Isnin, 27 Ogos 2007

Tabiat merokok perlu ditangani secara agresif

KAJIAN yang mendapati sesetengah kanak-kanak sudah mula ketagih rokok seawal usia lapan tahun seperti dilaporkan akhbar ini semalam, bukan saja mengejutkan malah amat membimbangkan. Kajian sebelum ini mengenal pasti hanya remaja seawal usia 16 tahun yang ketagih rokok. Ini bermakna semakin hari semakin ramai remaja merokok dan ia kini berjangkit pula kepada kanak-kanak bawah 10 tahun. Menurut Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa (ITC) bagi Malaysia, Dr Maizurah Omar, kajian ITC menunjukkan 14.7 peratus remaja di negara ini merokok, manakala 15 peratus lagi mempunyai kecenderungan untuk merokok pada masa depan. Kajian yang dijalankan tahun lalu dan membabitkan lebih 1,000 remaja itu juga mendapati 90.6 peratus remaja akan merokok jika diberi rokok atau diajak rakan mereka. Bagaimanapun, kajian itu tidak menjelaskan siapa kanak-kanak bawah umur itu yang mula merokok. Apakah dia anak orang kaya di bandar atau anak petani di kampung dan bagaimana pula kehidupan seharian atau persekitaran kehidupannya. Sebaliknya, kajian ITC cuma menjelaskan remaja merokok mempunyai lebih empat rakan dan ahli keluarga yang mempunyai tabiat serupa. Jika itulah hakikatnya, ia jelas menunjukkan remaja begitu mudah terpengaruh untuk memulakan tabiat merokok.

Lebih membimbangkan apabila pihak berkuasa dan peniaga seperti gagal menguatkuasakan larangan kepada golongan berusia bawah 18 tahun membeli rokok. Kajian ITC mendapati kira-kira 66.7 peratus remaja yang merokok mengakui sangat mudah mendapat rokok walaupun wujud larangan itu. Ini jelas menunjukkan peniaga lebih mementingkan perniagaan tanpa menghiraukan peraturan kerajaan dan tidak sensitif kepada usaha membendung anak muda daripada tabiat buruk itu. Mungkin kerajaan boleh menggubal undang-undang supaya kotak rokok di negara ini mempunyai amaran bergrafik seperti disyorkan ITC kerana kita agak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura. Label amaran bergrafik pada kotak rokok bagi memberi maklumat sebenar berhubung bahaya dan kesan serius pada kesihatan perokok. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, terpampang pada kotak rokok amaran bergrafik termasuk lakaran mengenai paru-paru akibat kesan merokok pada tubuh badan seseorang. Usaha itu sudah tentu memberi impak positif, apatah lagi bagi remaja yang mula berjinak dengan rokok.

Tabiat merokok perlu ditangani secara agresif kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan 10 juta kematian setiap tahun menjelang 2020. Satu lagi ialah mengenai iklan rokok yang masih berleluasa pada papan iklan di premis perniagaan atau tepi jalan raya meskipun iklan berkaitan rokok sudah diharamkan di media terutama media elektronik. Aspek ini juga perlu ditangani kerana lebih 30 peratus remaja dalam kajian ITC itu, turut mengakui syarikat tembakau mempengaruhi mereka dengan iklan untuk merokok.

Berita Harian
28 Ogos 2007