Bekas Ahli Parlimen Kinabatangan pujuk masyarakat sertai Persekutuan Malaysia
TAN Sri Abdul Ghani Gilong, 76, menjadi rujukan rakyat tempatan di Ranau dan Kundasang mengenai keistimewaan Borneo Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) menyertai Malaysia pada 16 September 1963.
Setiap kali penduduk daerah pergunungan itu menemuinya, beliau tidak jemu menasihatkan mereka supaya bersetuju menyertai Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah persekutuan dikenali sebagai Malaysia dengan menandatangani pungutan suara secara rambang melalui Suruhanjaya Cobbold.
Suruhanjaya yang diketuai Lord Cobbold itu ditubuhkan untuk mendapatkan pungutan suara penduduk Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pembentukan Malaysia.
Rakyat Borneo Utara yang sudah lama ditindas penjajah menerusi kuasa Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) dan Jepun, ketika itu sebenarnya masih mencari jawapan terbaik keistimewaan menyertai Malaysia.
“Apabila mereka bertanya adakah kita (Sabah) dijajah kuasa baru, saya menjawab Malaysia adalah negara berdaulat dan penyertaan Sabah membebaskan rakyat daripada penderitaan akibat penjajahan,” kata pemimpin veteran itu.
Abdul Ghani berkata, kejayaan Tunku Abdul Rahman Putra menuntut kemerdekaan Malaya dikagumi rakyat Borneo Utara menyebabkan mereka mahukan pemimpin negeri itu bekerja keras menuntut kemerdekaan.
Bagaimanapun, tidak ramai mendapat maklumat mengenai pembentukan Malaysia yang membawa kemerdekaan kepada negeri itu, menyebabkan peranan memberi kefahaman kepada rakyat mengenai gagasan itu dipikul pada bahu pemimpin tempatan.
Abdul Ghani yang menganggotai Kabinet Perdana Menteri pertama diketuai Tunku Abdul Rahman, adalah seorang daripada tokoh yang bekerja keras menyampaikan maklumat kepentingan menyertai Malaysia terutama di kalangan masyarakat Kadazandusun.
Apabila Kabinet pertama dibentuk selepas penubuhan Malaysia, bekas Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam itu meminta tempoh sebulan memikirkan tawaran menganggotai Kabinet Tunku pada 1960-an.
Alasan diberikan bekas Ahli Parlimen Kinabalu (kini Ranau) itu, terlalu banyak kerja di ladang perlu diselesaikan, menyebabkannya keberatan untuk berangkat ke Kuala Lumpur.
Tunku Abdul Rahman bagaimanapun cuma memberi masa seminggu – mahu atau tidak – dan selepas memikirkan tahap kepercayaan yang diberi, Abdul Ghani membuat keputusan menerima tawaran itu atas dasar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Selain Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam, beliau juga pernah memegang portfolio Menteri Kehakiman serta Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan.
“Ketika menjadi Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan, kemudahan infrastruktur negara terutama jalan raya terlalu daif dan menyukarkan perhubungan bukan saja di luar bandar, malah di bandar besar kerana negara baru merdeka.
“Tunku Abdul Rahman memberi kepercayaan anggota Kabinet memajukan negara dan amanah besar itu kami pikul secara kolektif supaya rakyat dapat menikmati yang terbaik,” katanya.
Abdul Ghani dari kaum Kadazandusun, mengakui pelantikannya adalah kejutan daripada Bapa Kemerdekaan dan agak kurang selesa memikul tugas menteri kerana teringatkan kerja ladang di kampung.
Beliau dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Pusat selepas memenangi kerusi Parlimen Kinabalu pada 1968.
“Ketika itu, saya berusia 36 tahun dan anggota termuda Kabinet yang berganding seiring pemimpin veteran seperti Tun Sardon Jubir, Tun V T Sambanthan dan Tun Ghazali Shafie. Tunku Abdul Rahman tidak menilai pada usia, sebaliknya keupayaan melaksanakan amanah rakyat dan itu membuatkan saya selesa bekerja tanpa tekanan,” katanya.
Selepas bersara daripada arena politik pada 1978, Abdul Ghani kembali menjadi peladang termasuk mengusahakan kebun rambutan dan durian, selain ladang kelapa sawit di Ranau dan Sandakan kerana perladangan sudah sebati dengan jiwanya..
Mengenai keperibadian Tunku, beliau yang amat mengagumi ketokohan Bapa Kemerdekaan itu berkata, kemerdekaan adalah kunci utama yang menjadikan rakyat Sabah hidup dalam kemakmuran dan keharmonian.
“Tunku adalah negarawan unggul yang sentiasa berfikiran jauh untuk memajukan negara, malah sikapnya mendorong anggota Kabinet ketika itu bersatu menjayakan misi besar Perdana Menteri,” katanya.
Kepercayaan diberikan Bapa Kemerdekaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak kelahiran Kampung Bundutuhan, Kundasang, Ranau, itu yang kini mengisi masanya dengan berkebun di Ranau dan Sandakan.
Pelantikan Abdul Ghani sebagai Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam adalah bagi menggantikan Allahyarham Tun Fuad Stephens yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia.
Beliau seterusnya bertukar portfolio kepada Menteri Kehakiman dan terakhir, Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan. Ketika menjadi Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan, beliau turut bertanggungjawab terhadap Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Elektrik Negara yang mempunyai peranan besar kepada rakyat.
Faktor itu menjadikan beliau seorang yang gigih bekerja dan sentiasa mendampingi rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka, selain bertanggungjawab terhadap pembinaan rangkaian jalan raya di bandar dan luar bandar serta bekalan tenaga di seluruh negara.
Rakyat Sabah turut menerima manfaat daripada pelantikan Abdul Ghani sebagai anggota Kabinet Kerajaan Pusat melalui usaha beliau menyiapkan rangkaian jalan raya menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur.
Ia jelas memudahkan perhubungan antara Kota Kinabalu di Pantai Barat Sabah dengan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau di Pantai Timur. Abdul Ghani turut bangga dengan kemudahan pengangkutan terkini selaku kesinambungan perjuangan ketika era Tunku Abdul Rahman.
Persaraan bekas wakil rakyat Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) itu dalam politik selepas sedekad berkhidmat sebagai menteri Persekutuan didorong kekalahannya pada pilihan raya 1978.
Biarpun sudah bersara daripada politik, masih ramai penduduk setempat yang menemui Abdul Ghani untuk meminta khidmat nasihat terutama berkaitan ekonomi.
“Sebelum masuk politik, saya adalah peladang dan cinta saya untuk berbakti kepada tanah tidak pernah pudar. Saya sudah menghabiskan banyak masa berbakti kepada negara demi kemajuan bangsa dan saya bangga kerana berpeluang melakukannya.
“Kini, saya mahu kembali memegang cangkul dan menabur bakti kepada bumi Tuhan yang terlalu luas ini. Saya mahu memerdekakan jiwa sendiri,” katanya.
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Berita Harian 8 September 2007