Ahad, 2 September 2007

26 cedera bantahan lantik raja


JAKARTA: Sekurang-kurangnya 26 orang cedera apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur di Pulau Sumatera ketika pertabalan raja muda tempatan baru, kata sebuah akhbar tempatan dan polis semalam.

Pergaduhan tercetus kelmarin apabila kira-kira 300 penunjuk perasaan cuba menghentikan majlis angkat sumpah raja muda Aceh Selatan dan timbalannya, sebahagian kawasan bermasalah di Aceh, utara Sumatera.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perusuh.

Jakarta Post memetik pemimpin pembantah, Nawi Sekedang berkata penunjuk perasaan menentang pasangan terbabit kerana perlantikan raja muda itu belum mendapat kelulusan majlis perundangan tempatan dan Jawatankuasa Pemilihan Bebas.

“Sekurang-kurangnya 300 orang mendesak supaya majlis mengangkat sumpah itu dibatalkan. Tiba-tiba ada di antara mereka melontarkan batu ke arah polis. Enam orang cedera dalam kejadian itu. Kami menyuraikan mereka menggunakan meriam air dan gas pemedih mata,” kata ketua polis Aceh Tenggara, Tursilo kepada Reuters.

Beliau berkata seramai 12 orang ditahan untuk soal siasat.

Pergaduhan kelmarin tercetus selepas speaker Majlis Perundangan Aceh Tenggara minggu lalu meminta supaya majlis terbabit ditangguhkan sehingga semua masalah perundangan berkaitan pemilihan pasangan terbabit diselesaikan, kata Jakarta Post.

Aceh yang kaya dengan sumber asli dilanda konflik hampir 30 tahun sebelum tsunami 26 Disember 2004 yang membawa kepada perjanjian damai antara Jakarta dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). – Reuters