Isnin, 27 Ogos 2007

Membina SK beraspirasi nasional

MUKADIMAH

LAPORAN Razak 1956 telah meletakkan asas-asas untuk memupuk perpaduan melalui sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, menetapkan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, menggunakan satu kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Hari ini sistem pendidikan kebangsaan sudah begitu berkembang. Bagaimanapun asas dan semangat Laporan Razak masih dikekalkan sehingga hari ini baik dalam kurikulum, kegiatan kokurikulum, pentaksiran dan peranan sekolah kebangsaan (SK). Elemen-elemen perpaduan sentiasa menjadi keutamaan dan diterapkan dalam setiap program pendidikan yang hendak kita laksanakan.

“Cuma cabaran hari ini dan lima puluh tahun sebelum ini berbeza. Dengan adanya globalisasi, usaha memupuk perpaduan tidak boleh lagi berada di takuk lama, sebaliknya perlu diperhebatkan lagi dan perlu relevan dengan cabaran yang dihadapi,” kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, beliau turut menjelaskan bahawa semua ini sedang Kementerian Pelajaran laksanakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 melalui pelbagai program, termasuk usaha memperkasa sekolah kebangsaan, pra-PLKN dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

MEMPERKASA SK adalah salah satu dari enam teras dalam PIPP. Apakah matlamat yang ingin dicapai melalui teras ini?

ALIMUDDIN: Idea untuk menubuhkan SK telah timbul sejak sebelum kemerdekaan lagi sebagai salah satu langkah untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Melalui SK, harapan pemimpin ketika itu adalah supaya generasi muda dapat dilatih sejak usia muda lagi untuk hidup bermasyarakat dan saling bekerjasama di antara satu sama lain. Ini ada disebut di dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan Penyata Razak 1956.

Dasar kita adalah untuk memastikan SK menjadi pilihan utama masyarakat dan kekal sebagai sekolah aliran perdana yang mampu memainkan peranan yang signifikan bagi mempertingkat dan memperkukuh perpaduan kaum.

Bagi memastikan ini dapat dicapai, fokus kita adalah untuk meningkatkan daya tarikan SK dari segi usaha untuk meningkatkan kecemerlangan SK dalam pelbagai bidang serta melalui penawaran program atau subjek yang dapat memenuhi kehendak ibu bapa pelbagai kaum. Kita juga mahu menjadikan SK lebih beraspirasi nasional agar ibu bapa bukan Melayu tidak berasa bimbang bila menghantar anak-anak mereka ke SK.

Bagi meningkatkan ekuiti di kalangan SK, kita juga akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti prasarana di semua SK, terutama SK yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman. Pembestarian sekolah adalah salah satu program utama untuk kita memperkasakan SK.

Apakah yang dimaksudkan sebagai SK yang perkasa?

Berdasarkan tinjauan dan bengkel-bengkel yang diadakan, kita dapati terdapat sembilan ciri-ciri sebuah SK yang perkasa.

Sembilan ciri-ciri ini adalah mempunyai pencapaian akademik cemerlang; pemimpin dan guru yang cekap, terlatih dan berkualiti; infrastruktur lengkap dan berkualiti; penawaran kurikulum berasaskan pelanggan; penawaran dan pelaksanaan program kokurikulum yang berkesan; pencapaian sahsiah pelajar yang cemerlang; iklim dan budaya sekolah yang sihat dan kondusif; sistem sokongan yang kukuh dan mencukupi; dan akhir sekali beraspirasi nasional.

Kenapa perlu memperkasa SK? Adakah ini menunjukkan ada masalah dengan SK kita?

Seperti yang saya sebutkan, usaha memupuk perpaduan tidak boleh lagi berada di takuk lama. Begitu juga usaha memperkasa SK. Ia harus relevan dengan suasana semasa.

Bila kita bercakap tentang SK, kita tidak bercakap tentang satu atau dua sekolah semata-mata. Sehingga Januari 2007, ada sejumlah 7,864 SK. Di peringkat rendah, ada 5,781 SK, termasuk 28 buah SK Khas. Di peringkat menengah pula, ada 2,055 buah SK, termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Model Khas, Sekolah Sukan dan Sekolah Menengah Khas.

Statistik ini menunjukkan SK merupakan tunjang kepada sistem pendidikan negara. Kita bercakap tentang hampir 8,000 buah sekolah kebangsaan, rendah dan menengah di seluruh negara, yang setiap satunya mempunyai kekuatan dan kekurangan yang berbeza.

