Ahad, 9 September 2007

Dunia makin yakin mutu pendidikan Islam IPT kita


TIDAK syak lagi bahawa ramai pihak sama ada di kalangan negara Barat atau negara Islam mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara contoh daripada pelbagai aspek terutama pembangunan ekonomi dan perpaduan kaum.

Terbaru ialah pengiktirafan dalam bidang pendidikan tinggi. Sesuai dengan perkembangan dan pengaruh globalisasi, bidang pendidikan menjadi suatu agenda penting kerajaan Malaysia masa kini, terutama untuk menarik pelajar dari negara luar.

Kesan peristiwa pengeboman 11 September di Amerika Syarikat (AS) memberi peluang positif kepada Malaysia terutama apabila negara barat seperti AS sendiri, Eropah dan Australia yang selama ini menjadi tumpuan terutama pelajar dari negara Islam di Asia Barat, membuat peraturan ketat bagi kemasukan pelajar terbabit.

Ia ditambah dengan faktor perbelanjaan yang tinggi dalam bidang pendidikan di negara berkenaan. Sungguhpun negara Barat masih menjadi tumpuan, faktor di atas sedikit sebanyak mengubah selera pelajar Asia Barat untuk berubah angin, datang ke negara lain seperti Malaysia.

Pada ketika ini, Malaysia sudah dibanjiri dengan kedatangan pelajar asing terutama dari Asia Barat untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi. Ada juga antara mereka yang memilih bidang pengajian Islam.

Sebagaimana yang dimaklumkan, sehingga kini pusat pengajian Islam masih berada di Asia Barat terutama Universiti al-Azhar di Mesir dan lain-lain universiti di Arab Saudi, Syria dan Jordan. Perkara ini amat mudah difahami kerana pengajian Islam mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Arab iaitu bahasa ibunda di tempat universiti berkenaan berada.

Penguasaan bahasa Arab yang baik adalah asas kefahaman kepada semua bidang pengajian Islam. Namun perkara ini tidak menghalang negara lain yang bukan negara berbahasa Arab untuk menjadi cemerlang dalam bidang pengajian tinggi Islam.

Sebagai contoh negara Barat atau Eropah mempunyai beberapa pusat pengajian tinggi yang membuat pengkhususan dalam bidang pengajian tinggi Islam, menjadi tumpuan kepada sarjana Islam seperti Mesir untuk datang belajar.

Contoh yang boleh ditunjukkan di sini ialah Sheikhul al-Azhar antara 1973-1978 iaitu Profesor Dr Sheikh Abdul Halim Mahmud adalah lulusan Universiti Sorbonne, Paris, Perancis. Begitu juga penulis terkenal sejarah Islam Profesor Dr Ahmad Shalabi dan bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Abdul Rauf adalah lulusan Universiti Cambridge, England.

Malah, banyak tokoh tempatan dalam bidang pengajian Islam lulusan universiti dari Barat seperti Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, lulusan PhD Universiti St Andrews, Scotland dan Datuk Dr Abdullah Mohd Zin, lulusan PhD Universiti Kent, England. Profesor Dr Sheikh Abdul Halim Mahmud iaitu rektor al-Azhar Universiti (1973-1978) adalah lulusan Sorbonne University, Paris .

Berdasarkan kepada pengalaman negara Barat ini, adalah tidak mustahil untuk menjadikan Malaysia sebagai pilihan terkemuka dalam bidang pengajian Islam. Setakat ini, Malaysia sudah menjadi pilihan pelajar dari Indonesia, Selatan Thailand serta Brunei untuk menyambung pengajian tinggi terutama di peringkat ijazah sarjana dan PhD dalam bidang pengajian Islam.

Di Universiti Malaya sebagai contoh, ada hampir 300 pelajar daripada ketiga-ketiga negara itu dalam bidang pengajian Islam, di samping, ada peningkatan secara berterusan pelajar dari Asia Barat terutama Yaman dan Sudan menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Malah, sejak akhir-akhir ini kedatangan pelajar dari Iran turut mendaftar sebagai pelajar sarjana atau PhD dalam bidang pengajian Islam. Kedatangan pelajar dari Asia Barat ini menunjukkan bahawa mereka mula memberi pengiktirafan kepada kualiti pengajian Islam di Malaysia.

Antara faktor yang menarik pelajar ini untuk datang ke Malaysia ialah kerana sistem pengajian di sini lebih sistematik dan teratur jika dibandingkan dengan negara lain terutama negara Arab. Begitu juga kaedah penulisan dan penyelidikan adalah berdasarkan teknik moden yang objektif, saintifik dan kontektual seperti digunakan dalam bidang sains sosial.

Ia semua menjadi daya tarikan kepada pelajar asing di samping kemudahan dan peralatan moden universiti tempatan serta belanja pengajian yang agak murah.

Sungguhpun bahasa Arab bukan bahasa kegunaan harian di negara kita, pensyarah Malaysia membuktikan mereka mampu memberi kuliah dan menyelia penyelidikan yang dilakukan dalam bahasa asing terutama bahasa Arab dan Inggeris.

Perkembangan ini hanya berlaku dalam tempoh kurang daripada sepuluh tahun lalu. Oleh yang demikian pihak universiti tempatan yang mempunyai pengajian tinggi Islam harus memantau perkembangan ini supaya kemahiran, kecemerlangan dan kecekapan yang ada dipertingkatkan serta diperkasakan lagi.

Antara langkah yang boleh diambil untuk memperkasakan mutu pengajian tinggi Islam di Malaysia ialah mengambil inisiatif memperkuatkan kemahiran bahasa Arab melalui lawatan, latihan dan pertukaran kakitangan terutama antara universiti di Asia Barat.

Begitu juga dengan melantik beberapa pensyarah pelawat terkemuka dari Asia Barat ke universiti tempatan. Pelajar Malaysia juga boleh didedahkan kepada suasana pengajian yang menggunakan bahasa Arab menerusi program pertukaran pelajar dari Asia Barat dan perpindahan kredit dari Universiti Asia Barat.

Menerusi aktiviti dan inisiatif sebegini, penarafan atau ‘ranking’ universiti di Malaysia akan bertambah baik, manakala menerusi penguasaan bahasa Arab yang baik di samping menguasai bahasa asing lain terutama bahasa Inggeris serta penggunaan pendekatan pengajian yang moden, pengajian Islam di Malaysia dalam masa beberapa tahun akan datang, boleh menjadi pusat kecemerlangan pengajian Islam di dunia jika pun tidak di rantau Asia.

Oleh Ahmad Hidayat Buang

Penulis bertugas di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Berita Harian 8 September 2007