Khamis, 13 September 2007

Empat pencuri kerbau ditahan bersama ubat pelali


KUANTAN: Polis menahan empat lelaki dan merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan mencuri kerbau di sebuah kampung di Chenor, Maran, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, ACP T. Narenasagaran, berkata keempat-empat lelaki yang berusia antara 17 dan 28 tahun itu bekerja sebagai penjual daging dan buah-buahan di Maran.

Beliau berkata, cubaan mencuri kerbau oleh suspek terbabit berjaya dikesan oleh adik kepada pemilik kerbau berkenaan yang ternampak haiwan tersebut berada di tepi jalan raya pada 3 pagi.

Katanya selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, pemilik kerbau yang berusia 50 tahun kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anak kerbaunya berada di tepi jalan dan juga terdapat satu tabung ubat pelali dan jarum suntikan berhampirannya.

"Tidak jauh dari situ terdapat seekor lagi kerbau betina milik lelaki berkenaan dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai akibat terkena suntikan ubat pelali berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan itu, pemilik kerbau itu membuat laporan polis dan siasatan dijalankan sejurus kemudiannya, kata Narenasagaran.

Katanya keempat-empat suspek dikesan ketika cuba mengangkat seekor kerbau lain ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh penduduk kampung itu yang melakukan rondaan Rukun Tetangga.

Sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung terbabit, suspek terbabit membatalkan niat tersebut dan melarikan diri, katanya.

"Mereka kemudiannya bertindak mengejar kenderaan tersebut dengan sebuah kereta yang akhirnya terpaksa berhenti berikutan terdapatnya satu sekatan jalan raya dilakukan polis di Bera," katanya.

Keempat-empat suspek kemudiannya ditahan bersama beberapa peralatan seperti jarum suntikan, ubat pelali, parang dan batang paip PVC, katanya.

Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut.

Bernama 13 September 2007