Mustahil tidak ada masalah sama sekali, tetapi kita perlu berlaku adil untuk melihat kelebihan SK berbanding kekurangannya. Majoriti daripada rakyat Malaysia adalah produk SK. Ini bermaksud SK merupakan antara penyumbang utama keharmonian kaum dan pembangunan negara sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan negara.

Usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat merupakan satu proses yang berterusan. Begitu juga usaha memperkasa SK yang merupakan tulang belakang sistem pendidikan kita.

Jadi, dasar kita dalam usaha memperkasa SK adalah untuk memastikan SK terus menjadi pilihan utama masyarakat dan kekal sebagai sekolah aliran perdana yang mampu memainkan peranan yang signifikan bagi mempertingkat dan memperkukuh perpaduan kaum.

Bolehkah Datuk nyatakan ketika ini berapakah peratus enrolmen pelajar Melayu berbanding bukan Melayu di SK dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)?

Setakat ini statistik nasional menunjukkan di sekolah rendah peratus pelajar bumiputera di SK adalah sebanyak 93 peratus manakala bukan bumiputera adalah 7 peratus. Peratus pelajar bumiputera di SJKC adalah seramai tujuh peratus dan peratus bukan bumiputera di SJKC pula adalah seramai 93 peratus. Manakala di SJKT pula adalah peratus bumiputera adalah seramai 0.2 peratus dan bukan bumiputera adalah 99.8 peratus.

Tidakkah statistik ini membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam konteks memupuk perpaduan di kalangan generasi muda?

Kalau dilihat secara kasar mungkin ramai yang beranggapan begitu kerana itu adalah statistik nasional, yang turut melibatkan sekolah-sekolah di dalam negeri-negeri yang didominasi oleh orang Melayu seperti Kelantan dan Terengganu. Tidak perlu pergi jauh, di Putrajaya sahaja contohnya, dengan populasi yang lebih 90 peratus terdiri daripada orang Melayu, mustahil ada ramai murid bukan Melayu di SK di dalam Putrajaya.

Bagaimanapun jika kita melihat dengan lebih teliti di sekolah-sekolah di dalam lokasi yang mempunyai komposisi kaum yang lebih seimbang, misalnya di kawasan bandar, realitinya agak berbeza.

Ada di antara SK ini yang mempunyai jumlah pelajar bukan Melayu yang lebih daripada 30 peratus. Tetapi, yang paling menarik adalah, pada ekstrem yang berbeza, ada juga keadaan di mana terdapat SK yang 100 peratus pelajarnya terdiri dari bukan Melayu, seperti SK Guru Kalgidhar di Ipoh.

Di sekolah menengah pula, keadaan adalah jauh lebih baik. Ini kerana di peringkat menengah hampir kesemua pelajar akan masuk ke sekolah menengah kebangsaan, tidak seperti di peringkat rendah. Disebabkan ini, jumlah pelajar Melayu dan bukan Melayu jauh lebih seimbang. Daripada sekitar 2.2 juta orang pelajar sekolah menengah di seluruh negara, 70.7 peratus merupakan pelajar Melayu dan 29.3 peratus yang bakinya adalah pelajar bukan Melayu.

Jika mengambil kira enrolmen dalam aliran kebangsaan di peringkat rendah dan menengah, kita akan dapati bahawa 86 peratus anak-anak kita berada di sekolah kebangsaan. Ini berbeza dengan SJKC yang hanya mempunyai tujuh peratus pelajar bumiputera dan SJKT yang mempunyai hanya 0.02 peratus pelajar bumiputera.

Hakikatnya majoriti anak-anak kita belajar di SK. Hakikatnya di sinilah juga anak-anak daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, miskin, kaya, anak-anak istimewa dan sebagainya berada menjadikannya wadah terbaik untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan generasi muda.

Ini adalah realiti yang mesti diterima semua.

Setakat ini adakah terdapat SK-SK dalam kawasan masyarakat berbilang kaum yang popular dan menjadi pilihan kepada ibu bapa?

Memang ada. Misalnya, di Kuala Lumpur, SK Seri Bintang Utara. Ada lebih daripada 400 permohonan setiap tahun walaupun tempat yang ada hanya 175. Ramai ibu bapa yang tetap menunggu untuk memasukkan anak mereka ke sekolah ini walaupun gagal pada tahun pertama. Sehingga hari ini, masih ada yang menunggu untuk memasukinya.

Begitu juga SK-SK yang cemerlang seperti SK Taman Megah, SK Seri Petaling dan SK Bukit Damansara.

Di negeri-negeri lain juga ada SK-SK yang popular seperti ini. Bagi sekolah menengah pula, permintaan untuk memasuki SBP dan sekolah-sekolah yang kita senarai sebagai sekolah kluster sentiasa tinggi. Untuk SBP sahaja jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 92,000 sedang tempat yang ada hanyalah 6,030 sahaja.

