elitis iaitu terbuka kepada orang tertentu dan juga mereka yang ada duit. Kini hampir sejuta pelajar meminjam dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Ramai yang boleh masuk IPT sekarang ini. Malaysia berjaya kerana sistem pengajian tingginya. Akses untuk belajar begitu luas. Sistem kini berjaya melatih profesional seperti yang sudah dilakukan negara Barat. Dalam era global, kita terbuka dalam pendidikan. Kita kena kejar kecemerlangan dalam semua bidang. Gunakan peluang yang ada dalam pelbagai bidang. Pasaran buruh kini sangat bermobiliti. Sekarang pengambilan pekerja terbuka kepada siapa saja di dunia dalam usaha untuk mendapatkan minda terbaik untuk bekerja di mana saja, termasuk dalam syarikat multinasional.
Temu bual ini dilakukan oleh Prof Dr Mohd Safar Hashim (UKM) dan Arshad Hamzah (USIM)
Berita Harian
28 Ogos 2007