Ahad, 9 September 2007

Bajet jamin rakyat nikmati kemakmuran


BAJET 2008 yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, walaupun tanpa pemberian bonus untuk kakitangan awam, masih menjadi khabar gembira kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada pelajar, guru, kakitangan awam, pesara, orang miskin, ahli perniagaan selain warga emas. Keseluruhannya, bajet kali ini banyak membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus dijangka berupaya mengimbangkan kembali kesan kenaikan kos. Ini bertepatan dengan tema ‘Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran’ yang berteraskan tiga strategi utama iaitu mempertingkat daya saing negara; memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat. Buat kali pertama dalam sejarah, pendidikan di negara ini adalah 100 peratus percuma mulai tahun depan berikutan langkah memansuhkan yuran bagi sekolah rendah dan menengah. Selain itu, skim pinjaman buku teks diperluas kepada semua pelajar tanpa mengira jumlah pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka. Ini adalah hadiah istimewa untuk rakyat, seminggu selepas sambutan bersejarah Hari Kebangsaan ke-50. Dengan tumpuan lebih kepada generasi muda yang berada di sekolah, Bajet 2008 dilihat membuat pelaburan bernilai ke arah matlamat mencapai negara maju. Ia meringankan bebanan ibu bapa serta memberi pelbagai insentif kepada guru seperti kenaikan elaun guru pendidikan khas. Malah, lebih 90,000 pelajar di pusat pengajian tinggi tempatan akan mendapat manfaat ekoran langkah kerajaan meningkatkan elaun sara hidup pelajar antara 23 peratus dan 84 peratus.

Pengecualian 50 peratus duti setem yang diberi ke atas surat cara pindah milik bagi sebuah rumah yang tidak melebihi RM250,000 seunit, melegakan ramai pihak kerana langkah itu sekurang-kurangnya mengurangkan kos pembelian sebuah rumah sehingga RM2,000, satu angka yang dianggap besar bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Khabar lebih gembira diterima pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dibenar mengeluarkan baki Akaun 2 mereka setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan, sesuatu yang amat dinantikan terutama lima juta pencarum dalam usaha mengurangkan beban membayar balik. Bagi warga emas, yang kadang-kala nampak terpinggir, turut diberi perhatian oleh kerajaan kerana mulai Januari depan, elaun bagi warga emas yang miskin dan memerlukan bantuan dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 setiap bulan. Golongan ini turut mendapat manfaat kerana Bank Negara akan menerbitkan bon bernilai RM2 bilion untuk dilanggani mereka berumur 55 tahun ke atas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, dalam usaha membaiki pulangan hasil simpanan mereka.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat peruntukan RM381 juta diumumkan untuk melaksanakan perumahan rakyat kos rendah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan PPR Bersepadu. Bajet kali ini juga dianggap mesra perniagaan dengan menawarkan ole-ole yang merangsang penggabungan dan pengambilalihan (M&A), menggalakkan pelabur pasaran saham runcit serta merangsang pelaburan asing dan menambah baik kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. Satu perkara utama ialah pengurangan seterusnya cukai korporat kepada 25 peratus pada 2009. Walaupun ada pihak berpendapat Bajet 2008 adalah senjata menghadapi pilihan raya, hakikatnya kerajaan tetap membela nasib rakyat tanpa mengira waktu pilihan raya atau tidak. Pendek kata, Bajet 2008 mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan kekayaan negara terus berkembang dan dapat dinikmati semua rakyat di pelbagai peringkat ke arah menjamin kesejahteraan dan meningkat daya saing negara.


Berita Harian 8 September 2007