Khamis, 13 September 2007

Pesakit mental di kalangan generasi muda meningkat


Penyalahgunaan dadah, pil khayal, daun ketum antara punca pertambahan kes psikiatri dirujuk di HRPZII


PASIR MAS: Pengambilan dadah serta bahan khayal terlarang lain, dikesan menjadi punca peningkatan pesakit psikiatri atau mental di kalangan generasi muda negeri ini.

Pakar Psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Dr Khairi Che Mat, berkata setiap bulan pihaknya merawat lebih 1,000 pesakit mental pelbagai peringkat usia.

"Trend ini menunjukkan peningkatan kes di kalangan remaja dan golongan muda terutama yang terbabit penyalahgunaan dadah dan bahan khayal larangan lain termasuk daun ketum berbanding situasi sebelum ini.

"Mereka perlu datang untuk pemeriksaan pakar setiap satu hingga tiga bulan, di samping rujukan kepada hospital atau klinik berdekatan kediaman dan perlu mengambil ubat sepanjang masa.

"Tempoh rawatan memakan masa antara sembilan bulan hingga setahun dan kefahaman setiap keluarga pesakit penting untuk membantu usaha memulihkan mereka," katanya yang tidak menyatakan peratusan sebenar golongan muda.

Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan pelepasan anak puyuh kepada bekas pesakit psikiatri menerusi Program Circle Of Care di Kampung Dalam Parit Meranti, di sini.

Menerusi program terbabit, seorang pelatih dari Pusat Pemulihan Psikososial Pasir Mas, dipilih menternak puyuh daging sebagai sebahagian terapi pemulihan yang dijalankan.

Bantuan pembinaan kelengkapan serta anak puyuh yang dibela itu dibiayai Persatuan Psikiatri Malaysia yang menghulurkan sumbangan menerusi Kelab Minda Kelantan.

Dr Khairi berkata, semua pihak perlu sedar yang sakit mental sama seperti kencing manis, jika dibiarkan akan bertambah kronik dan memerlukan pesakit bergantung kepada ubat serta rawatan emosi menerusi kaunseling.

Katanya, ahli keluarga perlu mengambil berat setiap pesakit apabila dibenarkan pulang selepas rawatan kerana tindakan mengabaikan mereka boleh menyebabkan pesakit terlupa makan ubat seterusnya bertukar agresif.

Beliau berkata, ketika ini selain Jabatan Psikiatrik di hospital, enam pusat pemulihan psikososial sudah dibuka di seluruh negeri iaitu di Pasir Mas, Tumpat, Wakaf Bharu, Bachok, Ketereh dan Pulai Chondong.

Katanya, dua lagi pusat itu akan dibuka di Tanah Merah dan Ciku dengan setiap pusat menyediakan pelbagai program dan aktiviti pemulihan kepada antara 10 hingga 30 pelatih.

Oleh Ismail Mat

Berita Harian 14 September 2007