Ini menunjukkan sekiranya pencapaian sekolah baik, disiplin pelajar cemerlang serta guru dan kepimpinan sekolah cekap, ibu bapa akan berasa lebih yakin dan tertarik untuk menghantar anak mereka ke SK.

Benarkah dikatakan kebelakangan ini pencapaian SK semakin menurun berbanding sekolah aliran lain?

Jawapan saya – ia hanyalah persepsi semata-mata. Dalam hal ini, saya fikir kita perlu membuat perbandingan apple to apple. Ini penting supaya masyarakat benar-benar dapat mengukur pencapaian sebenar murid di SK.

Kita tidak boleh membandingkan pencapaian sekolah di bandar dengan sekolah yang berada di luar bandar atau di kawasan pedalaman. Adalah lebih adil untuk membandingkan pencapaian sekolah yang berada di lokasi hampir serupa misalnya pencapaian SK dan SJK di Lembah Klang. Di Selangor misalnya, sekolah terbaik dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) dalam UPSR tahun 2007 adalah SK Taman Megah, diikuti oleh SK Convent (1) Klang dan SK Convent Kajang. Pada tangga ketujuh barulah ada sekolah dari aliran lain.

Begitu juga di Kuala Lumpur. Sekolah dengan GPS terbaik adalah SK Bukit Damansara, diikuti dengan SK Seri Bintang Utara dan SK Taman Maluri. Di tangga ke-13 barulah ada sekolah-sekolah dari aliran lain.

Apakah yang telah kementerian laksanakan setakat ini dalam usaha untuk memperkasakan SK?

Saya suka membahagikan langkah-langkah ini kepada dua, iaitu pertama yang berkaitan fizikal, kedua, yang bukan fizikal.

Dari segi fizikal, kita menyedari bahawa walaupun SK merupakan sekolah aliran perdana, tetapi tidak semua SK mempunyai prasarana yang memuaskan, terutama SK yang berada di kawasan pedalaman dan SK yang berstatus bantuan modal seperti sekolah-sekolah mubaligh.

Disebabkan itu, dari segi infrastruktur, kita sedang berusaha menaik taraf SK yang usang dan daif, terutama yang berada di luar bandar. Sehingga kini sebanyak 226 sekolah rendah telah dinaik taraf melibatkan peruntukan sebanyak RM35.8 juta. Untuk sekolah menengah pula, sebanyak 115 buah telah dinaik taraf melibatkan peruntukan sebanyak RM25.6 juta.

Bagi membantu sekolah-sekolah berstatus bantuan modal, kita telah mengadakan lebih banyak peruntukan, daripada RM50 juta dalam rancangan lima tahun sebelum ini kepada RM100 juta dalam RMK-9.

Pembestarian adalah satu rancangan utama untuk memperkasa SK. Dalam usaha untuk membestarikan semua SK di seluruh negara kita telah membina makmal komputer dan pusat akses, membekalkan lebih banyak perkakasan, aplikasi dan perisian kursus, mengadakan akses Internet jalur lebar, penyediaan rangkaian dalaman dan juga pelbagai latihan.

Dari segi pendekatan bukan fizikal pula, bagi menarik minat ibu bapa kaum bukan Melayu menghantar anak mereka ke SK, sejak tahun 2004 lagi, kementerian telah memperkenalkan subjek Bahasa Cina Komunikasi (BCK) dan Bahasa Tamil Komunikasi (BTK).

Pada tahun 2007, berikutan pandangan Perdana Menteri, tahap kedua-dua subjek ini telah ditingkatkan lagi menjadikannya Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT). Sehingga Jun 2007, sebanyak 100 buah SK sudah menawarkan BC melibatkan 1,908 orang murid dan sebanyak 60 buah SK lagi telah menawarkan BT melibatkan 668 orang murid.

Bagi menarik minat ibu bapa pelajar Islam, kementerian telah memperkukuhkan lagi kurikulum dan pendekatan Pendidikan Islam melalui pengenalan program j-QAF. Sejak tahun 2004, sudah ada 3,686 SK yang menawarkan j-QAF dan ia melibatkan seramai lebih 618,000 orang murid Islam.

Selain itu, sebagai jalan untuk menambah daya tarikan terhadap SK, Kementerian Pelajaran juga telah menambah sebanyak 1,322 buah lagi kelas prasekolah termasuk 49 buah kelas prasekolah integrasi pendidikan khas. Hari ini dengan perluasan program prasekolah ini, hampir 32,500 kanak-kanak berumur lima tahun telah diberikan peluang mendapat pendidikan awal di SK.

