Penulis dan pengarah filem kontroversi Amir Muhammad akan melancarkan buku yang memuatkan kumpulan ungkapan "lawak", menarik dan sekali gus sukar dilupakan yang pernah disampaikan pemimpin-pemimpin politik negara ini.
Buku bertajuk Malaysian Politicians Say the Darndest Thing yang merakamkan lebih 100 petikan daripada tokoh-tokoh popular -- seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Harussani Zakaria -- dilancarkan Ahad ini di bangunan tambahan belakang Pasar Seni.
Amir yakin buku setebal 115 halaman susunan dan terbitannya itu tidak akan diharamkan seperti yang terjadi terhadap dua buah filem arahannya, Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.
Beliau menyifatkan buku sulung terbitan syarikatnya Matahari Books itu sebagai bahan santapan minda "di antara karya pelukis Lat dan penulis politik Raja Petra Kamaruddin".
"Petikan di dalam buku itu tidak subversif seperti (laman web) Raja Petra atau lucu seperti kartun Lat," katanya kepada mStar Online hari ini.'
"Semasa filem Lelaki Komunis Terakhir diharamkan dulu, saya mempertikaikan kenapa mereka haramkan filem saya tetapi tidak buku Chin Peng? Mereka kata, buku tidak apa kerana orang Malaysia tidak baca buku.
"Jadi, buku ini sesuai untuk dibaca oleh orang-orang yang tidak suka membaca kerana ada ilustrasi yang menarik dan boleh dihabiskan dalam masa satu jam sahaja."
Menurutnya, semua petikan di dalam buku itu diambil daripada laporan akhbar dan majalah antarabangsa dan semua sumber itu dinyatakan.
"Jika mereka kata kenyataan mereka tersalah lapor, saya tulis juga bahawa mereka kata kenyataan mereka telah dilaporkan dengan salah," katanya.
Jelasnya, beliau mula membuat kajian tentang petikan-petikan kenyataan itu sejak Mac lalu apabila mendapati pengarang di New Straits Times (NST) telah memotong perkataan tertentu di dalam rencana di kolum mingguannya di akhbar tersebut.
"Saya mula tertanya-tanya apabila mereka memotong perkataan 'Semangat 46' daripada rencana itu. Apabila membuat kajian lanjut, saya dapati bahan-bahan ini boleh diterbitkan sebagai buku," jelasnya.
NST telah menamatkan kolum Amir itu, yang dimulakan sejak tahun lepas, pertengahan bulan lalu tanpa sebab. Akhbar yang sama pernah memberhentikan kolumnya menjelang pilihan raya umum 1999.
Katanya lagi, dalam kajiannya tentang Semangat 46, beliau akhirnya terserempak dengan kenyataan Tunku Abdul Rahman yang dipetik sebagai berkata: "Semua orang nampaknya korup, ketika zaman saya, tidak berlaku perkara seperti ini."
Kenyataan bekas perdana menteri ini, yang dimuatkan di halaman 19 buku Malaysian Politicians Say the Darndest Things, mengulas gaya kepemimpinan perdana menteri waktu itu Dr Mahathir, tokoh yang sering dikritik Tunku.
Buku ini juga memuatkan petikan-petikan yang muncul akibat pergeseran Mahathir dengan bekas timbalan-timbalannya Anwar dan Tun Musa Hitam.
Amir turut menarik perhatian pembaca sewaktu mengulas peristiwa pengumuman peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional di perhimpunan agung parti itu pada 2002.
"Dia telah menunggu hingga tamat perlawanan bolasepak Piala Dunia antara Korea Selatan dengan Sepanyol (disiarkan langsung di saluran lain) sebelum membuat pengumuman itu," ulas Amir di muka surat 60.
Katanya, terdapat lebih 15 petikan daripada Dr Mahathir di dalam buku itu berbanding perdana menteri yang lain kerana tokoh itu membuat banyak kenyataan yang mencetuskan kontroversi.
Sewaktu menjawat timbalan perdana menteri pada 1979, Mahathir ketika mengulas kebanjiran pelarian Vietnam pernah dilaporkan berkata: "Malaysia akan menembak mereka sebaik sahaja mereka muncul (we will shoot them on sight)".
Kenyataan Nik Aziz yang pernah menimbulkan kontroversi besar dimuatkan di halaman 45: "Hanya wanita yang kurang cantik boleh diterima sebagai kakitangan awam kerana mereka tidak mampu bersuamikan lelaki kaya yang boleh menyara mereka."
Turut dimuatkan, kata-kata makian wakil rakyat BN Bung Mokhtar Radin di Parlimen ketika menjawab soalan seorang wakil pembangkang dalam perdebatan konsep negara Islam. Bung dilaporkan berkata: "f*ck you! f*ck you!"
Ditanya sama ada petikan kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dimuatkan di dalam buku itu, Amir menjawab sambil ketawa: "Tidak ada. Mungkin kerana tidak ada kata-katanya sebelum ini yang benar-benar melekat di fikiran saya."
Beliau tidak meletakkan kriteria tertentu dalam pemilihan petikan pemimpin, katanya, "tetapi ia mestilah mudah diingati. Kalau Pak Lah, saya tidak dapat ingat apa-apa selain perkataan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang."
Oleh SALHAN K. AHMAD
mSTAR Online 13 September 2007