SUDAH terhantuk baru tengadah. Suka atau tidak itu sikap kita, sikap kebanyakan kita. Bila dah berlaku nahas, bila dah berlaku mata petaka, kita baru nak tersentak, baru nak bertindak. Apakah selama ini kita sering leka untuk memastikan peraturan dipatuhi sepanjang masa, penguatkuasaan dilaksanakan setiap ketika? Atau sikap pengguna jalan raya yang kerap alpa?
Bagaikan bermusim, dalam tempoh 12 hari empat kemalangan membabitkan bas dilaporkan selepas nahas bas malang itu. Terbaru membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa rombongan Wanita Umno Machang, Kelantan bertembung dengan sebuah kereta sebelum kedua-dua kenderaan terjunam dalam gaung di Kilometer 60.5 Jalan Lipis-Merapoh, petang Jumaat lalu. Akibatnya seorang maut, tujuh cedera.
Rentetan daripada nahas bas terburuk dalam sejarah negara yang meragut 22 nyawa 13 Ogos lalu, diikuti empat kemalangan bas ekspres selepas itu, operasi mula diperhebatkan, semua pihak berkuasa yang terbabit mula bertindak, apa lagi arahan terus datang daripada pucuk pimpinan tertinggi negara, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang cukup sedih dengan nahas berlaku dan mahu tahu di mana silapnya serta tindakan segera perlu diambil bagi menanganinya.
Ekoran meningkatnya nahas membabitkan bas ekspres, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka pusat pemeriksaan di semua terminal bas seluruh negara bagi memeriksa bas ekspres sebelum ia bertolak ke destinasi masing-masing.
Selain pegawai JPJ, anggota daripada beberapa agensi berkaitan seperti trafik, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom turut ditempatkan di pusat berkenaan.
Arahan juga dikeluarkan supaya mana-mana kenderaan yang gagal tiga kali pemeriksaan Puspakom digantung permit selama sebulan. Bas yang gagal memenuhi spesifikasi ketika pemeriksaan juga disenaraihitamkan.
Sistem Kejara diperketatkan berkuat kuasa serta-merta dengan tindakan menarik balik lesen pesalah trafik sehingga tempoh hukuman maksimum, iaitu enam bulan. LPKP pula memperkenalkan kad pemandu kepada pemandu bas ekspres bagi memudahkan proses memantau rekod kesalahan trafik mereka.
Kerajaan pula mengarahkan beberapa langkah segera untuk dilaksanakan serta-merta bagi menjamin keselamatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres termasuk penggantungan serta-merta permit syarikat yang terbabit dalam kemalangan maut.
Sebenarnya isu keselamatan jalan raya, sama ada membabitkan kenderaan persendirian, perdagangan atau awam, bukan isu baru. Setiap kali ada kemalangan yang meragut banyak nyawa, ia pasti menjadi tajuk utama media massa.
Sebagai pengguna, kita mempunyai hak untuk menuntut pengesahan bahawa servis yang diberi oleh syarikat ini menepati tahap keselamatan tinggi. Agensi kerajaan harus memastikan bahawa semua syarikat pembekal khidmat ini memenuhi tahap keselamatan sepenuhnya.
Hak kita sebagai pengguna untuk menuntut tahap keselamatan ini tidak mencukupi sekadar 80 atau 90 peratus? Kita berhak menuntut pengesahan keselamatan 100 peratus dari setiap pembekal khidmat ini.
Apabila kematian berlaku akibat nahas jalan raya, kita sering membaca bahawa tindakan akan diambil terhadap pemandu. Pemandu kemudian disabit kesalahan dan dihukum. Bagaimana pula dengan syarikat pengangkutan berkenaan atau majikan pemandu? Kenapa tindakan tidak diambil terhadap mereka?
Mengapa penyiasatan tidak dimulakan terhadap syarikat? Isu yang harus diambil kira termasuk proses pemilihan pemandu oleh syarikat? Apakah kelayakan pemandu? Adakah pemeriksaan dilakukan mengenai latar belakang serta rekod keselamatan pemandu? Berapa ramai pemandu asing diambil bekerja, sebagai langkah penjimatan kos?
Adakah pemandu asing ini mempunyai kecekapan serta kelayakan sesuai untuk memandu kenderaan berat? Lebih sensitif lagi, pernah saya diberitahu oleh pemandu bahawa ada yang mengambil dadah atau minuman keras ketika menjalankan tugas.
Alasan yang diberi ialah bahan ini membantu mereka lebih ‘fokus’ kerana terpaksa memandu berterusan selama beberapa jam. Ini bukan perkara baru.
Sudah tentu pemandu akan mencuba untuk melakukan lebih banyak perjalanan untuk menerima bayaran lebih. Bila ini berlaku, segala aspek keselamatan akan dicampak ke tepi.
Kualiti serta pembikinan dan reka bentuk kenderaan juga wajib dijadikan perkara utama sekiranya kita memandang serius isu menangani masalah ini. Syarikat wajib memastikan struktur dan reka bentuk kenderaan berat dapat menahan impak apabila berlaku kemalangan.
Tragedi kematian 22 mangsa ini bukanlah peristiwa pertama membabitkan kematian disebabkan oleh masalah struktur kenderaan. Satu lagi contoh ialah kemalangan di Bukit Mertajam lebih setahun lalu dengan 11 penumpang terbunuh, kebanyakannya akibat kesesakan nafas apabila bumbung bas terhempap masuk akibat kemalangan.
Sekali lagi, sebab utama kematian akibat kemalangan di Bukit Mertajam sudah dikesan. Setahun lebih sudah berlalu dan langkah yang diambil masih menjadi tanda tanya! Bukankah ia sia-sia belaka?
Akhir sekali, sebagai pengguna, saya ingin menasihat pengguna lain untuk berdiri menuntut hak keselamatan kita. Tiada gunanya cerita buruk dipaparkan, tiada gunanya agensi penguat kuasa menuding jari kepada pihak lain dan tiada gunanya penyiasatan dijalankan sekiranya langkah pemulihan tidak diambil.
Saya mahukan hak untuk memilih! Saya menunggu masanya untuk pengguna diberi peluang untuk cuma memilih pembekal khidmat yang menepati piawai keselamatan, sepenuhnya.
Saya berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk memberi 'gred' kepada syarikat pengangkutan berlandaskan kualiti servis serta tahap keselamatan yang dipraktikkan. Saya rasa cukup sampai di sini! Tiada gunanya kita menganalisis, tiada gunanya menuding jari dan tiada gunanya membuat janji kosong! Sebagai pengguna, saya mahukan perubahan, kita semua mahukan perubahan.
Mungkin kita perlu memberi pertimbangan serius terhadap cadangan rombakan secara menyeluruh terhadap sistem pengangkutan awam dan komersial dengan meletakkan kuasa berkaitan pengangkutan LPKP, JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT), Puspakom dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah satu agensi.
Memang benar risiko kemalangan memang akan tetap ada di mana-mana, cuma tugas kita untuk mengurangkannya ke tahap minimum mungkin. Keselamatan tanggungjawab kita bersama.
Oleh Datuk Noraini Ahmad
Datuk Noraini Ahmad adalah Ketua Puteri Umno
Berita Harian
28 Ogos 2007