Usaha juga telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah murid tidak menguasai kemahiran 3M melalui program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M), Program Tiga M (PROTIM), kelas pemulihan dan kelas pemulihan inklusif untuk murid berkeperluan khas. Semenjak program intervensi ini dijalankan sehingga April 2007, kita telah berjaya meningkatkan penguasaan murid dalam membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia sebanyak 21.7 peratus.

Ini adalah antara sejumlah perkara yang telah dan sedang kita laksanakan bagi memperkasakan SK, tidak termasuk langkah-langkah yang kita ambil untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran di SK yang menawarkan pendidikan khas dan di SK Orang Asli.

Pada pandangan Datuk, apakah faktor paling utama yang akan menentukan kejayaan untuk memperkasakan SK?

Walaupun banyak yang telah dan sedang kita laksanakan, bagi saya, faktor yang paling penting untuk menjadikan sesebuah SK itu perkasa dan menarik minat masyarakat adalah kepimpinan sekolah yang kuat dan berkesan.

Jika kepimpinan sekolah kuat dan berkesan, saya percaya sekolah akan menjadi tempat yang kondusif untuk murid belajar dan untuk guru mendidik seterusnya ini akan menjadikan sekolah lebih cemerlang. Kepimpinan yang kuat juga akan dapat menarik lebih banyak sokongan daripada ibu bapa, masyarakat setempat dan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk bersama-sama membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah.

Melalui Jawatankuasa Memperkasa SK, kita telah membangunkan Instrumen Sekolah Perkasa yang boleh digunakan di sekolah-sekolah. Instrumen Guru Besar dan Pengetua Perkasa juga akan siap dalam masa terdekat dan saya harap akan dapat digunakan untuk meningkatkan lagi kualiti kepimpinan di SK di seluruh negara.

Diharapkan instrumen-instrumen ini dapat membantu kepimpinan sekolah untuk menjadikan SK benar-benar perkasa dan beraspirasi nasional.

Ada pihak yang menyifatkan sistem pendidikan kita adalah bersifat kompromi kerana membenarkan pelbagai aliran wujud. Bagaimanakah Datuk lihat ia dapat mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat?

Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkasakan SK agar ia menjadi pilihan pertama ibu bapa. Itu janji kita kepada rakyat. Bagaimanapun di samping kita berusaha untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk memperkasakan SK kita juga akan memperhebatkan lagi program-program yang dapat memupuk perpaduan kaum.

Kita sudah mula melaksanakannya melalui kurikulum kita, iaitu melalui subjek seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, subjek-subjek bahasa, Kajian Tempatan, Sejarah, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Tari, Pendidikan Seni Teater, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

Program kokurikulum di sekolah juga akan dimantapkan dan seperti yang kita janjikan dalam kertas Kabinet mengenai usaha pemantapan aktiviti kokurikulum, kita akan memastikan penglibatan pelbagai kaum dalam semua aktiviti kokurikulum, termasuk sukan, seboleh yang mungkin.

Satu lagi pendekatan adalah melalui program RIMUP yang telah diberikan nafas baru. Kerajaan telah memperuntukkan RM25.9 juta setiap tahun bagi kita melaksanakan RIMUP secara berkesan. Kalau dulu tidak ada sebarang peruntukan untuk ini tetapi mulai tahun ini setiap sekolah akan menerima RM500 - RM2,000 untuk melaksanakan program bersama dengan sekolah berlainan aliran yang berdekatan. Daripada RM25.9 juta ini, RM8.4 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek e-integrasi yang akan dimulakan di 353 buah sekolah rendah dan dijangka akan melibatkan 912 buah sekolah menjelang 2010.

Tahun ini, untuk pertama kalinya, kita menggunakan pendekatan RIMUP untuk manggabungkan pelajar-pelajar daripada sekolah-sekolah yang didominasi oleh satu kaum seperti SJKC, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi membentuk pasukan untuk menyertai pertandingan reka cipta F1 dan juga robotik.

Banyak lagi yang hendak kita laksanakan secara berterusan.

Sepanjang 50 tahun negara merdeka, saya percaya, sistem pendidikan kita dan sekolah kebangsaan telah berjaya memupuk perpaduan di kalangan rakyat beberapa generasi. Mungkin ada kekurangan di sana sini, tetapi hakikatnya negara kita masih aman dan rakyat hidup bersatu padu dan harmoni.

Segala ini tidak mungkin dapat dicapai dalam sekelip mata dan kejayaan inilah yang hendak kita raikan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Utusan Malaysia
28 Ogos 2007